Now Reading
Unik! Chim By Chef Noom, Restoran Fine Dining Dengan Konsep Authentic Thai

Unik! Chim By Chef Noom, Restoran Fine Dining Dengan Konsep Authentic Thai

Terletak di tingkat 2 Menara TSLAW, Chim by Chef Noom pastinya akan memberikan pengalaman dan perpektif yang berbeza terhadap hidangan makanan Thailand.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila tibanya hari istimewa seperti hari jadi atau ulangtahun perkahwinan pastinya kita akan mula mencari restoran yang menawarkan konsep ‘fine dining’.

Yelah di hari istimewa ini pastinya kita nak raikan insan tersayang dengan makanan yang ekslusif dan luar daripada kebiasaan.

Bersempena dengan hari istimewa pasti anda juga inginkan mencari restoran yang tampil dengan konsep yang berbeza contohnya seperti makanan asli daripada negara Thailand.

Buat anda yang berada di Lembah Klang, usah bimbang kerana Chim by Chef Noom adalah jawapan tepat untuk menoktahkan pencarian anda.

Tidak hanya menampilkan makanan asli daripada negara gajah putih malah restoran Chim by Siam Wisdom yang turut dikendalikan oleh Chef Noom di Bangkok juga mendapat anugerah Michelin star.

Malah seperti kita tahu untuk mendapatkan anugerah tersebut ia bukanlah suatu perkara yang mudah buat sesebuah restoran memandangkan ia mempunyai kriteria yang sangat terperinci.


Beri Pengalaman Makan Malam Mewah Dengan Persekitaran Romantis

Chim by Chef Noom terletak di tingkat dua Menara TSLAW di Kuala Lumpur, tidak hanya membawa konsep makanan Thai bahkan memberikan satu pengalaman makan malam berkonsep mewah dari segi makanan dan persekitarannya.

Malah restoran ini turut mempunyai ruang privasi yang cukup luas dan sesuai sekiranya anda ingin meraikan hari istimewa bersama rakan atau keluarga untuk jumlah yang ramai.

Chim by Chef Noom juga tampil dengan dekorasi yang romantis dan pastinya membuatkan hati insan tersayang anda berbunga-bunga!

Ini adalah ruang makan yang berada di dalam restoran Chim by Chef Noom (Sumber: Afifa/TRP)
Ruang khas atau bilik privasi (sumber: Afifa/TRP)

Bagi membuktikan kepada anda bahawa restoran ini merupakan pilihan tepat untuk dikunjungi, team TRP telah dijemput ke Chim by Chef Noom untuk merasai sendiri pengalaman menikmati hidangan mewah di sini.

Tanpa berlengah dan buat anda ternanti-nanti, jom kami kongsikan makanan yang dihidangkan di Chim by Chef Noom, antaranya:-

#1. Baked Chicken Skin Wafer

(Sumber: Afifa/ TRP)

Sebelum bermulanya hidangan menu-menu utama, kami telah dihidangkan dengan snek wafer kulit ayam bakar yang diperisakan dengan garam serta lada bersama sos espuma ikan salai yang dicipta sendiri.

Sos tersebut turut digabungkan dengan santan dan juga serbuk paprika bagi membangkitkan rasa pedas.

Cara untuk menikmati hidangan snek ini adalah celupkan wafer kulit ayam bakar bersama sos istimewa yang disediakan. Rasa ranggup kulit ayam bersama sedikit rasa pedas sos membuatkan ia satu snek yang sangat sedap.

#2. Amuse Bouche

Di sebelah kanan adalah kentang bersama tuna tartare manakala bahagian kiri adalah Lorn Pla (sumber: Afifa/ TRP)

Sebagai hidangan pembuka selera, kami telah dihidangkan dengan dua jenis makanan iaitu kentang bersama tuna tartare.

Kentang berkenaan disapu dengan krim dan juga mentega sebelum ia digoreng dan kemudian dihidangkan bersama tuna tartare yang digaul bersama jus limau nipis, kulit limau, cili padi yang diletakkan di atas Kaffir Lime Aioli.

Rasa makanan ini sangat ‘fresh’ disebabkan rasa jus limau selain lemak daripada ikan membuatkan ia rasa seimbang.

Satu lagi hidangan adalah Lorn Pla iaitu ikan Haddock salai yang dihidangkan di dalam cawan hijau yang diperbuat daripada bayam dan pandan.

Di dalam cawan hijau tersebut ia turut diisi dengan terung mousse di bahagian atas yang memberikan rasa unik dan sedikit pahit dipenghujungnya.

#3. Oyster With Chili Granita

Jus daripada timun dan jeruk bawang merah pasti buat anda rasa nak lagi! (Sumber: Afifa/ TRP)

Tiram yang digunakan untuk hidangan ini diimport khas daripada Ireland dan ia dihidangkan bersama cili hijau granita dan juga kaviar yang diterbangkan daripada Perancis.

Juadah ini turut dihiasi jeruk bawang merah dengan timun jepun yang turut dikenali sebagai Kyuri.

Bagi yang pertama kali merasai tiram, hidangan ini pastinya akan memberikan satu pengalaman baharu buat anda. Namun tak perlu bimbang kerana rasanya sangat segar dan tak hanyir pun.

Pengalaman pertama Amrell merasai tiram (sumber: Afifa/TRP)

Malah rakan kami yang pertama kali merasai tiram ini pun sangat suka dengan rasanya.

#4. Seared Hokkaido Scallop

(Sumber: Afifa/TRP)

Scallop ini diimport khas daripada Hokkaido, Jepun dan ia dihidangkan bersama buah mangga, pomela salsa, cili, telur salmon dan juga buih kelapa. Ia buih yang anda lihat itu adalah daripada buah kelapa.

Serai pula dijadikan sebagai pelengkap dressing. Sebaik dimasukkan ke dalam mulut, rasa buih kelapa memberikan rasa yang sangat harmoni dan sedikit masam serta manis daripada mangga dan juga isi scallop.

Malah dapat dirasai scallop dihidangkan sangat fresh seperti baru diambil dari laut!

#5. Gong Sarong by Chim

(Sumber: Afifa/TRP)

Gong Sarong by Chim ini ialah udang harimau yang diperap bersama lobak putih dan juga sos sriracha.

Malah ia juga dibalut dengan pastri Kataifi yang memberikan efek ranggup sebaik digigit.

Manakala di bahagian bawah udang ini pula adalah kek ketam avocado yang juga dihiasi dengan sos sriracha merah dan hijau di bahagian kiri dan kanan udang.

Cara untuk menikmati adalah dengan memotongnya kepada kepingan yang sesuai untuk digigit dan celupkan ke dalam kek ketam avocado bersama sos sriracha.

Rasa manis udang yang ranggup yang dimakan bersama sos membangkitkan rasa seimbang, jika anda peminat makan laut pasti ini udang terbaik yang pernah anda rasai.

Secara peribadi, kami merasakan ini adalah makanan yang menjadi kegemaran kami.

#6. Foie Gras Snow In Green Harmony Salad

(Sumber: Afifa/TRP)

Bagi yang biasa makan salad, salad Mesclun yang dihiasi dengan nasi ranggup bersama Foie Gras parut yang dicelur bersama cecair nitrogen pasti akan memberikan satu perspektif baru buat anda.

Ini kerana ia tidak mengunakan sos dressing seperti mayonis atau bijan sebaliknya menggunakan budu dan dimakan bersama Foie Gras yang digril bersama sos asam jawa serta garam laut.

#7. The Lost Recipe

(Sumber: Afifa/TRP)

Awalnya kami sangkakan ini adalah Tomyam kerana warna yang seakan-akan namun tidak. Ini adalah sup yang dimasak bersama ikan, buah-buahan tropika seperti belimbing, tomato ceri. Selain itu, ia turut menggunakan rempah cili, dan dihiasi dengan bawang putih goreng, minyak kelapa, jus limau dan daun ketumbar.

Namun apa yang menarik mengenai hidangan kali ini adalah sup ini mempunyai sejarah di sebaliknya di mana sekitar 200 tahun dahulu ia dicipta oleh Madame Som Chun untuk diberikan kepada Raja yang sedang gering.

Oleh itu, sup ini dihidangkan kepada Raja berkenaan dengan harapan ia dapat menyembuhkan penyakitnya.

#8. Seasonal Cleansing Palate

(Sumber: Afifa/TRP)

Pelbagai makanan sudah dirasai oleh itu sebelum ke hidangan yang seterusnya kami diminta untuk membersihkan lelangit dengan peach sorbet bersama hirisan mangga.

#9. Signature Royal Prawn Bersama Kari Merah Thai Selatan & Nasi Kelapa

(Sumber: Afifa/TRP)

Pengemar nasi, mungkin ini adalah hidangan yang ditunggu-tunggu oleh anda. Sebaik periuk nasi dibuka, muncul haruman aroma yang sangat wangi ini kerana ia dimasak dengan menggunakan air kelapa bersama jus limau selama satu jam.

Udang yang bersaiz jumbo ini pula ia diimport khas daripada Thailand dan diperasakan menggunakan sos ikan bersama limau dan mentega.

Sebaik ia dibakar, udang ini dimandikan dengan kari merah yang pastinya akan membangkitkan lagi kesegaran makanan laut berkenaan.

Bagi penulis rasa kari merah itu mempunyai sedikit persamaan dengan kuah kacang.

#10. Pencuci Mulut Yang Menjadi Pilihan Chef (Pisang Goreng)

(Sumber: Afifa/TRP)

Pisang goreng merupakan salah satu makanan kegemaran rakyat di negara ini. Kali ini ia divariasikan dengan pineapple cutney, disaluti coklat, kacang tanah serta dibalut dengan pastri Kataifi sebelum digoreng untuk memberikan kerangupan pada pencuci mulut ini.

Lebih menarik lagi, dessert ini dilengkapi dengan ais krim berperisa kacang macadamia dan dihiasi Red Touille serta titisan-titisan madu.

Untuk menikmati pencuci mulut ini, ia perlu digaul dengan sebati agar anda dapat merasai keseimbangan setiap bahan yang diletakkan.

#11. Thai Petit Four

(Sumber: Afifa/TRP)

Kami mulakan dengan teh Chiang Mai yang memberikan rasa kayu manis dan dicampur dengan madu, serai dan juga basil thai.

Rasa yang tidak manis dan kayu manis yang tidak terlalu kuat memberikan ketenangan kepada diri selepas dihidangkan dengan pelbagai makanan.

Teh ini turut didatangkan bersam tiga jenis coklat iaitu Som Chun berwarna merah yang mempunyai gabungan daripada buah laici, rambutan, pandan serta halia untuk membangkitkan rasa pedas.

Selain itu ia juga dihidangkan bersama biskut bawang merah yang memberikan rasa unik apabila dimakan bersama coklat

Bagi coklat yang berwarna hijau mint ia dikenali sebagai Thai Tea Bon Bon. Coklat ini memberikan tekstur ‘crunchie’ apabila digigit dan di dalamnya terdapat biji sawi bersama coklat putih yang dicampur dengan daun teh thai serta teh susu bersama cebisan emas sebagai hiasan.

Yang terakhir adalah coklat yang berbentuk kelapa. Di dalam coklat ini terdapat mangga bersama kelapa mousse yang disalut bersama coklat gelap dan kelapa parut yang dipanggang.

Meskipun menggunakan coklat gelap namun ia tidak terlalu pahit kerana diseimbangkan dengan rasa manis mangga dan berlemak daripada kelapa.


Chim By Chef Noom

(Sumber: Afifa/TRP)

Ramai menyangkakan makan berkonsepkan fine dining ini tidak kenyang, namun penulis yakin sebaik kalian mencuba setiap hidangan yang disenaraikan pasti akan pulang dengan perut yang sangat kenyang.

Bagi yang berminat berkunjung ke Chim By Chef Noom anda boleh melayari laman sesawang di sini untuk membuat tempahan awal.

Harga bagi pakej fine dining ini adalah RM498 untuk setiap tempahan, bagi yang ingin menempah bilik privasi harga minimum perbelanjaan bermula pada RM5,000 untuk enam pelanggan manakala bagi 10 orang harga minimum belanja adalah RM8,000.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd