Pemuda Dedah Detik Cemas Anak Kecil Hampir Diculik 2 Wanita Di Genting Highlands
Wanita warga Pakistan cuba untuk menculik anak kecil di sebalik kain putihnya ketika berada di Taman Tema (Indoor) Skytropolis, Genting Highlands.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Genting Highlands adalah salah satu lokasi yang menjadi tumpuan keluarga untuk membawa anak-anak mereka bercuti.
Antara tempat yang menjadi pilihan orang ramai adalah di Skytropolis Indoor Theme Park. Banyak permainan yang menyeronokkan di sini. Jangan kata kanak-kanak, golongan dewasa pun enjoy datang.
Tetapi di sebalik keseronokan itu, keselamatan anak-anak tetap perlu diambil berat kerana zaman sekarang ini ramai pihak yang berani berniat jahat meskipun di tempat awam.
Anak kecil hampir diculik oleh wanita warga asing berkain putih
Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna TikTok (@alfitryazmi52) menceritakan detik cemas apabila anak kecil kepada salah seorang pekerjanya didakwa hampir diculik oleh dua orang wanita warga asing.
Kejadian tersebut berlaku ketika mereka sedang bermain roller coaster di Skytropolis Indoor Theme Park di Genting Highlands.
Nak dijadikan cerita, isteri kepada pekerjanya itu yang dikenali sebagai Eykin berkeras tidak mahu turut serta bermain roller coaster dan ingin menjaga anak kecil mereka dan barangan peribadi.
Ketika berada di atas roller coaster, pemuda ini ternampak keadaan yang agak mencurigakan selepas Eykin dikerumuni oleh beberapa wanita asing berkain putih.
Yang macam pakai telekung itu orang Pakistan dan yang bertudung putih itu orang Indonesia. Dari atas kami nampak mereka cuba kepung Eykin dan nak tarik anak kecilnya masuk ke dalam kain sari seolah-olah mahu menculik.
Alfitry Azmi.

Bukan itu sahaja, wanita warga Pakistan itu juga dikatakan melibas-libas barang mereka sambil membaca sesuatu.
Dia siap libas-libas barang kami macam tengah baca sesuatu. Mungin dia nak pukau Eykin tapi ‘bacaan’ dia itu tak menjadi.
Alfitry Azmi.
Terus panggil polis berdekatan untuk tangkap dua wanita asing itu
Turun sahaja dari permainan roller coaster, suami kepada Eykin terus mencari beberapa orang polis untuk melaporkan tentang kejadian yang berlaku.
Tidak lama selepas itu, dua orang wanita asing berkenaan dibawa berjumpa dengan pihak keselamatan di lokasi tersebut.
Suami Eykin turun je dari roller coaster terus cari polis sebab sudah jadi kes besar. Rasa macam nak belasah pun ada tapi kita serahkan kepada pihak polis. Kita buat cara profesional.
Alfitry Azmi.

Berikutan itu, pemuda ini memberi nasihat kepada orang awam untuk lebih berhati-hati ketika membawa anak kecil mereka ke lokasi yang mempunyai ramai orang.
Perkongsian video tersebut mendapat perhatian ramai sehingga meraih hampir empat juta tontonan sejak artikel ini ditulis.
Ada juga yang hampir kena perkara yang sama
Menjengah ke ruangan komen video berkenaan, beberapa pengguna media sosial turut berkongsi cerita apabila mereka hampir terkena perkara yang sama di beberapa lokasi tumpuan orang ramai.




Video yang dimuat naik ini sedikit sebanyak memberi peringatan kepada orang ramai untuk lebih berwaspada dengan orang sekeliling ketika berada di tempat awam.




Pihak polis akan lakukan siasatan
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia menerusi akaun Twitter mereka (@PDRMsia), pihak keselamatan Genting Highlands telah membuat laporan polis semalam (19 September) berhubung video yang tular itu.
Polis Daerah Bentong juga mengesahkan mereka tidak menerima sebarang laporan daripada pihak yang terlibat.
Walau bagaimanapun, pihak IPD Bentong akan menjalankan siasatan dan menghubungi pemilik akaun TikTok itu bagi mendapatkan maklumat lanjut tentang kejadian yang berlaku.
Ketua Polis Daerah Bentong Supritenden Zaiham Mohd Kahar menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
ISU TULAR: SIARAN MEDIA KETUA POLIS DAERAH BENTONG
— Polis Diraja M'sia (@PDRMsia) September 20, 2022
Tular Di Media Sosial Bahawa Seorang Kanak-Kanak Hampir Menjadi Mangsa Culik Di Genting Highlands, Bentong, Pahang.
Sumber: POLIS Bentong pic.twitter.com/AoYz0E2JOH
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.