“Dulu Nampak Orang Pengsan Saya Lari” – Abang Viva Ikut Kursus Selamatkan Mangsa Bencana
Abang Viva atau nama sebenar Azwan bin Omar telah menghadiri Kursus Asas Pertahanan Awam anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selama tiga hari.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan bin Omar mula dikenali ramai di media sosial selepas dia dikatakan sanggup memandu seorang diri dari Melaka menaiki kereta Viva dengan membawa bot bagi membantu mangsa banjir di Selangor pada bulan Disember lalu.
Lebih menjadi inspirasi adalah apabila perjalanannya itu hanya berbekalkan RM50 iaitu RM30 untuk mengisi minyak dan selebihnya untuk membeli makanan serta minuman.
Malah ketika ingin melakukan misi bantuan di Selangor, Azwan sanggup mengambil cuti kecemasan daripada majikannya semata-mata mahu bantu menyelamatkan mangsa.
Bantuan yang diberikan oleh pemuda berkenaan telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menerusi pemberian sijil penghargaan.
BACA JUGA: Bantuan Abang Viva Ketika Banjir Kini Diiktiraf JPAM
Abang Viva ikuti kursus untuk beri bantuan kepada mangsa
Baru-baru ini, Azwan yang berusia 30 tahun dikhabarkan telah mengikuti Kursus Asas Pertahanan Awam anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selama tiga hari bagi menambahkan ilmu ketika melakukan misi menyelamat.
Menerusi laporan Utusan, Azwan meluahkan rasa lebih yakin untuk memberi bantuan kepada mangsa bencana selepas mempelajari beberapa kemahiran asas seperti bantuan pernafasan (CPR) serta ikatan penting.
Dulu kalau nampak orang pengsan pun saya lari. Sekarang In Shaa Allah saya boleh bantu dengan ilmu yang saya pelajari daripada Kursus Asas Pertahanan Awam. Banyak yang saya belajar di sini seperti ikatan simpul mati dan bantuan pernafasan.
Azwan bin Omar.
Tambahnya lagi, ini adalah pengalamannya yang pertama menyertai kursus APM meskipun sudah berkali-kali membuat misi bantuan secara solo.
Ini pengalaman pertama saya sertai kursus anjuran APM. Dulu saya memang tak tahu apa-apa. Pergi misi bantuan banjir seorang diri tanpa sebarang pengalaman. Tapi dengan kursus ini stamina dan ilmu saya semakin bertambah.
Azwan bin Omar.
Selepas misi bantuan banjir di Selangor, Azwan turut menghulurkan bantuan ke negeri lain yang turut dilanda bencana banjir seperti Pahang dan Kedah.
BACA JUGA: The People’s Champion Is Back: East Coast Flood Victims Look To Abang Viva For Help
Mulia betul hati Abang Viva ini. Kami di TRP mengucapkan ribuan terima kasih kepada Azwan di atas segala pengorbanan yang telah dilakukan untuk membantu mangsa-mangsa banjir.
Semoga beliau diberikan kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah ruah. Amin.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.