Now Reading
Digelar ‘Opportunist’ Selepas Keluarkan Semula Koleksi ‘dUCk Palestine’, Vivy Yusof Tampil Beri Penjelasan

Digelar ‘Opportunist’ Selepas Keluarkan Semula Koleksi ‘dUCk Palestine’, Vivy Yusof Tampil Beri Penjelasan

Hasil jualan daripada koleksi ‘dUCk Palestine’ akan disalurkan kepada Viva Palestina Malaysia (VPM) bagi membantu menyediakan makanan, air bersih, tempat tinggal dan perubatan kepada rakyat Palestin.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (15 Oktober), The dUCk Group telah mengeluarkan semula koleksi ‘dUCk Palestine’ mereka untuk mengumpul dana bagi memberi sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Koleksi ‘dUCk Palestine’ itu terdiri daripada tudung, cawan, dan beg yang menampilkan warna serta corak bendera Palestin.

Kesemua hasil jualan juga akan disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Viva Palestina Malaysia (VPM) bagi memberi pertolongan dari segi makanan, akses kepada air bersih, bantuan perubatan dan tempat tinggal kepada masyarakat Palestin.

Pada tahun 2021, The dUCk Group telah bekerjasama dengan VPM dan berjaya mengumpulkan RM1 juta dana kecemasan untuk membantu rakyat Palestin di Al Aqsa dan Gaza.


Koleksi ‘dUCk Palestine’ Raih Pelbagai Reaksi Dari Netizen

Walaupun sudah dimaklumkan bahawa hasil jualan akan disumbangkan kepada rakyat Palestin, namun sesetengah individu melihatnya sebagai satu tindakan yang bersifat kapitalisme.

Sementara itu, netizen turut menganggap jualan koleksi ‘dUCk Palestine’ merupakan salah satu langkah syarikat untuk mengaut keuntungan daripada penderitaan orang lain.

Netizen yang tidak bersetuju dengan inisiatif tersebut dan berpendapat mereka yang benar-benar mahu membantu rakyat Palestin boleh menderma terus kepada badan amal dan bukannya membeli barangan daripada mana-mana syarikat.

Bahkan, ada yang mempersoalkan motif jualan cawan dengan bendera Palestin di saat Gaza terputus bekalan air.

Pada masa yang sama, seorang netizen mencadangkan agar The dUCk Group memperuntukkan peratusan tertentu daripada keuntungan semasa mereka kepada badan amal terbabit.


Vivy Yusof Beri Respon Terhadap Kritikan Yang Diterima Terhadap Koleksi ‘dUCk Palestine’

Peka dengan isu yang timbul, Pengasas dUCk Group, Datin Vivy Yusof menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Instagram miliknya (@vivyyusof) tampil memberi penjelasan terhadap pengeluaran koleksi ‘dUCk Palestine’.

Menurutnya, koleksi tersebut dikeluarkan semula selepas dikatakan mendapat permintaan dari pelanggan mereka yang mahu menunjukkan solidariti terhadap Palestin dengan memakai koleksi tudung tersebut.

Bukan itu sahaja, pemakaian koleksi tudung berkenaan juga adalah untuk menyebarkan kesedaran tentang apa yang sedang berlaku antara Palestin dan Israel.

Tambah Vivy lagi, beliau menjelaskan bahawa 100% daripada hasil itu disalurkan kepada VPM untuk menyediakan bekalan perubatan, tempat tinggal dan makanan kepada rakyat Palestin.

Syarikat mereka juga tidak akan mendapat bayaran balik cukai daripada jualan tersebut dan orang ramai boleh mengesahkannya dengan VPM.

Selain itu, Vivy turut menggalakkan orang ramai untuk menderma terus kepada NGO itu seperti yang dinyatakan pada setiap kapsyen catatan Instagram memaparkan koleksi ‘dUCk Palestine’.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd