Now Reading
Apa Hukum Rotan Atau Pukul Anak Hingga Alami Kecederaan? Ini Penjelasan Pejabat Mufti WP

Apa Hukum Rotan Atau Pukul Anak Hingga Alami Kecederaan? Ini Penjelasan Pejabat Mufti WP

Kesimpulannya, merotan anak hendaklah dengan niat untuk mendidik anak-anak serta membentuk peribadi mulia pada diri mereka dan bukannya untuk menghukum anak-anak dan mencederakan mereka.

pukul anak rotan anak

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Ayah, Abah, Daddy, Papa, Walid.

Salah seorang individu yang jika dari luar memang nampak keras, tegas, garang, dan muka tak pernah senyum. Kadangkala, memang akan bertikam lidah dengan mereka gara-gara perkara kecil.

Akan tetapi, setiap individu yang bergelar anak dinasihati supaya tidak melawan ataupun menggunakan perkataan kesat ketika dimarahi/diteguri oleh orang tua, ya. Apa jua yang terjadi, mereka tetap darah daging dan ibu bapa kita sehingga ke akhir hayat.

Dan, janganlah sehingga membenci hanya disebabkan pernah dimarahi. Mereka nampak garang dan tegas, tetapi dalam hati masih menyayangi dan mengasihani anak-anaknya.

Sekian, pesanan ringkas masyarakat.


Isu Ibu Bapa Pukul Atau Rotan Anak Sehingga Cedera, Apa Hukumnya Dalam Pandangan Islam?

Umum sedia maklum, zaman sekarang ini terdapat beberapa kes yang melibatkan anak-anak yang dipukul ataupun dirotan oleh ibu bapa kandung sehingga menyebabkan kecederaan parah.

Malah, ada juga anak-anak yang dilaporkan mengalami kecacatan kekal akibat dipukul.

Oleh yang demikian, bagi mengulas tentang hukum merotan anak sehingga cedera ini menurut pandangan Islam, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan penjelasan yang tepat berikutan isu tersebut.

Baca perkongsian penuh di bawah:

Ibu Bapa Wajib Mendidik Anak Yang Beragama Islam.

Dalam satu kenyataan, mufti menjelaskan bahawa ia menjadi satu tanggungjawab dan kewajipan ke atas setiap ibubapa yang beragama Islam untuk mendidik anak-anak mereka.

Pendidikan kepada anak-anak itu berlaku dalam erti kata menyuruh ke arah kebaikan dan melarang daripada melakukan keburukan.

Di antara contoh nas yang memerintahkan kepada kedua ibu bapa supaya memberikan didikan kepada anak-anak mereka adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amru bin Al- ‘Ash R.anh bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرِ سِنِينَ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ

Maksudnya: Perintahkanlah anak-anak kalian untuk mendirikan solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (jika mereka tidak mahu melaksanakannya) ketika mereka berumur sepuluh tahun dan asingkanlah mereka daripada tempat tidur kamu. (Riwayat Abu Daud|495).


Perintah Syarak Ditujukan Kepada Ibu Bapa Untuk Beri Didikan Terutama Ibadah Solat.

Di dalam hadis di atas, perintah daripada syarak adalah ditujukan kepada ibu bapa untuk memberi didikan kepada anak-anak mereka terutamanya dalam melaksanakan ibadah solat.

Zahir daripada hadis di atas adalah, kedua ibu bapa boleh untuk memukul anak-anak mereka jikalau anak-anak itu meninggalkan solat semasa berumur sepuluh tahun.

Imam al-Nawawi Rahimahullah ada mensyarahkan hadis ini ketika beliau mengulas kenyataan pemilik kitab al-Muhazzab yang berkata: Dan tidaklah diperintahkan solat ke atas seseorang yang tidak wajib ke atas dirinya untuk menunaikan solat kecuali kepada kanak-kanak.

Ini kerana, kanak-kanak diperintahkan (oleh ibu bapa) untuk mengerjakan solat ketika mereka berumur tujuh tahun, dan dipukul jika mereka meninggalkannya ketika berusia sepuluh tahun.

Beliau kemudiannya menukilkan kata-kata Imam alSyafie Rahimahullah mengatakan: Menjadi tanggungjawab ke atas para ibu dan bapa untuk mendidik anak-anak mereka, serta mengajarkan ilmu berkaitan taharah, solat, dan memukul anak-anaknya sekiranya mereka meninggalkannya semasa telah sampai umur berakal (mumayyiz).

Demikian juga Imam al-Rafi’e Rahimahullah berkata: Wajib ke atas para ibu dan bapa untuk mengajarkan anak-anak mereka itu tentang taharah, solat, dan syariat-syariat apabila anak-anak mereka telah berumur tujuh tahun dan memukul anak-anak itu jika mereka meninggalkannya setelah mereka berumur sepuluh tahun.


Kaedah Didik Anak.

Seperti yang ibu bapa tahu, anak-anak ini ibarat kain putih yang perlu dicorakkan mengikut citarasa orang tua mereka sendiri.

Malah, dalam Islam juga terdaapt beberapa cara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mencorakkan keperibadian anak mereka iaitu dengan lidah, teguran lemah lembut, dan lain-lain.

Selain itu, terdapat dua lagi cara yang boleh dilakukan iaitu:

  • Merotan.
  • Memukul.

Walau bagaimanapun, perkara paling asas yang perlu difahami adalah, konsep merotan dan pukulan kepada anak-anak di dalam Islam adalah lebih kepada proses pendidikan dan membentuk adab, dan bukannya bersifat menjatuhkan hukuman.

Justeru, syarak meletakkan beberapa dhawabit (kriteria) dalam menjalankan kedua-dua proses tersebut. Kami ringkaskannya seperti berikut:

  • Dalam merotan anak-anak, sebatan tidak boleh dilakukan dengan melebihi 10 kali.
    • Ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Burdah al-Ansari R.anhu bahawa Nabi S.A.W bersabda: لَا يُجْلَدُ فَوْقَ عَشَرَةِ أَسْوَاطٍ إِلَّا فِي حَدِّ مِنْ حُدُودِ اَللَّهِ (Tidak disebat seseorang itu melebihi sepuluh kali sebatan kecuali pada (hukuman) had daripada hudud-hudud Allah SWT).
  • Rotan pula hendaklah dengan niat untuk mendidik anak-anak serta membentuk peribadi mulia pada diri mereka dan bukannya untuk menghukum anak-anak dan mencederakan mereka.
  • Berkenaan dengan memukul pula, ibubapa dilarang untuk memukul ke bahagian muka anak-anak. Ini kerana, terdapat larangan daripada Nabi S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah anh bahawa baginda bersabda: إِذَا قَاتَلَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيَجْتَنِبِ الْوَجْهَ (Apabila salah seorang daripada kamu bergaduh maka hendaklah dia menjauhi (dari memukul) muka).

Ini kerana, muka seseorang adalah tempat yang lembut dan menghimpunkan keseluruhan keindahan. Bahagian anggota padanya juga lembut dan boleh rosak apabila dipukul.

  • Memukul juga tidak boleh menyebabkan kerosakan dan kemudaratan pada tubuh badan anak-anak. Ini sebagaimana yang dinyatakan, tujuan dipukul adalah bersifat ta’dibi (memberi pendidikan) dan bukannya ta’qibi (memberi hukuman dan seksaan).

Kesimpulan.

Merotan anak dengan cara melampau dan menyebabkan kecederaan adalah haram.

Ini kerana Islam menolak sebarang bentuk kekerasan sekalipun dalam perkara kebaikan dan melarang kepada perbuatan yang memberi mudarat.

Ketahuilah bahawa anak-anak adalah satu amanah daripada Allah SWT untuk dipelihara dan diberi didikan sebaik mungkin oleh ibu bapa dan setiap ibubapa akan dipersoal di akhirat kelak terhadap apa yang telah mereka lakukan kepada anak-anak mereka. Dalam memberi didikan, ia bukanlah sekadar dengan merotan atau memukul. Sebaliknya, lakukanlah gabungan di antara al-Targhib (memberi ransangan atau anjuran) dan juga al-Tarhib (memberikan amaran dan ancaman) dalam membentuk peribadi anak-anak.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

BACA JUGA: Niat Nak Ke Tandas Je, Tapi Kanak-kanak Ini Terus Solat Di Masjid Lepas Dengar Azan

BACA JUGA: Kanak-kanak Lelaki Ditemui Di Cheras Utama Seorang Diri Dengan Banyak Kesan Luka Pada Tubuh Badan


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd