Now Reading
Netizen Harap Larangan Merokok Ditingkatkan Dengan Pelantikan Dr Dzulkefly Selaku Menteri Kesihatan

Netizen Harap Larangan Merokok Ditingkatkan Dengan Pelantikan Dr Dzulkefly Selaku Menteri Kesihatan

Menerusi rombakan kabinet kerajaan yang dilaksanakan semalam (12 Disember), Datuk Seri Dr Dzulkefly telah dilantik semula sebagai Menteri Kesihatan menggantikan Dr Zaliha Mustafa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (12 Disember), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan senarai rombakan kabinet selepas setahun Kerajaan Madani memerintah negara.

Terdapat beberapa senarai jemaah menteri yang ditukar selain Jabatan Kementerian juga ada yang dipecahkan.

Antara perubahan dilakukan ialah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang sebelum ini bekas Menteri Kesihatan memegang semula jawatannya menggantikan Dr Zaliha Mustafa.

Manakala Dr Zaliha telah bertukar portfolio sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Untuk info, Dr Dzulkefly sebelum ini pernah memegang jawatan sebagai menteri tersebut pada tahun 2018 namun digugurkan daripada portfolio berkenaan pada tahun 2020 akibat perubahan kerajaan.

Baca Artikel Berkaitan: Rombakan Kabinet: Ini Senarai Menteri & Jawatan Baharu Kerajaan MADANI


Masyarakat Harap Larangan Rokok Dalam Negara Akan Dipertingkatkan

Susulan kejayaan Dr Dzulkefly yang kini menerajui semula Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), orang ramai di media sosial telah meluahkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada beliau.

Menerusi ciapan di laman X (Twitter @XavierNaxa), lelaki tersebut berharap agar pelantikan semula Dr Dzulkefly dapat mendorong kepada peningkatan penguatkuasaan zon larangan merokok dalam negara.

Hal tersebut dipercayai selepas Dr Zaliha Mustafa sebelum ini telah menggugurkan peruntukan Generasi Penamat Rokok (GEG) yang bertujuan melarang individu dilahirkan selepas 2007 memiliki, membeli mahupun merokok termasuk penggunaan vape.

Walaupun penghentian GEG itu dikatakan bukanlah penamat kepada usaha melahirkan generasi tidak merokok, namun orang ramai khususnya di media sosial telah menzahirkan kerisauan mereka terhadap golongan orang muda.

Sumber: X

Orang Ramai Minta Bantuan Dr Dzulkefly Untuk Kawal Kes Covid-19 Yang Meningkat

Bukan itu sahaja, orang ramai juga berharap agar khidmat disumbangkan oleh Dr Dzulkefly nanti mampu mengurangkan atau mengawal kes virus Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini.

“Covid-19 juga semakin meningkat, besar harapan saya agar Dr Dzulkefly dapat mengelak penularan sebelum menjadi malapetaka seperti dulu,” jelas lelaki itu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, kes Covid-19 dalam negara meningkat kepada 6,796 kes pada Minggu Epidemiologi ke-48 (ME48/2023) iaitu dari 26 November hingga 2 Disember.

Jumlah kes positif yang meningkat berbanding 3,626 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya telah membuatkan masyarakat setempat berasa risau.

Dr Muhammad Radzi berkata hingga ME48/2023, 72.9% daripada varian membimbangkan (VOC) yang dikesan merupakan varian Omicron, diikuti dengan 26.2% varian Delta dan selebihnya varian Beta serta Alpha.

Sumber: Malay Mail

Reaksi Netizen Terhadap Pelantikan Semula Dr Dzulkefly

Menjengah ke ruangan balas hantaran, rata-rata warganet telah menzahirkan ucapan tahniah dan mendoakan kesejahteraan Dr Dzulkefly agar beliau boleh berkhidmat untuk negara.

“Semoga Dr diberikan kesihatan baik dan kekuatan untuk meneruskan perjuangan yang panjang ini. Terutamanya hal-hal berbangkit dahulu yang masih belum diselesaikan,” ujar seorang netizen.

Malah, ramai juga di antara mereka yang mengharapkan agar peraturan larangan merokok diperketatkan semula khusunya di premis makanan.

“Poster besar larangan merokok di kedai mamak telah banyak telah dicabut,” kata seorang warganet.

Untuk pengetahuan semua, larangan kawasan merokok membabitkan semua kawasan premis makanan yang dilaksanakan sejak Januari 2019 masih lagi berkuatkuasa.

Namun begitu, tinjaun di kedai makan sekitar ibu kota mendapati masih ramai lagi perokok tegar dengan selamba menghisap rokok dalam premis makanan walaupun terdapat notis larangan yang dilekatkan pada dinding.

Sumber: X (Twitter @XavierNaxa)

Baca Artikel Berkaitan: Dr Dzulkefly’s Five Major Moments As Health Minister

Baca Artikel Berkaitan: “Selamat Kembali!” – Ramai Teruja Dengan Pelantikan Semula Dr Dzulkefly Sebagai Menteri Kesihatan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd