10 Tahun Berumah Tangga, Wanita Sanggup Berpoligami Siap Lamar Jiran Untuk Suami
Wanita yang dikenali sebagai Chinta Arjuna telah meminang jirannya kerana ingin memuliakan dan menjaga maruah jirannya itu sebagai seorang janda.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Poligami merupakan satu isu panas yang sering dibincangkan oleh masyarakat kita. Baru-baru ini, tular video individu dikenali sebagai ‘Abang Tesla’ memujuk isteri pertamanya yang sedang menangis tiga jam sebelum akad nikah bersama bakal isteri kedua.
Artikel Berkaitan: Video Tular ‘Abang Tesla’ Pujuk Isteri Minta Izin Poligami Raih Kecaman Netizen
Video tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen dengan kebanyakannya dilihat tidak bersetuju dengan tindakan lelaki itu.
Walaupun rata-rata ramai orang, terutamanya para isteri, yang kurang gemar dengan isu poligami apatah lagi untuk dimadukan, perkara ini berlainan bagi sesetengah mereka.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Chinta Arjuna bertindak luar biasa apabila dia sendiri yang melamar seorang wanita lain buat suaminya.
Menurutnya, wanita itu merupakan jirannya yang sering dijumpai dan dihubungi melalui WhatsApp.
Saya tak cari tapi jodoh datang tanpa dirancang. Saya dan bakal madu masa tu selalu berjumpa dan berhubung melalui WhatsApp sebab kami hidup berjiran. Memang dah anggap dia seperti adik sendiri sebelum ni.
Chinta Arjuna.
Wanita tersebut telah sah menjadi madunya setelah berkahwin dengan suaminya pada 28 Jun yang lalu.
Lebih menjadi tumpuan, tarikh pernikahan tersebut jatuh pada hari ulang tahun perkahwinan mereka ke-10, selain ia juga merupakan hari jadi suaminya.
Lamar Jiran Kerana Ingin Jaga Maruah
Pada mulanya ramai yang beranggapan dia berbuat sedemikian kerana tidak dikurniakan zuriat setelah 10 tahun berkahwin. Namun begitu, dia berkata ia bukan alasan utama dia melamar wanita tersebut.
Menurut Chinta Arjuna, madunya itu sebelum ini merupakan seorang janda yang mempunyai dua orang anak.
Dia kemudian bertanya kepada jirannya jika wanita itu ingin berkahwin dengan suaminya kerana mahu bantu ‘memuliakan’ dan menjaga maruahnya, lapor Sinar Harian.
Dia (madu) merupakan individu yang saya kenal kerana kami tinggal di kawasan perumahan sama. Semenjak dia bergelar janda, bermacam-macam fitnah dan tohmahan dilemparkan kepadanya.
Chinta Arjuna.
Dia juga menegaskan bahawa perkahwinan itu bukan terjadi atas keinginan suaminya kerana dia yang telah melamar madunya tanpa pengetahuan sesiapa.
Chinta Arjuna sendiri yang telah menyarungkan cincin pertunangan pada wanita dilamarnya pada 19 Mei lalu. Kemudian, mereka telah berbincang dan bersetuju untuk berkongsi tarikh perkahwinan pada 28 Jun bersamaan hari jadi suami mereka.
Alhamdulillah, Allah permudahkan niat saya untuk membantu dia (madu). Dia dan suami pun bersetuju untuk meneruskan kehidupan berpoligami. Walaupun ada yang kata perbuatan ini gila kerana sanggup berkongsi kasih tetapi tidak bagi saya kerana Allah yang menggerakkan perasaan itu dan saya yakin itu merupakan satu keputusan tepat.
Chinta Arjuna.
Jalani Rawatan IVF Untuk Dapatkan Zuriat
Perkahwinan Chinta Arjuna bersama suaminya selama satu dekad masih belum menghasilkan zuriat. Mereka telah melakukan pelbagai rawatan termasuk secara rawatan Islam moden.
Dia turut pernah melalui pembedahan membuang cyst dan tiub fallopio yang menyebabkannya tidak boleh mengandung secara normal.
Selepas mendapat nasihat doktor, pasangan itu mengambil ikhtiar melakukan rawatan IVF yang menelan belanja hingga RM15,000 namun masih berjaya mendapatkan zuriat.
Mereka kini merancang untuk menjalani satu lagi rawatan IVF pada tahun depan dan sedang mengumpul dana sebanyak RM30,000.
Dia juga berkata bahawa seseorang perlu memahami agama dan mendalami ilmu poligami sebelum melakukan perkara itu supaya tidak terasa dengan keadaan sekeliling.
Suami saya sampai hari ni tak pernah berhenti baca doa elak fitnah dajjal, sebab takut isteri-isteri tak mampu hadapi pandangan negatif orang ramai.
Chinta Arjuna.
Sumber: Sinar Harian | mstar
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.