Now Reading
Pertama Kali Beli Rumah? Ini Tips Penting Beli Kediaman Yang Sesuai

Pertama Kali Beli Rumah? Ini Tips Penting Beli Kediaman Yang Sesuai

Pinjaman rumah anda dengan pihak bank tidak boleh melebihi satu pertiga daripada jumlah gaji kasar.

Pertama Kali Beli Rumah? Ini Tips Penting Beli Kediaman Yang Sesuai

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Apabila sudah menginjak dewasa dan mahu membina keluarga, ramai bercadang untuk memiliki kediaman sendiri yang lebih selesa.

Berbicara soal pemilihan jenis rumah yang ingin dibeli, ada yang lebih suka tinggal di kediaman atas tanah seperti rumah teres. Katanya senang sebab tak perlu naik tangga atau tunggu lif untuk sampai ke rumah.

Ada juga yang lebih gemar tinggal di rumah berstrata kerana boleh tengok pemandangan dari atas yang cantik.

Nak beli rumah macam mana sekalipun, terpulang kepada anda. Tetapi anda perlu pastikan kediaman yang dibeli itu mempunyai ciri-ciri yang baik.

Kepada anda yang pertama kali membeli rumah, jom kami kongsikan tips berguna. Antaranya:

1. Tips Beli Rumah: Semak Tahap Kemampuan Dari Segi Kewangan

Sumber: Berita Harian

Tidak dinafikan, harga rumah zaman sekarang ini memang agak tinggi. Fikir tiga empat kali jugalah kalau nak bayar duit pembelian rumah sekaligus pada satu masa.

Salah satu alternatif yang dilihat memudahkan orang ramai untuk membeli rumah adalah dengan membuat pinjaman wang di bank bergantung kepada harga kediaman.

Pinjaman rumah anda juga tidak boleh melebihi satu pertiga daripada gaji kasar.

Kalau anda nak tahu berapa jumlah wang untuk diasingkan bagi membolehkan anda membeli kediaman diidamkan berdasarkan gaji, boleh menggunakan pelbagai kalkulator di Internet.

Antaranya Affordability Calculator dan Home Loan Calculator.

2. Tips Beli Rumah: Fahami Dokumen Pinjaman Perumahan

Sumber: Property Guru

Sebelum anda bersetuju untuk mengambil mana-mana pinjaman perumahan (loan agreement) dengan pihak bank, terdapat tiga perkara penting yang perlu diambil perhatian seperti:

  • Jumlah pinjaman
  • Kadar faedah
  • Tempoh pinjaman

Selain itu, maklumat lain yang mesti diambil tahu di dalam pinjaman perumahan adalah:

  • Lock-in-period
    • Peminjam yang melangsaikan hutang kepada pihak bank dalam tempoh terkunci (lock-in-period) iaitu dalam tiga hingga lima tahun akan dikenakan sejumlah denda.
  • Base Lending Rate (BLR)
    • Kadar BLR ditentukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan akan mempengaruhi kadar faedah yang dikenakan kepada peminjam pada setiap bulan.
  • Kadar siling (cap rate)
    • Sesetengah pinjaman mengenakan jumlah maksimum yang akan dikenakan terhadap kadar faedah supaya anda tidak perlu membayar lebih.
  • Jadual Bayaran Berperingkat (Progressive Billing)
    • Bagi rumah yang belum siap dibina, anda mungkin akan diminta untuk membayar jumlah tertentu mengikut fasa ditetapkan. Segala bayaran tersebut juga akan ditolak daripada bayaran penuh.

3. Tips Beli Rumah: Pilih Unit Rumah Yang Sesuai

Sumber: Loanstreet

Unit kediaman yang dipilih adalah penting bagi menentukan keselesaan anda terutamanya apabila anda membeli kediaman berstrata.

Elakkan membeli rumah bersebelahan dengan lift kerana akan mudah menerima gangguan bunyi atau gegaran akibat pergerakan lif.

Selain itu, elakkan membeli kediaman di kawasan hujung sekali kerana akan terdedah dengan bahang cahaya matahari dan juga koridor akan sering tempias dan basah terkena air hujan.

Sementara itu, risiko sekiranya memilih rumah di tingkat atas sekali adalah anda akan berdepan dengan masalah bumbung bocor manakala rumah di tingkat bawah pula boleh berdepan masalah ‘banjir’ jika paip tersumbat.

4. Tips Beli Rumah: Fahami Dokumen Jual Beli Rumah

Sumber: Property Guru

Apabila anda sudah membuat keputusan untuk membeli sesebuh rumah, sesetengah pemaju akan mengenakan yuran tempahan (booking fee) sebanyak 2% hingga 3% daripada harga rumah.

Pembayaran yuran tempahan itu akan turut serta dengan pengisian dokumen rasmi Letter of Offer to Purchase menandakan anda berhasrat untuk membeli rumah tersebut.

Antara terma lain yang digunakan untuk Letter of Offer to Purchase adalah:

  • Letter of Intent to Purchase
  • Agreement to Purchase

Maklumat penting yang anda perlu beri perhatian ketika menandatangani dokumen rasmi berkenaan termasuklah seperti:

  • Maklumat pembeli dan penjual.
  • Jumlah yuran tempahan yang dibuat dan baki downpayment selebihnya.
  • Tempoh untuk membayar baki jumlah downpayment.
  • Tempoh untuk membayar baki 90% harga rumah.
  • Tempoh untuk menandatangani Sales and Purchase Agreement (SPA).

5. Tips Beli Rumah: Semak Maklumat Pindahan Milik Rumah

Sumber: iProperty

Apabila anda sudah berjaya membeli rumah, beberapa dokumen akan diberikan bagi mengesahkan anda sebagai pemilik.

Antara dokumen tersebut adalah:

  • Notis pemilikan kosong (vacant posession)
    • Notis ini akan diberikan apabila pemaju memberikan kunci rumah kepada anda. Proses ini kebiasaannya akan mengambil tempoh 24 sehingga 36 bulan selepas menandatangani Sales and Purchase Agreement (SPA).
  • Sijil penyiapan dan pematuhan (CCC)
    • Dokumen yang disahkan oleh pihak berkuasa untuk memastikan rumah boleh didiami dengan selamat.
  • Memorandum pemindahan (MOT)
    • Proses ini akan mengesahkan pemindahan hak milik rumah dari pemaju kepada nama anda bagi kediaman berstrata atau rumah individu.

6. Tips Beli Rumah: Periksa Sebarang Kerosakan Pada Rumah

Sumber: Property Guru

Berdasarkan dokumen Sales and Purchase Agreement (SPA), beberapa perkara telah dimaklumkan bagi melindungi ada daripada sebarang kerosakan pada rumah.

Antaranya:

  • Bahan binaan yang digunakan untuk membuat kediaman tersebut. Ketika membuat pemeriksaan, pastikan bahan yang digunakan adalah sama seperti di dalam SPA.
  • Tempoh tanggungan liabiliti (Defect Liability Period) memberikan hak kepada anda untuk menuntut sebarang kos pembaikan serta ganti rugi jika terdapat sebarang kerosakan.
  • Pemilik juga boleh menuntut denda kepada pemaju sekiranya tempoh pembinaan rumah lewat disiapkan seperti yang dipersetujui.

Kami berharap perkongsian ini dapat membantu anda di luar sana yang pertama kali ingin membeli kediaman sendiri. Semoga segala urusan dipermudahkan dah dapat ‘unlock’ pencapaian baharu dalam hidup anda!

BACA JUGA: Ipoh, PJ & Cheras Jadi Carian Teratas Pembeli Rumah Di iProperty Pada Tahun 2022

BACA JUGA: Nak Cepat Habiskan Loan Rumah? Ejen Hartanah Ini Dedah ‘Trick’ Jimat

BACA JUGA: Pinjaman Rumah Tanpa Kerja Tetap & Slip Gaji. Bagus Atau Tidak?


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd