Now Reading
Guna Semula Minyak Masak Terpakai Undang Padah!

Guna Semula Minyak Masak Terpakai Undang Padah!

Minyak masak yang digunakan semula boleh mengundang pelbagai risiko kesihatan seperti atherosclerosis, penyakit jantung dan barah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Minyak merupakan antara bahan yang wajib ada di dapur kita. Tak kisahlah minyak kelapa sawit, minyak zaitun atau minyak sayuran sekalipun, kebanyakan masakan kita ada menggunakannya.

Mesti ada di antara kita yang menggunakan minyak masak berulang kali kan? Kononnya nak berjimat, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang merundum kini.

Walau bagaimanapun, pakar perubatan Dr Ahmad Samhan, telah menjelaskan mengapa minyak masak tidak seharusnya diguna pakai semula.

Menurut beliau, minyak masak yang digunakan semula boleh mengundang risiko mengalami pelbagai penyakit seperti atherosclerosis (arteri menjadi keras dan tebal), penyakit hati, penyakit jantung, malah barah.

Masalah kesihatan ini berlaku kerana minyak yang digoreng akan melepaskan sisa toksik aldehydes.

Toksik ini akan ditinggalkan di dalam minyak dan apabila digunakan semula, makanan yang digoreng akan menyerap aldehydes tersebut.


Guna Semula Minyak Masak Sehingga Tiga Kali Sahaja

Bukanlah bermaksud tak boleh guna pakai semula minyak masak langsung, tetapi Dr Ahmad berpesan jika ingin berbuat demikian hanya gunakan sehingga dua atau tiga kali sahaja.

Malah, minyak yang telah bertukar ke warna perang gelap atau kehitaman harus segera dibuang.

Di samping itu, beliau juga menasihati supaya minyak yang telah digunakan untuk menggoreng haiwan berdarah seperti ayam dan ikan tidak digunakan semula.

Hal ini adalah kerana darah yang dilepaskan daripada haiwan akan meningkatkan kandungan karbon dan mengubah struktur asid lemak minyak gorengan, seterusnya menjadikan ia berbahaya pada tubuh badan.


Minyak Masak Paket Tidak Ikut Piawaian MPOB

Beliau juga mendakwa sesetengah minyak masak paket 1kg yang dijual pada harga subsidi tidak sihat kerana tidak mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Sumber: @zzdnrj/ X

Selain itu, Dr Ahmad mengingatkan pengguna supaya tidak membeli minyak masak murah yang tidak diketahui pengeluarnya.

Beliau juga berpesan kepada orang ramai supaya kurangkan pengambilan makanan bergoreng di kedai. Perkara ini adalah kerana risau peniaga menggunakan minyak masak yang dikitar semula demi mengurangkan kos.

Akhir sekali, pengguna diingatkan supaya membeli minyak yang mempunyai pengesahan daripada pihak SIRIM sahaja supaya kesihatan terjamin.

Sebagai tambahan, Dr Ahmad berkata bahawa minyak yang telah digunakan hanya sesuai dikitar semula sebagai bahan bakar biodisel.


Kumpul Minyak Masak Untuk Dikitar Semula

Selepas membaca penerangan oleh Dr Ahmad, adalah lebih baik jika kita tidak mengguna semula minyak masak yang telah digunakan.

Jika dalam keadaan terdesak sekalipun, hanya gunakan semula minyak masak yang masih cerah warnanya dan tidak dipakai lebih daripada tiga kali.

Bagi yang tidak tahu, minyak masak yang telah digunakan boleh dikumpul untuk dikitar semula. Bukan diberikan secara percuma, sebaliknya pengguna akan dibayar mengikut kadar yang ditetapkan oleh syarikat berkaitan.

Jadi, tidak perlu mengguna semula minyak terpakai untuk berjimat kerana ia boleh dijual untuk mendapatkan keuntungan dalam bentuk wang ringgit.

Baca Artikel Berkaitan: Ada Minyak Masak Terpakai Di Rumah? Jom Hantar Ke 7 Lokasi Kitar Semula Ini

Sumber: Twitter @DoktorSamhan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd