Dakwaan Sekolah Agama Di Selangor Diarah Tutup Adalah Tidak Benar
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan dakwaan penutupan sekolah agama di Selangor sebagai fitnah yang sengaja diulang-ulang dan tidak berasas.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, tular dakwaan yang mengatakan bahawa lebih 200 buah sekolah agama di negeri Selangor diarahkan tutup dan berpindah.
Memetik sumber Harakah Daily, Pengerusi Sekretariat NGO ISLAM Selangor Datuk Nazilah Idris mendakwa pihak sekolah agama yang terlibat dikatakan telah mendapat surat amaran untuk keluar daripada premis perniagaan.
Dalam satu sidang media di Hotel Tenera, Bangi pada 13 Ogos lalu, badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dipercayai meluahkan rasa bimbang dengan kesan kuasa orang bukan Islam terhadap isu ini.
Kesemua pemimpin ataupun parti politik Melayu Islam di Selangor perlu bersatu. Politik Melayu-Islam perlu kuat dan bersatu untuk memastikan agenda agama Islam dan bangsa Melayu serta tanah air kita terus terbela dan dijaga dengan baik.
Pengerusi Sekretariat NGO ISLAM Selangor Datuk Nazilah Idris.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Nafi Arah Sekolah Agama Di Selangor Ditutup
Pun begitu, Menteri Di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama) Datuk Setia Mohamad Na’im Mokhtar menerusi satu kenyataan menegaskan dakwaan yang mengatakan bahawa lebih 200 sekolah agama diarahkan untuk ditutup adalah tidak benar.
Na’im Mokhtar menjelaskan bahawa Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor telah dikuatkuasa sejak 1 Januari 2021 bagi menjaga keselamatan seluruh warga institusi tahfiz.

Garis panduan itu dibentuk ekoran kejadian insiden kebakaran yang telah mengakibatkan kemalangan jiwa di sekolah agama persendirian di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada tahun 2017.
Garis Panduan Dikeluarkan Pada Tahun 2021
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui kerajaan negeri juga telah menetapkan bahawa pihak sekolah perlu memenuhi syarat pendaftaran melalui garis panduan yang dikeluarkan.
Kelonggaran telah diberikan kepada pihak sekolah selama dua tahun. Dalam tempoh ini, pihak JAIS telah mengeluarkan pendaftaran lanjutan kepada pihak sekolah bagi memberi peluang mereka mendapatkan ulasan dari agensi yang berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Setia Mohamad Na’im Mokhtar.
KENYATAAN MEDIA
— Dato’ Setia Dr.Na’im (@DSDrNaim) August 16, 2023
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
(HAL EHWAL AGAMA)
BERKAITAN
DAKWAAN SEKOLAH AGAMA DI NEGERI SELANGOR DIARAH TUTUP pic.twitter.com/k87OkPf8Mk
Memetik laporan RTM, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas dan seolah-olah mahu memburukkan usaha pemutihan sekolah agama persendirian.
Usaha pemutihan sekolah agama persendirian dilakukan dengan matlamat untuk meningkatkan kualiti dan taraf institusi pendidikan tersebut di Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.
Tambahnya lagi, usaha tersebut dilakukan mengikut titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang bimbang dengan peningkatan kes kemalangan melibatkan pelajar sekolah agama termasuk tragedi kebakaran yang meragut 23 nyawa dan mencederakan lima murid pada tahun 2017.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan yang dimuat naik di laman Twitter miliknya (@AmirudinShari) turut menyifatkan dakwaan penutupan sekolah agama di Selangor sebagai fitnah yang sengaja diulang-ulang dan tidak berasas.
Hentikan fitnah yang diulang ulang. Telah dijawab semasa bulan Julai, dakwaan bahawa lebih 200 sekolah agama ditutup di Selangor adalah fitnah dan tidak berasas https://t.co/Hw7kaNSwFu
— Amirudin Shari (@AmirudinShari) August 16, 2023
Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor
Menerusi carian kami, Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor ini telah diluluskan semasa mesyuarat pada 21 Disember 2020 dan mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2021.
Garis panduan ini dikeluarkan bagi menyelaraskan permohonan kelulusan perancangan untuk tujuan pemutihan institusi tahfiz persendirian sedia ada, cadangan mekanisma penyelesaian perlu dilaksanakan dengan menyeluruh.
Selain itu, faktor kesesuaian ciri-ciri fizikal bangunan sedia ada mengikut lima kategori zon guna tanah yang dibenarkan dan jenis kebenaran merancang juga perlu diambil kira atas faktor keselamatan.
Lima kategori zon guna tanah yang dibenarkan adalah:
- Guna Tanah Pertanian
- Guna Tanah Perumahan
- Guna Tahan Perniagaan
- Guna Tanah Industri
- Guna Tanah Kemudahan
Jenis kebenaran merancang bagi tujuan pemutihan institusi tahfiz persendirian ini pula meliputi:
- Kebenaran Merancang Pendirian Bangunan
- Kebenaran Merancang Perubahan Material Penggunaan Bangunan (Tempoh Terhad)
Untuk maklumat penuh berkaitan Garis Panduan Pemutihan Sekolah Agama (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor, boleh rujuk [DI SINI].
Sumber: Harakah Daily | Berita RTM | Twitter
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.