Now Reading
Anak & Bapa Akhirnya Bertemu Semula Dengan Kuasa Viral Di Twitter

Anak & Bapa Akhirnya Bertemu Semula Dengan Kuasa Viral Di Twitter

Selepas lebih 20 tahun terpisah, Cinta akhirnya menjumpai semula bapanya dengan bantuan netizen di Twitter.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Tiada siapa boleh menafikan kuasa media sosial pada zaman sekarang. Anda boleh berhubung atau berkongsi apa-apa maklumat dengan semua orang dan boleh juga dijadikan platform untuk kita bertindak ala-ala penyiasat.

Seorang wanita berusia 24 tahun terfikir untuk mencuba nasib mencari bapanya yang telah lama menghilang melalui platform Twitter dan telah berjaya menemuinya dalam masa kurang dari sehari!

Pada mulanya, wanita bernama Cinta @cintadatsme yang kini menetap di Petaling Jaya memuat naik gambar bersama ayahnya semasa kecil di Twitter kira-kira pada jam 9 malam 20 Februari.

Bersama gambar yang dimuat naik, dia bertanya sekiranya ada sesiapa mengenali lelaki tersebut. Lelaki dalam gambar itu ialah bapanya dan dia sedang mencuba nasib di Twitter bagi mencari semula ayahnya.

Dia memberikan beberapa butiran tentang ayahnya bagi membantu pencarian termasuk lokasi terakhir, nama dan keturunan.

Rata-rata netizen di Twitter memberi sokongan dan mencuba sedaya upaya untuk membantunya.

Ada yang cuba untuk memperbaiki kualiti gambar bapanya dan berharap dapat membantu dalam proses pencarian. Warganet juga beri cadangan supaya menggunakan ‘ageing filter’ untuk melihat rupa terkini ayahnya.

Ada juga beberapa individu yang katanya agak ‘familiar’ dengan lelaki berkenaan dan salah satu komen telah menarik perhatian Cinta.

Lelaki dikenali sebagai Azmi memberitahu bahawa jika dilihat dengan lebih teliti, dia sebenarnya mengenali lelaki di dalam gambar tersebut. Katanya mungkin bukan seperti yang dikenali, tetapi boleh juga jadi pelanduk dua serupa.

Pada jam 10 pagi 21 Februari, Cinta telah memaklumkan di laman Twitter miliknya bahawa dia telah berjaya menemui bapanya dan berterima kasih kepada netizen yang telah banyak membantu.

TRP telah menghubungi Cinta untuk bertanya lebih lanjut tentang perkara ajaib ini dan dia menceritakan perjalanan untuk mencari bapanya bermula daripada lelaki bernama Azmi. Cinta dan Azmi telah berhubung di media sosial dan mendapati Azmi adalah sepupu jauh kepada bapanya.

Dia juga mendapat tahu bahawa bapanya kini menetap di sebuah kawasan pedalaman Sabah dan tidak mempunyai telefon. Namun, Cinta berjaya mendapatkan nombor telefon abang kepada bapanya dan membuat panggilan video bersama keluarga di Petaling Jaya.

Cinta dan neneknya menangis ketika membuat panggilan video tersebut kerana detik tersebut sememangnya momen yang penuh emosi untuk mereka semua.

Saya cuma tertanya-tanya. Sebenarnya saya memang nak sangat tahu macam mana perasaan bila ada bapa dan disebabkan itu saya bertekad untuk mencarinya. Saya ada cuba mencari ayah di Google, Facebook dan pilihan terakhir saya adalah dengan memuat naik di Twitter. Saya tak berputus harapan lagi pada waktu itu tetapi tidaklah terlalu berharap. Saya hanya mencuba nasib.

Cinta bercakap kepada TRP.

Dia merancang untuk melawat bapanya di Sabah, mungkin selepas menyambut raya tahun ini supaya dia dapat mengumpul duit membeli tiket penerbangan ke sana.

Dia menyedari bahawa keluarganya di Sabah hidup secara sederhana dan ingin membawakan mereka beberapa hadiah. Dia enggan meminta bantuan orang ramai, tetapi memilih untuk menyara dirinya dengan perniagaan mikro atas talian.

Ketika kami membuat panggilan video, perasaan saya bercampur-baur. Rasa agak kekok bila panggil ‘papa’ sebab saya masih tak percaya yang saya sudah menemuinya. Saya menangis sebab rasa terharu, gembira dan sedih. Semua emosi bercampur dalam satu masa.

Cinta bercakap kepada TRP.

Sebagai anak bongsu dalam kalangan adik-beradiknya, dia hanya berumur dalam lingkungan dua hingga tiga tahun ketika kali terakhir berjumpa bapanya selepas ibu bapanya berpisah.

Adik-beradik lain juga cuba mencarinya tetapi Cinta adalah yang paling berazam dan nasib baik menyebelahinya apabila dia berjaya menemui semula bapanya selepas kira-kira 20 tahun.

Saya tidak berapa ingat tetapi salah satu kenangan indah yang saya ada dengan dia adalah dia bermain gitar. Dia memang gemar bermain gitar dan tidak akan membenarkan sesiapa menyentuh gitarnya kalau dia tiada. Jadi setiap kali saya ternampak gitar, automatik saya akan teringat ayah saya.

Cinta bercerita kepada TRP.

Dia menasihatkan orang ramai di luar sana yang mempunyai latar belakang sama dengannya agar tidak berputus asa mencari ibu bapa mereka. Jika anda ada gambar maka itu adalah bonus dan anda boleh melakukan cara yang sama dilakukan oleh Cinta. Mungkin ada peluang untuk bertemu dengan orang yang telah lama hilang.

Jadi, jangan pandang rendah dengan kehebatan media sosial pada zaman ini


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd