Now Reading
Mydin: Bagaimana Dari Sebuah Kedai Runcit Kecil Menjadi Pasar Raya Terkenal Di Malaysia

Mydin: Bagaimana Dari Sebuah Kedai Runcit Kecil Menjadi Pasar Raya Terkenal Di Malaysia

Perniagaan Mydin Malaysia kini diambil alih oleh anaknya iaitu Datuk Wira Haji Dr. Ameer Ali Mydin yang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan.

pasar raya Mydin Malaysia

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Kedai runcit atau pasar raya adalah tempat yang menjadi tumpuan orang ramai untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti bekalan makanan, minuman, sabun basuh baju, pencuci muka dan sebagainya.

Walaupun barang yang sama, tetapi beberapa barangan ini mempunyai harga yang sedikit berbeza di setiap tempat. Ada juga pasar raya yang kerap menawarkan harga promosi untuk menarik lebih ramai pelanggan.

Kalau setakat nak beli satu dua barang sahaja, pergi kedai runcit pun sudah mencukupi. Tapi kalau nak beli barang dalam kuantiti yang agak banyak, lebih mudah dibeli di pasar raya besar.

BACA JUGA: Lelaki Ini Kongsi Sejarah Pasar Mini 99 Speedmart Yang Ramai Tak Tahu

Antara lokasi pilihan orang ramai untuk membeli barangan adalah di pasar raya Mydin.

Sejarah penubuhan pasar raya Mydin Malaysia

Pergilah mana-mana negeri sekali pun, pastinya nama Mydin akan dikenali masyarakat tempatan kerana pasar raya ini sering menawarkan harga barangan yang murah dan berpatutan kepada pelanggan mereka.

Di sebalik harga murah yang sering ditawarkan, ada kisah dan sejarah di sebaliknya. Nak tahu? Jom baca perkongsian yang dimuat naik oleh seorang pengguna Twitter (Richard Ker) ini tentang kejayaan pasar raya Mydin.

Sumber: JEKS Engineering

Buka kedai runcit pertama di Kota Bharu, Kelantan

Pasar raya Mydin diambil sempena nama pengasasnya iaitu Mydin Mohamed.

Inspirasi untuk menubuhkan sebuah pasar raya ini bermula apabila perniagaan di Pulau Pinang milik bapa kepada Mydin iaitu Gulam Husen Jamal hangus terbakar ketika peperangan yang berlaku di Tanah Melayu.

Pada tahun 1957 ketika Tanah Melayu baru mencapai kemerdekaan, Mydin telah membuka kedai runcit pertamanya di Kota Bharu, Kelantan. Lokasi ini dipilih kerana berhampiran dengan Thailand yang memudahkan beliau mendapatkan sumber barangan dengan mudah dan harga murah.

Sumber: Kosmo

Walaupun masih muda, Mydin rajin bekerja keras sehingga sanggup menaiki basikal dan bas untuk menghantar pesanan barang kepada pelanggannya.

22 tahun kemudian selepas mempunyai duit simpanan yang mencukupi, Mydin membuka cawangan baharu di Kuala Terengganu pada tahun 1979 dan di Kuala Lumpur pada tahun 1989.

Sumber: Twitter Richard Ker

Sehingga kini, Mydin mempunyai lebih 100 cawangan di seluruh Malaysia termasuklah pasar raya besar, emporium, pasar mini dan kedai serbaneka. Pendapatan mereka juga pastinya sudah mencecah lebih satu bilion Ringgit.

Daripada makanan, barangan elektrik dan produk Muslim, semuanya ada di Mydin dan membuatkan orang ramai lebih mudah mendapatkan segala keperluan di satu lokasi yang sama.

Sumber: Twitter Richard Ker

Perniagaan Mydin kini diwarisi oleh anaknya

Dukacitanya, pengasas Mydin iaitu Mydin Mohamed dilaporkan telah meninggal dunia pada tahun 2016 ketika berusia 88 tahun berikutan faktor sakit tua.

Kini, perniagaan Mydin telah diambil alih oleh salah seorang anaknya iaitu Datuk Wira Haji Dr. Ameer Ali Mydin yang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan.

Sumber: The Malaysian Reserve

Berkembang maju dengan arus kemodenan zaman kini, akaun Twitter rasmi milik Mydin menjadi salah satu contoh bagaimana perniagaan mereka semakin dikenali secara online dengan memperbanyakkan interaksi dengan warganet serta mengikuti perkembangan semasa.

Sehingga kini, Mydin memegang kepada beberapa prinsip mereka untuk terus berkembang maju. Antara prinsip yang diamalkan adalah seperti:

  • Mempunyai inisiatif.
  • Berpandangan jauh.
  • Tegas.
  • Beretika.
  • Berintegriti dan boleh dipercayai.
  • Mempunyai tanggungjawab sosial.

Selepas berpuluh tahun ditubuhkan, tahun ini Mydin telah menyambut ulang tahun ke-65 penubuhan mereka.

Sumber: Nova Spectra Energy

Bermula dengan sebuah kedai runcit yang kecil, kini mempunyai pelbagai cawangan pasar raya di seluruh Malaysia. Tiada apa yang mustahil jika kita rajin berusaha, betul tak?

Selepas ini bolehlah berkongsi kisah sejarah pasar raya berkenaan sambil teman mak ayah kita beli barang di Mydin. Sambil membeli, bukankah lebih baik kita berkongsi ilmu kan?


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd