Now Reading
Peniaga Didenda RM23,000 Lepas Muat Naik Komen Jelik Hina Mangsa Nahas Helikopter Di Lumut

Peniaga Didenda RM23,000 Lepas Muat Naik Komen Jelik Hina Mangsa Nahas Helikopter Di Lumut

Peguam kepada individu yang mengeluarkan komen jelik tentang mangsa nahas helikopter di Lumut, Perak meminta agar hukuman kepada anak guamnya dikurangkan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada hari ini (26 April), seorang peniaga telah dijatuhi hukuman denda sebanyak RM23,000 selepas lelaki berkenaan mengaku bersalah terhadap tuduhan memuat naik komen tidak beradab melibatkan mangsa yang terkorban dalam tragedi helikopter terbabas di Lumut, Perak.

Memetik laporan Astro Awani, pengakuan oleh tertuduh, Mohd Saifuddin Shafik, 36, itu dilakukan di Mahkamah Sesyen Taiping, Perak selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Pendakwaan melibatkan kes berkenaan telah dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Perak Wan Azimah Yaacob manakala tertuduh pula diwakili oleh Peguam Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun dan Amin Othman.

Susulan pengakuan yang dibuat, tertuduh turut membuat permohonan maaf kepada ahli keluarga mangsa serta seluruh rakyat Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mengeluarkan kata-kata yang jelik di media sosial.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Denda selanjutnya bernilai RM1,000 juga ditetapkan bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.


Tertuduh Miliki Masalah Kesihatan Mental

Kedua-dua peguam tertuduh memohon agar anak guam mereka tidak dipenjara selepas mendedahkan bahawa lelaki terbabit mempunyai simptom penyakit Bipolar Disorder serta perlu menanggung seorang isteri dan kedua ibu bapa.

Sumber: Astro Awani

Walau bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan meminta agar hukuman berat tetap dikenakan kepada tertuduh sebagai pengajaran kepada peniaga berkenaan dan juga orang lain.

Susulan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM23,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan agar telefon bimbit milik tertuduh dipulangkan semula.


Kes Individu Didakwa Hina Mangsa Nahas Helikopter Di Lumut, Perak

Memetik laporan media, seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Saifuddin Shafik telah mengeluarkan kata-kata yang agak biadap terhadap mangsa yang maut dalam tragedi berkenaan.

Seorang pengamal media, Wat Kamal Abas, 51, tampil membuat laporan polis kerana berpendapat kenyataan yang ditulis oleh individu itu agak melampau.

Meskipun kenyataan tersebut telah dipadam oleh lelaki berkenaan dan status privasinya telah diubah, namun tangkap layar ciapannya masih tular di media sosial.

Sumber: Media sosial

Dalam satu kenyataan dimuat naik di laman Facebook Polis Diraja Malaysia, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan bahawa mereka telah membuka kertas siasatan berhubung kelakuan pemilik akaun X.

Kertas siasatan itu kemudiannya dirujuk ke Pejabat Peguam Negara selari dengan peruntukan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pada masa sama, sebuah telefon bimbit jenis iPhone 12 Pro yang dipercayai milik individu terbabit telahpun dirampas.

Baca Artikel Berkaitan: PDRM Buka Kertas Siasatan Kes Pengguna Twitter Hina Mangsa Nahas Helikopter Di Lumut


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd