Now Reading
Tiga Warga Myanmar Ditemui Maut Di R&R Yong Peng, Tertidur Di Dalam MPV

Tiga Warga Myanmar Ditemui Maut Di R&R Yong Peng, Tertidur Di Dalam MPV

Ketiga-tiga mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Pasir Gudang iaitu tempat mereka bekerja.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada malam Selasa (18 Julai), dua orang lelaki dan seorang wanita ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mereka ditemukan oleh orang awam di dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Yong Peng arah selatan, lapor Astro Awani.

Berdasarkan maklumat oleh Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Penguasa Bomba Kanan II Suhairulair Sarip, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.59 malam.

Enam orang anggota bomba daripada BBP Pagoh yang menaiki sebuah jentera Fire Rescue Tender (FTR) digegaskan ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.

Namun begitu, pasukan perubatan yang tiba telah mengesahkan bahawa ketiga-tiga mangsa telah meninggal dunia.


Orang Awam Bantu Keluarkan Mangsa Dari Dalam Kereta

Suhairulair berkata ketiga-tiga mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam daripada kenderaan dengan cara memecahkan cermin tingkap Perodua Alza yang dinaiki mereka. Mereka diletakkan di kaki lima tempat meletak kereta sementara menunggu ketibaan pihak berkuasa.

Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, didapati benar terdapat tiga orang mangsa terperangkap di dalam kereta jenis Perodua Alza dan cermin kereta telah dipecahkan oleh orang awam sebelum PKO tiba.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan II, KUP Suhairulair Sarip.

Pada masa yang sama, pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata pihak polis juga dihubungi orang awam sekitar jam 9.15 malam.

Dia berkata orang ramai yang membantu mengeluarkan mangsa menyedari kenderaan tersebut tidak bergerak agak lama di tempat letak kereta. Malah, penyaman udara dibiarkan hidup dengan kesemua pintu berkunci dan cermin tertutup.

Mereka dipercayai berhenti rehat dan tidur dalam kereta berkenaan di tempat kejadian. Beberapa saksi yang datang membantu mangsa memaklumkan, mereka menyedari kereta berkenaan diletakkan dalam tempoh masa agak lama di tempat kejadian dengan penyaman udara dihidupkan dan kesemua cermin serta pintu berkunci.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani.

Ketiga-tiga mangsa kemudiannya dikeluarkan dari bahagian cermin tingkap kereta yang dipecahkan dan tidak memberikan sebarang tindak balas, sebelum disahkan meninggal dunia.

Mayat dibawa oleh pihak polis ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk pemeriksaan lanjut serta proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.


Mangsa Warga Myanmar Dalam Perjalanan Dari Genting Highlands Ke Pasir Gudang

Menurut Shahrulanuar, kesemua mangsa yang berusia antara 23 hingga 27 tahun merupakan warganegara Myanmar. Mereka didapati sedang dalam perjalanan pulang ke Taman Air Biru, Pasir Gudang dari Genting Highlands.

Katanya lagi, MPV yang dinaiki telah dipinjam daripada rakan mereka di Johor Bahru.

Rekod menunjukkan bahawa ketiga-tiga mereka mempunyai pasport dan bekerja di Pasir Gudang.

Shahrulanuar berkata siasatan awal pihak polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR) dan tiada sebarang unsur jenayah yang ditemukan.

Setakat ini polis buka kertas siasatan sebagai mati mengejut, namun semuanya bergantung kepada laporan bedah siasat yang akan diperoleh kelak. Siasatan awal juga mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemukan pada ketiga-tiga mangsa di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani.

Operasi tamat pada jam 10.22 malam setelah pihak polis memastikan keadaan persekitaran selamat.


Kenapa Bahaya Tidur Di Dalam Kereta?

Bahaya tidur di dalam kereta adalah perkara umum yang diketahui oleh rata-rata orang ramai. Namun begitu, ia masih dilakukan sama ada secara sengaja atauapun tidak.

Menurut MalaysiaKini, maut akibat tertidur di dalam kereta kebanyakannya disebabkan oleh karbon monoksida (CO) yang terkandung di dalam asap ekzos kereta.

Jika kereta mengalami kebocoran ekzos, CO boleh memenuhi udara di dalam kenderaan. Kebocoran ini sering kali tidak disedari kerana gas tersebut tidak mempunyai bau mahupun warna.

Jumlah CO tinggi di dalam kereta juga boleh disebabkan oleh penyaman udara yang tidak lagi berfungsi dengan baik.

Gas CO adalah komponen yang amat berbahaya jika dihidu secara berlebihan kerana ia akan mengurangkan kemampuan darah untuk menghantar oksigen ke seluruh tubuh badan, termasuk otak.

Kekurangan oksigen di dalam otak boleh menyebabkan sawan dan koma. Apabila tiada langsung oksigen di dalam otak, ia akan berhenti berfungsi, seterusnya menyebabkan sistem tubuh badan terhenti dan kematian.

Kalau boleh, elakkan daripada tidur di dalam kereta supaya tidak terdedah kepada risiko keracunan gas CO. Tapi kalau terpaksa, seperti terlalu mengantuk apabila dalam perjalanan, matikan enjin kereta dan buka tingkap seluas-luasnya.

Pastikan juga korang cari tempat yang sesuai dan selamat untuk berehat memandangkan tingkap kereta dibuka dan boleh mendedahkan korang dengan bahaya lain.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd