Now Reading
Safiq Rahim Jadi Mangsa Ketiga Lepas Diserang Individu Tak Dikenali Di Johor

Safiq Rahim Jadi Mangsa Ketiga Lepas Diserang Individu Tak Dikenali Di Johor

Safiq Rahim dihampiri oleh dua individu tidak dikenali yang menunggang sebuah motosikal ketika pemain bola itu sedang memandu dari Pusat Latihan Johor Darul Takzim (JDT).

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Keselamatan pemain pasukan bola sepak negara kini berada dalam ancaman selepas terjadinya beberapa insiden yang tidak diingini.

Kes pertama bermula pada 2 Mei lalu apabila pemain Terengganu FC iaitu Akhyar Rashid dipercayai telah disamun ketika berada di Kuala Terengganu sehingga menyebabkan kecederaan.

Baca Artikel Berkaitan: Akhyar Rashid Cedera Dipercayai Disamun Di Kuala Terengganu [Video]

Kemudian pada 5 Mei lalu, seorang lagi skuad pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim telah disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali semasa berada di sebuah pusat membeli-belah di Damansara bersama keluarganya.

Kiri: Akhyar Rashid. Kanan: Faisal Halim (Sumber: X @433Malaysia)

Safiq Rahim Pula Jadi Sasaran Mangsa Ketiga

Terbaharu, seorang lagi pemain bola sepak negara iaitu Safiq Rahim menjadi sasaran serangan individu tidak dikenali.

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Instagram (@sportsrevobysafiqrahim), pemain bola sepak itu menunjukkan keadaan cermin belakang keretanya yang retak akibat dipukul menggunakan objek keras.

Keadaan yang berlaku membuatkan Safiq terkejut kerana tidak menyangka dia pula yang menjadi sasaran serangan.

Tak sangka saya pula kena attack berdekatan Pusat Latihan JDT. Zaman kami kena berjaga-jaga.

Safiq Rahim.

Kejadian yang berlaku semalam (7 Mei) sekitar jam 10:05 malam itu berlaku semasa Safiq sedang memandu sebuah kereta Honda City Hatchback ke arah Pantai Lido selepas selesai mengambil barang-barangnya di Pusat Latihan Johor Darul Takzim (JDT).

Namun secara tiba-tiba, keretanya dihampiri oleh dua individu tidak dikenali yang sedang menunggang sebuah motosikal sebelum seorang pembonceng mengeluarkan sebatang tukul dan mengetuk bahagian cermin belakang kereta milik Safiq.

Saya terkejut dan memberhentikan kereta sebelum dua lelaki itu berhenti di hadapan kereta saya. Dua lelaki itu kemudian menunjukkan tukul ke arah saya. Akibat risau, saya mengundurkan kereta dan beredar dari lokasi berkenaan.

Safiq Rahim.

Selepas insiden terbabit, Safiq segera menuju ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.


Polis Sedang Buru Dua Individu Yang Terlibat

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat memaklumkan bahawa pihaknya kini sedang giat menjalankan siasatan bagi mengesan suspek yang terlibat.

Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Perkembangan Terkini Tentang Suspek Kes Simbah Asid Faisal Halim

Dalam kes pemain bola sepak Faisal Halim yang disimbah asid pada tiga hari lalu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan telah berjaya menahan dua orang suspek.

Walau bagaimanapun, suspek pertama yang ditahan di sekitar Pandan Indah, Ampang didapati bukan pelakunya dan akan dibebaskan selepas tamat reman.

“Namun dia akan ditahan semula kerana ujian saringan air kencing ke atasnya mendapati dia positif dadah,” kata Datuk Hussien Omar Khan.

Baca Artikel Berkaitan: Suspek Pertama Simbah Asid Faisal Halim Yang Ditahan Di Pandan Indah Rupanya Bukan Pelaku

Faisal Halim. (Sumber: X @433Malaysia)

Suspek kedua yang ditahan di Bandar Baru Bangi pula akan direman selama lima hari bermula semalam (7 Mei) bagi membantu siasatan.

Baca Artikel Berkaitan: Kes Simbah Asid Faisal Halim, Suspek Kedua Pula Ditahan

Dalam perkembangan terbaharu, kesihatan Faisal Halim didapati agak membimbangkan selepas dilaporkan berada dalam kritikal selepas melecur tahap empat akibat disimbah dengan asid sulfurik pekat.

Faisal ketika ini sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shah Alam dan sedang menjalani beberapa pembedahan untuk rawatan.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd