Now Reading
KKM Haramkan Penjualan Tiga Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

KKM Haramkan Penjualan Tiga Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

Dua daripada produk tersebut mengandungi merkuri, manakala satu lagi dikesan mempunyai hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengharamkan penjualan tiga produk kosmetik iaitu BL Ledehh Day Cream 2, BL Ledehh Night Cream, dan For U Night Cream, selepas racun berjadual dikesan di dalam produk berkenaan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, merkuri ditemui di dalam BL Ledehh Day Cream 2 dan BL Ledehh Night Cream. Bagi For U Night Cream pula, ia didapati mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate.

Produk yang mengandungi hidrokuinon, tretinoin dan betamethasone 17-valerate adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Kandungan Produk Boleh Mudaratkan Kesihatan

Menurut Muhammad Radzi, keempat-empat racun berjadual yang ditemui bukan sahaja akan menyebabkan kerosakan pada kulit, malah boleh memudaratkan kesihatan pengguna.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh merosakkan buah pinggang dan sistem saraf, mengganggu perkembangan otak kanak-kanak atau janin, serta menyebabkan ruam dan iritasi pada kulit.

Bagi bahan kimia hidrokuinon pula, ia boleh menyebabkan pengguna mengalami kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, dan kulit menjadi hipersensitif.

Penggunaannya juga boleh menyebabkan kulit tidak mengalami proses pigmentasi (depigmentasi), sekaligus mengurangkan perlindungan daripada pancaran sinar ultra ungu (UV) dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Muhammad Radzi berkata tretinoin yang digunakan tanpa pengawasan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu dengan krim menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif terhadap cahaya matahari.

Pengguna yang menggunakan racun betamethasone 17-valerate pada bahagian kulit boleh menyebabkan ia menjadi nipis, mudah mengalami iritasi dan berjerawat. Ia juga menyebabkan perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko bahan kimia itu diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh menjadi mudarat.

Orang awam yang sedang menggunakan produk berkenaan dinasihatkan agar segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Produk Perlu Henti Dijual Serta-Merta

Muhammad Radzi meminta supaya penjualan dan pengedaran produk dihentikan serta-merta memandangkan ia bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Di bawah undang-undang ini, pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM25,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama. Manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya, pesalah akan dikenakan denda RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat pula, mereka berdepan hukuman denda maksimum RM50,000 untuk kesalahan pertama dan RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Sumber: Berita Harian


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd