Now Reading
Pelanggan Terkejut Harga Ikan Siakap Di Langkawi Berharga RM1,196.80

Pelanggan Terkejut Harga Ikan Siakap Di Langkawi Berharga RM1,196.80

Menurut pemilik restoran, harga ikan siakap itu sudah dinyatakan di dalam menu iaitu berharga RM16 bagi setiap 100 gram.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Hidangan ikan siakap sememangnya menjadi kegemaran ramai.

Macam-macam jenis menu yang boleh dimasak seperti ikan siakap tiga rasa, ikan siakap masak stim limau dan banyak lagilah. Lebih-lebih lagi apabila dimakan dengan nasi panas.

Peh, memang terliurlah jawabnya.

Kalau anda teringin nak makan tapi malas nak masak, boleh sahaja menikmati hidangan ini di restoran.

Tapi kalau makan di restoran, kena bersedialah dengan harga yang agak mahal sedikit.

Pelanggan terkejut harga siakap terlalu mahal

Baru-baru ini, tular di media sosial apabila seorang pengguna Facebook Muhamad Faris Zulkarnain berkongsi kisah yang mengejutkan ramai orang.

Dia bersama rakan-rakannya terkesima apabila melihat harga ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang dipesan di sebuah kedai makan ketika melancong ke Pulau Langkawi berharga RM1,196.80.

Selepas dikira termasuk hidangan lain dan minuman pula, jumlahnya adalah RM1,852.50. Bukan itu sahaja, dia juga mendakwa restoran tersebut mengenakan caj 5% kepada pelanggan yang membayar menggunakan kad kredit.

Kredit: Facebook Muhamad Faris Zulkarnain

Memetik laporan Berita Harian, pelanggan tersebut sempat memberi nasihat dan menegur pemilik restoran tersebut supaya tidak berniaga dengan cara sedemikian.

Selesai pembayaran, saya menegur dan menasihati supaya tidak berniaga seperti ini. Ikan tu jangan bagi sampai tujuh kilogram sedangkan untuk tujuh orang makan sahaja.

Pelanggan, Muhamad Faris Zulkarnain.

Pemilik restoran sudah terangkan kepada pelanggan sebelum mengambil pesanan

Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba iaitu Norasyikin Musa memberitahu yang dia sudah menerangkan kepada pelanggan tersebut sebelum mengambil pesanan mereka.

Menurut Norasyikin, harga ikan tersebut sudah dinyatakan di dalam menu iaitu berharga RM16 bagi setiap 100 gram.

Kredit: Facebook Muhamad Faris Zulkarnain

Saya sudah menerangkan kepada pelanggan bahawa ikan itu biasanya tidak dijual, tetapi dipelihara sebagai sebahagian pertunjukan untuk tontonan pengunjung restoran.

Pemilik Restoran Terapung Sas Rimba Norasyikin Musa.

Menurutnya lagi, dia telah memberi cadangan kepada pelanggan tersebut untuk mengambil ikan lain seperti siakap merah dan kerapu yang lebih sesuai dijadikan hidangan.

Ketika kejadian, pelanggan tersebut dikatakan ingin melihat sendiri ikan sebelum dimasak tetapi pihak restoran enggan berbuat demikian.

Norasyikin turut menafikan bahawa pihak restoran mengenakan caj tambahan bagi pembayaran melalui kad kredit seperti yang didakwa oleh pelanggan berkenaan.


Siapa yang tak terkejut kan kalau tengok jumlah bil semahal itu. Memang terbeliak biji mata.

Mungkin selepas ini setiap pelanggan kena baca betul-betul dekat menu sebelum membuat pesanan. Tengok dua tiga kali.

Jadi, tak adalah terperanjat sangat bila tengok jumlah bil nanti.


Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: Facebook, Twitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd