Now Reading
Ini 5 Sunnah Rasulullah SAW Bersama Isteri Yang Suami Boleh Amalkan

Ini 5 Sunnah Rasulullah SAW Bersama Isteri Yang Suami Boleh Amalkan

Antara perkara yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW bersama isteri baginda adalah minum dari cawan yang sama, menyuap isteri makan dan membantu melakukan kerja rumah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, tular satu video di media sosial yang menunjukkan para suami sedang menjamu selera di meja sambil isteri mereka hanya berdiri di belakang tempat duduk.

Walaupun video tersebut dipercayai merupakan satu lakonan, orang ramai telah berbalah mengenai perkara itu.

Sumber: X

Ada yang percaya tidak salah sekiranya isteri mengutamakan suami untuk makan terlebih dahulu sebagai salah satu cara menghormati dan memuliakan pasangannya.

Namun begitu, dalam kehidupan seharian, kadang-kala kita terlupa dengan sunnah Nabi Muhammad SAW dalam berinteraksi dengan isteri.

Rasulullah SAW bersabda: “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” 

Riwayat Ahmad


Berikut merupakan lima amalan Rasulullah SAW terhadap isteri yang mungkin sesetengah golongan masyarakat telah lupakan, sebaliknya memilih untuk mengikut pada adat yang diamalkan sejak turun-temurun.

#1. Suami Isteri Makan Bersama-Sama

Berbeza dengan kepercayaan atau adat sesetengah masyarakat masa kini yang mana isteri akan menghidang makanan pada suami untuk dijamah terlebih dahulu, Rasulullah SAW sebenarnya sentiasa makan bersama-sama isterinya.

Bukan itu sahaja, Baginda turut menyuap isterinya makan dan berkongsi pinggan serta cawan.

Malah, Baginda akan meminum dari cawan di tempat yang sama telah diminum oleh isterinya.

Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA: 

Maksudnya: “Tatkala saya haid, saya minum. Kemudian saya memberikannya kepada Nabi dan baginda meletakkan mulutnya di atas tempat bekas mulutku. Tatkala saya haid, saya memakan daging yang masih melekat di tulangnya, lalu saya memberikannya kepada Nabi dan baginda pun meletakkan mulutnya di atas tempat bekas mulutku”.

Riwayat Ahmad 24416

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

#2. Berpuasa Apabila Isteri Tidak Menyediakan Makanan

Menurut adat, wanita haruslah menyediakan makanan untuk suaminya. Namun lain pula yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW.

Dalam satu riwayat, diceritakan bahawa Rasulullah SAW tidak memarahi isterinya Aisyah RA apabila tiada makanan disediakan.

Sebaliknya, baginda memilih untuk berpuasa. Dari Aisyah RA:

Rasulullah SAW bersabda: “Hai, ‘Aisyah! Adakah engkau sedia makanan?” Jawab Aisyah, “Tidak, ya Rasulullah!” Sabda baginda, “Kalau begitu aku puasa.”

Sahih Muslim 1121


#3. Bantu Isteri Melakukan Kerja Rumah

Selain itu, melakukan kerja rumah juga sering menjadi satu isu dalam masyarakat yang berbalah sama ada perkara itu harus dilakukan oleh isteri semata-mata atau dibantu para suami.

Berdasarkan hadis, Aisyah RA pernah ditanya mengenai perilaku Rasulullah SAW ketika di rumah. Aisyah RA berkata, “Baginda suka membantu pekerjaan rumah isterinya, apabila tiba waktu solat, maka baginda akan pergi untuk melaksanakan solat”. 

Riwayat Bukhari 5579

Aisyah RA juga menjawab soalan daripada Urwah tentang pekerjaan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika berada bersamanya di rumah. Aisyah RA berkata:

“Ia melakukan (seperti) apa yang dilakukan oleh salah seorang dari kalian jika sedang membantu isterinya, ia memperbaiki sendalnya, menjahit bajunya, dan mengangkat air di ember”.

Riwayat Ibnu Hibban

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

#4. Tidak Marah Isteri Jika Masakan Kurang Sedap

Tugas memasak sering kali dilakukan oleh para isteri. Namun kadang-kala, mungkin masakan yang dihasilkan tidak menepati cita rasa suami atau berasa kurang sedap.

Apabila berhadapan dengan perkara sedemikian, para suami diingatkan agar mengikut sifat Rasulullah SAW yang tidak memarahi isterinya.

Rasulullah SAW kemudiannya berkata, “Wahai Aisyah, ingatkah kau semasa kita baru berkahwin dahulu? Pada waktu itu kita saling suap menyuap semasa makan. Mahukah kau jika kita mengulangi peristiwa itu? Dahulu kau yang menyuap aku dahulu. kali ini, biar aku pula yang menyuapmu terlebih dahulu.”

Aisyah RA yang bersetuju telah disuap oleh Baginda dan baru menyedari bahawa masakannya terlebih masin. Beliau meminta maaf kepada Nabi yang hanya tersenyum sahaja.

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

#5. Tidak Memukul Isteri

Kes suami mendera isteri secara fizikal semakin banyak didedahkan di media sosial. Lebih menyayatkan hati apabila isteri dipukul bukan atas kesalahan dilakukannya, tetapi hanya kerana suami merupakan seorang yang panas baran.

Perkara ini jelas bertentangan dengan sifat Rasulullah SAW yang tidak pernah memukul isteri mahupun pembantunya.

Aisyah RA berkata: “Rasulullah SAW tidak pernah sekalipun memukul isterinya dan pembantunya”.

Riwayat An-Nasai

Malah, Rasulullah SAW juga bersabda agar tidak sesekali memukul isteri pada bahagian muka mahupun menghinanya.

Rasulullah SAW berkata: “Kamu hendaklah memberi makan kepadanya jika kamu makan dan menyediakan buatnya pakaian jika kamu memakai pakaian dan jangan (sekali-kali) kamu memukul muka (isteri) dan jangan kamu menghina (isteri) dan jangan kamu mengasingkan diri (daripada tempat tidur isterinya untuk tujuan pengajaran) melainkan di rumah”.

Riwayat Abu Daud

Gambar sekadar hiasan. (Sumber: Pexels)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd