Now Reading
PDRM Sahkan Objek Ditemui Di Kereta Siti Kasim Adalah Bahan Letupan Jenis IED

PDRM Sahkan Objek Ditemui Di Kereta Siti Kasim Adalah Bahan Letupan Jenis IED

Dua botol berisi wayar yang ditemui di bawah kereta Siti Kasim mengandungi bahan yang boleh menyebabkan kebakaran.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Siti Zabedah Kasim atau lebih dikenali sebagai Siti Kasim merupakan seorang peguam dan aktivis sosial yang sering menerima kritikan hebat dari orang ramai.

Tidak kurang juga ada yang berharap wanita ini akan ditimpa perkara buruk. Namun siapa sangka ada yang sampai ke tahap mahu melihat wanita ini dicederakan.

Pada 21 Julai baru-baru ini, Siti Kasim terkejut apabila menemukan objek yang didakwa sebagai bom dipasang di bawah keretanya.

Dia menyedari perkara tersebut apabila membawa keretanya ke sebuah bengkel di Jalan Maarof, Bangsar untuk diservis sebelum memulakan perjalanan ke Kelantan bagi satu kes yang dikendali olehnya.

Dia kemudiannya menerima satu mesej daripada pekerja bengkel yang menyatakan terdapat botol yang didakwa bom dipasang di belakang tayar kereta.

Sumber gambar: Siti Kasim/ Facebook

Perkara itu segera dimaklumkan kepada pihak berkuasa yang menghantar skuad bom untuk mengambil objek tersebut.

OCPD Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata kedua-dua botol berisi wayar yang ditemui di belakang kereta itu dipercayai adalah bahan letupan termampat atau improvised explosive devices (IED).


Terdapat Bahan Boleh Bakar Pada IED

Hasil analisis kedua-dua botol yang dijangka IED itu mendapati terdapat bahan yang boleh menyebabkan kebakaran.

Walau bagaimanapun, menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, pihak polis masih menungggu laporan lengkap berhubung IED itu. Dia juga berkata IED tersebut mudah dibuat sendiri dan boleh dipelajari daripada internet.

Berapa jarak bom itu boleh meletup juga sedang disiasat…nak buat bom ini amat mudah kerana boleh dipelajari daripada internet.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Kes tersebut sedang disiasat di bawah Seksyen 7 Akta Letupan. Polis telah mengambil keterangan daripada 12 individu termasuk pekerja mekanik, pemilik bengkel, pegawai keselamatan, pihak mahkamah, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia dan Orang Asli setakat ini.

Ayob Khan juga berkata pihak polis turut merujuk kepada kamera litar tertutup di tempat-tempat yang pernah dihadiri Siti Kasim bagi mengesan individu yang terlibat.

Katanya lagi, penggunaan IED itu mungkin atas dasar membalas dendam dan akan turut disiasat oleh pihak polis.

Di samping itu, Siti Kasim tidak pernah membuat laporan sebarang ugutan jenayah ke atasnya sebelum kejadian ini berlaku.

Semalam (24 Julai) Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain juga berkata suspek kemungkinan mempelajari cari membuat bahan letupan itu menerusi internet.


Siti Kasim Sebagai Peguam & Aktivis Hak Kemanusiaan

Siti Kasim merupakan seorang peguam dan aktivis hak kemanusiaan di Malaysia. Dia sering memperjuangkan komuniti orang asli berkenaan isu tanah serta mempertahankan hak-hak golongan minoriti dan terpinggir di Malaysia.

Selain itu, dia turut memperjuangkan hak komuniti LGBTQ. Malah, Siti Kasim pernah menerima ancaman bunuh dan buli siber apabila dia mengulas tentang isu sensitif seperti agama dan bangsa.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, dia telah bertanding di parlimen Batu sebagai calon bebas di bawah Gerak Independent (GI). Kerusi parlimen tersebut telah dimenangi oleh Prabakaran Parameswaran from PKR.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd