Now Reading
Video Tular ‘Abang Tesla’ Pujuk Isteri Minta Izin Poligami Raih Kecaman Netizen

Video Tular ‘Abang Tesla’ Pujuk Isteri Minta Izin Poligami Raih Kecaman Netizen

‘Abang Tesla’ dilihat memujuk isteri pertamanya yang menangis tiga jam sebelum lelaki itu melangsungkan perkahwinan keduanya untuk berpoligami.

abang tesla kahwin dua

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Berbicara tentang poligami, ia adalah topik yang agak hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat kerana meraih pelbagai pendapat daripada orang awam.

Poligami membawa maksud seseorang lelaki yang berkahwin lebih daripada satu tanpa menceraikan isteri yang lain.

Mengikut hukum yang ditetapkan dalam agama Islam, berpoligami adalah tidak salah dan ia merupakan perkara sunnah, dengan syarat perlu menepati syarat seperti berkemampuan serta adil.


‘Abang Tesla’ Pujuk Isteri Pertama Menangis Ketika 3 Jam Sebelum Akad Nikah Dengan Isteri Kedua

Baru-baru ini, topik poligami kembali menjadi perhatian ramai selepas tular sebuah video di mana seorang usahawan lelaki dikenali sebagai ‘Abang Tesla’ yang mahu berkahwin dengan seorang lagi wanita.

Dalam video berkenaan, lelaki tersebut dikatakan sedang memujuk isteri yang menangis selepas mereka selesai melakukan solat Subuh secara berjemaah.

Difahamkan, isterinya menangis kerana mengetahui bahawa dirinya akan dimadukan dan terpaksa berkongsi kasih sayang dengan isteri kedua suaminya.

Lelaki itu menjelaskan bahawa dia lebih rela jujur dengan isterinya tentang hasrat untuk berpoligami daripada berbohong.

Mungkin ramai yang berkahwin tanpa pengetahuan isteri. Tapi saya tidak! Saya tidak akan membelakangi isteri saya. Isteri saya reda dan sangat-sangat menjaga aib dan maruah suami dia.

Abang Tesla.

Tidak dinafikan, isterinya menangis kesedihan beberapa jam suaminya melangsungkan perkahwinan dengan wanita lain dan dia cuba untuk memujuknya sebaik mungkin.

Tipulah kalau dia tidak sedih, tapi saya ambil masa untuk pujuk hati dia tentang hasrat saya. Isteri yang baik adalah isteri yang taat kepada suami dan menjaga maruah suami.

Abang Tesla.

Selepas selesai bernikah, Abang Tesla menceritakan dia terus mencari isteri pertama untuk memastikan dia tidak emosi.

Selesai nikah saya terus cari isteri pertama untuk make sure dia tidak emosi. Poligami adalah sesuatu yang Allah beri untuk memperbetulkan apa yang silap. Jangan disebabkan orang lain, poligami dipandang hina di mata manusia.

Abang Tesla.

Video yang dikongsikan semula di laman Twitter (@twtbiy) telah meraih 13.7 juta tontonan setakat artikel ini ditulis.


Video ‘Abang Tesla’ Pujuk Isteri Pertama Untuk Benarkan Poligami Terima Pelbagai Pendapat

Perkongsian video tentang ‘Abang Tesla’ yang ingin berpoligami itu meraih pelbagai reaksi daripada orang ramai.

Boleh dikatakan rata-rata netizen meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan keputusan lelaki tersebut yang berkahwin dua.

Ada sesetengah kaum wanita yang memberi pendapat bahawa perkara itu tidak sepatutnya berlaku jika benar dia menyayangi isteri pertamanya.

Pelakon Nabila Huda dan penyanyi Shila Amzah turut berkongsi luahan mereka selepas melihat video berkenaan.

Meskipun hukum berpoligami adalah dibenarkan di dalam Islam, tetapi ramai wanita yang difahamkan tidak sanggup untuk dimadukan dan terpaksa berkongsi suami mereka dengan wanita lain.


Hukum Tinggal Sebumbung Dengan Lebih Daripada Satu Isteri

Memetik sumber daripada laman web Mufti Wilayah Persekutuan, seorang suami tidak boleh atau makruh mengumpulkan dua orang isterinya dalam satu tempat tinggal melainkan dengan keredaan mereka.

Ini kerana ia bertentangan dengan sunnah Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa tempat tinggal sebagai salah satu nafkah yang wajib diberi.

Selain itu, ia boleh mendatangkan sifat cemburu dan saling membenci antara satu sama lain.

Jika dimaksudkan dengan menghimpun isteri bagi tujuan persetubuhan bersama suami dalam satu bilik, maka ia adalah haram kerana membawa kepada pendedahan aurat.

Daripada Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ، وَلَا الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: Janganlah seorang lelaki melihat kepada aurat lelaki (yang lain), dan jangan juga seorang wanita melihat aurat wanita (yang lain). [Hadis riwayat Imam Muslim (no. 338)]

Tambahan lagi, perbuatan ini membawa kepada dosa musahaqah seperti yang dilakukan oleh golongan lesbian pada zaman ini. Diriwayatkan daripada Wathilah bahawa Rasululllah SAW melarang sihaq:

السِّحَاقُ بَيْنَ النِّسَاءِ زِنًا بَيْنَهُنَّ

Maksudnya: Perbuatan sihaq antara wanita-wanita itu dikira berzina dalam kalangan mereka. [Hadis riwayat al-Tabarani (no. 153)]

Sumber: Twitter Bbie | Mufti Wilayah Persekutuan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd