Pemandu E-Hailing Didakwa Mati Dikunci Dalam Rumah Di Petaling Jaya, Ini Sebenarnya Yang Berlaku
Tuan rumah mengakui telah mengunci rumah tersebut pada 2 Julai lalu tetapi tidak mengetahui bahawa mangsa berada di dalam rumah.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kematian seorang pemandu e-hailing warga Malaysia yang menemui ajalnya di sebuah unit kondominium menjadi perbualan ramai selepas dia dipercayai dikunci dari luar rumah.
Apa sebenarnya yang berlaku?
Memetik laporan Sin Chew Daily, mangsa berusia 40an dikatakan telah menyewa rumah tersebut di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor sejak 18 tahun lalu.
Walau bagaimanapun, pemilik rumah mengatakan penyewa tersebut mempunyai tunggakan bayaran sewa selama tiga bulan sejak Mac lalu sebanyak RM1,000.
Susulan itu, tuan rumah mengambil keputusan untuk mengunci kediaman berkenaan selepas mangsa gagal membayar sewa bulanan.
Namun, jiran-jiran berhampiran rumah itu mengadu mereka terhidu bau busuk daripada unit tersebut. Tidak lama selepas itu, mangsa didapati mati di dalam kediaman terbabit.

Ahli Keluarga Mangsa Mahu Saman Pemilik Rumah
Tuan rumah itu mengakui dia telah mengunci rumah tersebut pada 2 Julai lalu tetapi tidak megetahui bahawa mangsa berada di dalam kediamannya itu.
Saya sudah cuba menghubunginya lebih daripada 30 kali dan cuba mencari dia di rumah tetapi tiada jawapan. Jadi, saya berfikir mungkin dia telah berpindah secara senyap-senyap, jadi saya mengunci pintu rumah dengan rantai.
Pemilik rumah.
Oleh disebabkan itu, ahli keluarga mangsa dari Johor mendakwa mangsa meninggal dunia akibat tindakan tuan rumah yang mengurungnya sehingga mati kelaparan.
Mereka juga mempertimbangkan keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik kediaman berkenaan.

Pemilik rumah menyatakan kali terakhir dia menghubungi mangsa adalah pada bulan Mac lalu ketika dimaklumkan tentang kemalangan yang berlaku kepada mangsa.
Mangsa bagitahu saya dia terlibat dalam kemalangan dan akan membayar sewa kemudian. Itu kali terakhir kami berhubung dan saya hanya tahu dia meninggal dunia lepas dapat panggilan daripada pihak polis.
Pemilik rumah.

Mangsa Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut dan tiada bukti ia terlibat dengan sebarang unsur jenayah.
Hasil daripada laporan bedah siasat turut menyatakan punca kematian akibat daripada serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid.
Siasatan kes ini masih diteruskan dan menggesa individu yang mempunyai maklumat untuk menghubungi pihak polis.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.