Now Reading
“Lagu Sampah” – Najwa Latif Sebak Kongsi Kisah Dipandang Rendah Oleh Guru Sekolah

“Lagu Sampah” – Najwa Latif Sebak Kongsi Kisah Dipandang Rendah Oleh Guru Sekolah

Menurut Najwa, dia berdepan detik sukar semasa berumur 16 dan 17 tahun kerana kata-kata guru yang merendahkan kebolehan dirinya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bila sebut sahaja Najwa Latif, pasti ramai di kalangan belia yang mengenali penyanyi terkenal era awal tahun 2000 itu.

Malah, Najwa juga pernah mencetuskan fenomena di mana rata-rata golongan muda menggemari style dan lagu santai yang dibawa olehnya seperti ‘Cinta Muka Buku’.

Namun siapa sangka, penyanyi itu sendiri berdepan dengan detik sukar dalam kehidupannya sebelum berjaya dalam bidang seni hiburan tanah air.


Guru Najwa Latif Kata Dia Tak Akan Berjaya

Menerusi perkongsian yang tular di laman X (Twitter), Najwa Latif telah berkongsi kisah dilaluinya bersama orang ramai dalam satu sesi temu bual.

Menurut Najwa, seorang guru yang pernah mengajar semasa alam persekolahan telah melabelkan lagu ciptaannya bersama kakak sebagai lagu ‘sampah’.

Sumber: Instagram (@njwalatif)

Jelas penyanyi itu, dia berasa amat kecewa dan tersentak apabila guru sendiri berkata bahawa dirinya tidak akan berjaya.

Jadi bila cikgu dah cakap kita tidak akan berjaya, it is hard for us to believe that kita akan berjaya.

Najwa Latif.

Bercerita dalam keadaan sebak, Najwa menyifatkan tempoh pembelajaran di sekolah semasa berumur 16 dan 17 tahun merupakan detik paling sukar sepanjang hidupnya.


Sedih Dengan Kata-kata Guru

Kata-kata seorang guru itu memberikan impak besar kepada emosi Najwa sehingga dia menyatakan hasrat untuk berhenti sekolah kepada ibunya.

Wawa nak berhenti sekolah mak. Wawa kerja je dekat restoran makanan segera, kalau tak nyanyi pun takpelah. Wawa tak nak pergi sekolah, wawa tak suka.

Najwa Latif.

Tambah penyanyi lagu ‘Kosong’ itu, dia berasa sangat sedih apabila seseorang tidak percaya terhadap kebolehan dan bakat diri sendiri. Situasi itu bertambah pilu apabila Najwa mempercayai setiap perkara yang diperkatakan oleh orang lain tentang kebolehan dirinya.


Reaksi Netizen Terhadap Perkongsian Najwa Latif

Menjengah ke ruangan balas ciapan, rata-rata netizen memahami perasaan Najwa apabila seseorang merendahkan kebolehan diri sendiri.

“Faham sangat apa perasaan dia, pernah lalui. Tak tahu apa yang cikgu-cikgu dapat bila mendoakan yang buruk dekat pelajar. Tak kira teruk macam mana pun dia, doakan je yang baik-baik,” ujar seorang wanita.

Sumber: X

Sementara itu, segelintir warganet meminta orang ramai khususnya ibu bapa dan guru untuk menjaga pertuturan dan kata-kata yang dilontarkan kepada anak kerana ia mampu memudaratkan emosi mereka.

“Ada dua jenis pihak yang selalu dipandang tinggi oleh anak iaitu ibu bapa dan guru. Jadi berhati-hatilah bila nak bercakap dengan anak. Impaknya sangat besar sama ada ia membawa kebaikan atau keburukan,” kata seorang wanita.

Sumber: X

Malah ramai di kalangan pengguna laman X tidak bersetuju dengan kata-kata guru Najwa kerana penyanyi itu telah menghasilkan banyak lagu yang hit.

“Kebanyakan lagu Najwa hit dan catchy! Lagu-lagunya mungkin tidak rumit dari segi produksi tetapi kesederhanaan lagu itulah yang membuatkan ia mudah untuk didengari,” jelas seorang lelaki.

Sumber: X

Profil Najwa Latif

Najwa Latif atau nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif, 29, merupakan seorang penyanyi dan penulis lagu. Najwa mula dikenali ramai selepas memuat naik video lagu yang dinyanyikan semula (cover) di laman YouTube.

Najwa juga pernah tercalon dalam pelbagai anugerah besar seperti Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Single yang dikeluarkan turut berjaya menduduki carta atas menerusi stesen-stesen radio.

Sumber: Instagram (@njwalatif)

Antara lagu hit Najwa Latif adalah seperti:

  • Kosong
  • Untuk Dia
  • Carta Hati
  • Adamu
  • Sahabat

Bukan sahaja berjaya dalam bidang hiburan, malah penyanyi itu merupakan pelajar cemerlang dalam pendidikan. Najwa menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah (PhD) dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2021.

Sumber: Instagram (@njwalatif)

“Saya percaya semakin kita belajar, semakin kita sedar betapa sedikitnya ilmu yang kita tahu. Ilmu itu sangat luas dan takkan pernah ada penghujung,” kata Najwa, memetik Harian Metro.

Memang tidak dapat dinafikan era Najwa Latif amat memberi impak besar lebih-lebih lagi dalam kalangan anak muda terdahulu, sehinggakan ‘style’ tudungnya juga mencuri perhatian ramai.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd