Now Reading
Makanan Kenduri Jadi Tak Cukup, MUA Nasihat Jangan Sesuka Hati Ajak Individu Lain Ke Majlis Kahwin Orang

Makanan Kenduri Jadi Tak Cukup, MUA Nasihat Jangan Sesuka Hati Ajak Individu Lain Ke Majlis Kahwin Orang

Menurut satu kisah yang dikongsi oleh pengantin, bilangan tetamu yang diundang pada asalnya seramai 150 pax bertukar kepada 400 pax semasa majlis perkahwinan berlangsung.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Majlis perkahwinan merupakan satu acara yang dilangsungkan oleh pasangan yang sudah halal untuk berkongsi khabar gembira bersama kenalan terdekat.

Tetamu dijemput bukan sahaja dapat berjumpa dengan pasangan mempelai, malah mereka juga boleh menjamu lauk kenduri yang digemari ramai seperti set nasi minyak.

Namun begitu, banyak juga kes di mana juadah-juadah yang dihidangkan semasa majlis walimatul urus telah habis sebelum tamatnya kenduri. Apabila situasi sedemikian terjadi, tuan rumah pastinya akan berasa cuak dan panik.


Tetamu Majlis Perkahwinan Melebihi Jemputan Ditetapkan

Baru-baru ini, tular satu hantaran di akaun TikTok (@deakhalidmua) apabila seorang MUA (jurusolek artis) mendedahkan kisah yang pernah dikongsikan oleh seorang pengantin menerusi media sosial tentang majlis kenduri kahwinnya.

Menurut Dea, pengantin tersebut pada awalnya berniat untuk membuat majlis secara kecil-kecilan iaitu dengan menjemput ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat sahaja.

Secara keseluruhannya, tetamu yang diundang adalah seramai 150 orang. Namun begitu, difahamkan juadah yang dihidangkan buat para tetamu pada hari tersebut tidak mencukupi.

“Bila disiasat, rupa-rupanya individu yang diundang, menjemput pula orang lain yang tak dijemput secara langsung oleh pengantin.

“Orang yang datang ke majlis itu lebih kurang 400 orang tetamu di mana makanan mungkin disediakan 150 orang sahaja. Makanan kemudiannya jadi tak cukup,” ujarnya.

Oleh disebabkan kejadian malang itu, pengantin meluahkan rasa kecewa dan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kenalan yang menjemput individu lain untuk turut menghadiri kenduri tersebut.


Dea Nasihat Jangan Jemput Tetamu Sesuka Hati Ke Majlis Orang Lain

Turut berduka dengan nasib yang menimpa tuan majlis dan para pengantin, Dea menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan perkara sebegitu apabila diundang ke kenduri seseorang.

“Jangan pandai-pandai menyampaikan jemputan itu tanpa diberitahu oleh pengantin.

“Saya percaya kalau anda pergi sesebuah majlis atau kenduri di mana anda tidak dijemput secara langsung, kesudahnnya anda makan makanan di kenduri itu, hukum boleh jatuh haram. Jaga-jaga bab makan sebab dia jadi darah daging kita,” tambahnya lagi.

@deakhalidmua

Yang dijemput secara langsung tak perlu gatal mulut memanjangkan jemputan kepada orang yg tak terlibat melainkan bride/tuan rumah kirim jemputan. Hati-hati jgn sampai rosak majlis orang.

♬ original sound – Dea Khalid – Dea Khalid

Reaksi Netizen Terhadap Isu Tetamu Tak Diundang

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan oleh Dea.

“Pernah terkena di majlis sendiri. Memang dah set 100 pax tetapi yang datang 500 pax. Sampai saya kena marah dengan owner tempat tu semasa majlis sedang berlangsung,” kata seorang wanita.

Dalam pada itu, ramai juga mengatakan bahawa tuan majlis berkenaan sepatutnya menggandakan jumlah makanan yang patut disediakan untuk para tetamu ditetapkan.

“Sifir dia macam ni, kalau jemput 100 orang, sekurang-kurangnya kena sediakan makanan untuk 200 pax sebab fikir tetamu yang diundang mungkin akan membawa pasangan,” ujar seorang warganet.

Walau bagaimanapun, Dea menjelaskan bahawa gandaan jumlah makanan bukanlah isu asal kepada kisah tersebut.

Sebaliknya, untuk dijadikan peringatan kepada semua pihak untuk elak membuat keputusan sesuka hati iaitu menjemput orang lain yang tidak diundang.

“Besar ke kecil skala majlis itu adalah hak tuan rumah. Maximum jemputan adalah 150 pax. Tak perlu darab dua atau tiga untuk bajet makanan,” jelas Dea.

Sumber: TikTok (@deakhalidmua)

Hukum Hadir Ke Majlis Kahwin Tanpa Dijemput

Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, para ulama daripada empat mazhab berbeza (Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali) berpendapat haram hukumnya bagi seseorang hadir ke majlis kenduri tanpa dijemput, atau tanpa diketahui sama ada tuan rumah reda atau pun tidak.

Tindakan sebegitu yang dilakukan secara kerap dianggap menjatuhkan maruah kerana ia termasuk dalam kategori perbuatan memakan makanan yang haram.

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar R.Anhuma iaitu:

“مَنْ دُعِيَ فَلَمْ يُجِبْ فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ دَخَلَ عَلَى غَيْرِ دَعْوَةٍ دَخَلَ سَارِقًا وَخَرَجَ مُغِيرًا”

Maksudnya: Sesiapa yang dijemput tapi tidak memenuhi jemputan, dia telah engkar kepada Allah dan Rasul-Nya; dan siapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang.

[Sunan Abi Dawud (3741)]

Satu lagi hadis Abu Mas’ud menjelaskan, walaupun seseorang itu pada asalnya tidak boleh hadir untuk makan di majlis jamuan kerana tidak dijemput, namun hukumnya adalah harus jika tuan rumah memberi keizinan atau diketahui adanya keizinan daripada pemilik majlis.

Kesimpulannya, jika diyakini tuan rumah tidak reda tetamu hadir tanpa dijemput maka hukumnya adalah haram. Manakala hukumnya menjadi tidak haram sekiranya yakin tuan rumah reda dengan kehadiran anda.

Sebagai contoh, tetamu merupakan rakan atau saudara dan tiada permusuhan, namun terlupa untuk memberikan jemputan.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Makcik Di Kenduri Kahwin Mahu ‘Tapau’ Lauk Siap-siap Ketika Majlis Belum Bermula

Baca Artikel Berkaitan: “Dah Bayar Deposit Katering RM500.”- Nak Elak Rugi, Pengantin Edar Nasi Kenduri Ke Rumah Jiran

Baca Artikel Berkaitan: “Satu Berapa?”- Pergi Kenduri Kahwin, Uncle Ini Sangka Cendol Perlu Dibayar [Video]


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd