Now Reading
Netizen Dakwa Mahu Boikot Bazar Ramadan, Pertikai Harga Makin Mahal & Tak Jaga Kualiti

Netizen Dakwa Mahu Boikot Bazar Ramadan, Pertikai Harga Makin Mahal & Tak Jaga Kualiti

Sesetengah netizen mendedahkan mereka sudah memasuki tahun ketiga tidak membeli juadah berbuka di bazar Ramadan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap kali menjelang bulan Ramadan, bazar adalah lokasi lazim yang dikunjungi oleh orang ramai untuk membeli juadah berbuka puasa.

Pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual di sini, daripada hidangan berat seperti nasi kepada pencuci mulut dan kuih-muih, semuanya ada.

Namun sejak belakangan ini, sesetengah peniaga bazar Ramadan dikatakan mula berubah terutamanya dari segi harga dan juga kualiti mereka sehingga menyebabkan segelintir netizen mahu ‘memboikot’ bazar Ramadan.


Peniaga Naikkan Harga Kerana Kos Bahan Mentah Meningkat

Tidak dinafikan, kenaikan harga barangan di pasaran bukan sahaja memberi kesan kepada perbelanjaan harian sekeluarga, malah ia turut mempengaruhi para peniaga untuk menampung kos bahan mentah mereka.

Memetik laporan Berita Harian, kebanyakan peniaga di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) terpaksa menaikkan harga jualan mereka sekitar RM1 sehingga RM2 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Seorang peniaga yang menjual menu Martabak berkata harga bawang pada hari ini juga sudah meningkat sehingga mencecah RM7 untuk sekilogram.

Peniaga berkenaan turut memohon maaf kepada para pelanggan kerana perlu membuat keputusan sedemikian bagi menampung kos perniagaan.

Bergantung kepada pembeli untuk menerima kenaikan harga dengan hati yang terbuka. Kami peniaga tiada pilihan. Mohon maaf kepada semua pelanggan.

Peniaga Martabak ketika ditemui oleh wartawan Berita Harian.

Netizen Tak Setuju Dengan Kenaikan, Mahu ‘Boikot’ Bazar Ramadan

Oleh kerana peningkatan harga jualan yang semakin jelas kelihatan, sesetengah netizen mengambil keputusan untuk ‘memboikot’ bazar Ramadan.

Malah, ada juga netizen yang mendakwa sudah hampir tiga tahun tidak membeli di bazar Ramadan untuk mencari juadah berbuka puasa.

Mereka beranggapan masalah harga jualan yang mahal ini boleh diatasi dengan cara ‘memboikot’ jualan supaya harga diturunkan menjadi lebih berpatutan.

Seorang lagi netizen berkata dia lebih memilih untuk membeli hidangan dari peniaga di gerai biasa kerana dikatakan harga jualan masih kekal sama tanpa sebarang peningkatan.

Pada masa yang sama, netizen turut mendakwa wujud segelintir peniaga yang kurang peka dengan pasaran jualan dan sewenang-wenangnya menjual dengan harga mahal untuk mengaut keuntungan yang banyak.


Netizen Mengadu Kualiti Makanan Di Bazar Ramadan Semakin Menurun

Selain isu harga jualan, kualiti makanan di bazar Ramadan turut menerima kritikan dari netizen.

Baru-baru ini, tular seorang pelanggan yang meluahkan rasa kecewa selepas membeli kuih pulut kayu api di bazar Ramadan.

Menurutnya, rasa kuih berkenaan tidak seperti yang diharapkan kerana mempunyai rasa sedikit hangus di bahagian bawahnya.

Bukan itu sahaja, pulut kayu api itu juga dipercayai agak keras sehingga kedengaran bunyi ‘crack’ apabila diketuk pada pinggan.

Baca Artikel Berkaitan: Pelanggan Kecewa, Beli Pulut Panggang Tapi Keras Macam Kayu Api [Video]

Sumber: TikTok @kanda.nismilan

Dalam satu kejadian berlainan pula, seorang wanita turut berdepan situasi hampir sama selepas membeli juadah tauhu bergedil di bazar Ramadan tahun ini.

Wanita berkenaan meluahkan rasa bengang selepas mendapati bahawa inti yang dimasukkan di dalam tauhu bergedil adalah seperti inti kuih karipap iaitu kentang masak kari.

Perkara ini amat mengecewakan wanita itu kerana kebiasaannya tauhu bergedil akan diisi kentang lenyek yang digaulkan bersama daging atau ayam cincang, daun sup dan bawang goreng.

Baca Artikel Berkaitan: “Kau Letak Kari Kenapa?” – Wanita Kecewa Peniaga Bazar Ramadan Jual Tauhu Bergedel Inti Karipap

Sumber: TikTok @mamifaezaGLOWQUEENZ_

Kejadian seperti ini turut menimpa seorang lagi pelanggan apabila tidak dapat berbuka puasa dengan hidangan nasi ayam penyet yang dibelinya di bazar Ramadan.

Ini kerana ayam berkenaan sudah busuk dan tidak elok untuk dimakan.


Pesanan Buat Peniaga Bazar Ramadan

Sebelum bermulanya bulan Ramadan tahun ini, Public Health Malaysia (PHM) telah menitip pesanan kepada peniaga yang akan beroperasi di bazar Ramadan.

Antara pesanan yang diberikan adalah:

  • Untuk peniaga Roti John
    • Jangan menyediakan menu ini terlalu awal iaitu empat jam sebelum berbuka.
  • Untuk peniaga Ayam Percik atau Ayam Golek
    • Pastikan ayam dimasak dengan sempurna dan tiada darah.
  • Untuk perniaga Martabak
    • Basuh dahulu telur sebelum digunakan.
  • Peniaga Air Balang
    • Masak air sebelum digunakan dan tidak meletakkan ais batu di bahagian bawah jalan atau lantai.
Sumber: X

Semoga para peniaga di bazar Ramadan pada tahun ini dapat memberikan servis perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan mereka.

Baca Artikel Berkaitan: Ramadan 2024: Para Peniaga, Ini Pesanan Ringkas Buat Anda Semua


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd