Now Reading
Ada Spa Mewah Dalam Hutan & Banyak Lagi, Ini 7 Destinasi Yang Anda Boleh Lawati Di Gold Coast!

Ada Spa Mewah Dalam Hutan & Banyak Lagi, Ini 7 Destinasi Yang Anda Boleh Lawati Di Gold Coast!

Gold Coast, Australia bukan sahaja menawarkan taman tema yang besar, malah ia juga tersedia dengan pusat penjagaan diri dan juga kesihatan!

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Gold Coast, Australia sudah sekian lama dikenali sebagai destinasi pantai berpasir sepanjang 70km yang menakjubkan dan menjadi ‘rumah’ kepada beberapa taman tema yang besar.

Namun adakah anda tahu bahawa ia juga menempatkan beberapa lokasi percutian melibatkan aspek kesihatan dan gaya hidup, spa harian serta rumah mandian yang pernah meraih anugerah di Australia.

Jika anda sedang mencari tempat percutian yang berasaskan kesihatan, Gold Coast merupakan destinasi terbaik untuk mendapatkan pengalaman yang diinginkan itu.


Ini 7 Lokasi Pusat Penjagaan Diri & Kesihatan Menarik Di Gold Coast

Buat mereka yang berniat nak melancong ke Gold Coast tidak lama lagi, berikut ialah senarai lokasi yang menawarkan pengalaman kesihatan untuk anda kunjungi! Antaranya:

#1. SOL Elements

Lokasi: Tamborine Mountain, Gold Coast Hinterland.

Destinasi kesihatan yang menakjubkan ini bakal dilancarkan di kawasan pedalaman Gold Coast pada awal tahun 2024.

Kalau anda nak tahu, SOL ELEMENTS ialah sebuah rumah mandi yang terletak di dalam hutan hijau purba dan diilhamkan oleh empat unsur alam semula jadi iaitu tanah, api, air dan udara.

Tempat ini direka dengan falsafah Wabi Sabi Jepun tradisional di mana seseorang digalakkan untuk mencari keindahan dalam persekitaran alam semula jadi yang tidak sempurna.

SOL ELEMENTS menggalakkan hubungan baik dengan diri sendiri melalui seni relaksasi dan penjagaan diri.

Untuk pengetahuan semua, destinasi menyamankan ini menawarkan ruang onsen, bilik terapi terapung, kolam terjun yang sejuk, gua garam Himalaya dan sauna inframerah!

Malah ia juga bakal tersedia dengan sentuhan ritual penjagaan diri termasuk teknik pernafasan dan aplikasi tanah liat ke atas badan.

Sumber: SOL Elements

#2. Spa By JW

Lokasi: JW Marriot Resort and Spa – Surfers Paradise, Central Gold Coast.

Baru-baru ini, hotel ini telah memperuntukkan sejumlah 35 juta dolar dan membuat sedikit tranformasi baharu seperti penubuhan Spa by JW.

Lokasi itu menawarkan pengalaman spa mewah buat para tetamu di tengah-tengah Surfers Paradise dengan menggabungkan aspek-aspek keseronokan dan kecanggihan sambil mengekalkan unsur asal-usul kemewahan Gold Coast yang santai.

Spa by JW terdiri daripada enam bilik rawatan direka dengan teliti termasuk bilik pasangan istimewa yang lengkap, ruang istirehat peribadi, tab mandi batu dan suite serta shower berkembar.

Bukan itu sahaja, spa ini juga tersedia dengan sauna kesihatan, tempat untuk relaksasi, pancuran stim mandian dan kawasan bersantai di luar.

Malah, anda juga tidak akan terlepas dengan tawaran kulinari yang disediakan bersama Chef Eksekutif Paul Smart yang menerajui menu makanan ‘crafted’.

Di samping itu, terdapat juga perkhidmatan penyajian minuman teh berinspirasikan tempatan dan menu wain yang enak.

Foto: Spa By JW

#3. SOAK Bathhouse

Lokasi: Mermaid Beach, Central Gold Coast.

Soak Bathhouse menawarkan tetamu tempat perlindungan yang tenang untuk menikmati percutian solo atau menghabiskan masa bersama rakan dan orang tersayang!

SOAK memberikan keperluan yang anda mahu seperti kawasan berehat dan menyegarkan diri.

Tetamu akan turut merasai pengalaman mandi di dalam dan kawasan luar yang lengkap dengan sauna tradisional ‘cedar’ kering, kolam terjun, spa panas, kolam magnesium berkilauan, bilik wap dan rawatan urutan pemulihan yang menenangkan.

Sumber: SOAK Bathhouse

#4. The Bathhouse

Lokasi: Currumbin Valley, Southern Gold Coast.

Terletak antara rain forest dalam perkampungan eko di Lembah Currumbin, The Bathhouse ialah tempat persembunyian luaran yang terdiri daripada sauna batu panas kayu bakar, tab mandi panas tradisional, kolam terjun yang diperkaya dengan mineral, sauna berbentuk tong inframerah dan mandian spa hidroterapi.

Destinasi ini merupakan pilihan yang menarik untuk pasangan, pengembara solo, rakan-rakan atau mereka yang mencari rehat dan ‘healing’.

Tambahan pula, lokasi ini amat sesuai untuk dijadikan tempat bagi meluangkan waktu petang anda, dengan mengunjungi kafe Wholefoods, Pasture and Co yang tidak jauh dari The Bathhouse.

Di samping itu, Ground Currumbin adalah rumah kepada Ground Grocer, pembekal produk organik, bebas kimia dan tanaman tempatan yang disahkan dan Healing Ground, ruang kesihatan untuk pengamal yang menawarkan psikologi, perubatan Cina dan perkhidmatan kesihatan harmonik bersepadu.

Foto: The Bathhouse

#5. Gwinganna Lifestyle Retreat

Lokasi: Tallebudgera Valley, Southern Gold Coast.

Dianugerahkan Spa Eko Terbaik Dunia dalam Anugerah Spa Dunia 2022, Gwinganna Lifestyle Retreat ialah penginapan bertaraf empat bintang yang terletak di atas bukit-bukit Lembah Tallebudgera.

Sebahagian daripada kawasan tersebut dimiliki oleh pelakon Australia Hugh Jackman selepas dia mengalami manfaat daripada program detoks dan kesejahteraan di sana.

Gwinganna Lifestyle Retreat menawarkan tetamu peluang untuk berehat dan mengecas tenaga semula.

Tetamu akan dibimbing oleh pengamal dan pemimpin terlatih dalam bidang kesihatan termasuk pemakanan dan kesejahteraan.

Gwinganna menyediakan pakej peribadi selama dua ke tujuh malam yang terdiri daripada tempat makan organik, seminar kesihatan, pengalaman spa barat dan timur, pendakian, yoga dan pilates.

Anda juga berpeluang untuk mendapatkan janji temu secara bersemuka bersama pakar naturopath, ahli psikologi, jurulatih peribadi, ahli terapi hidro kolon dan banyak lagi.

Foto: Gwinganna Lifestyle Retreat.

#6. Eden Health Retreat

Lokasi: Currumbin Valley, Southern Gold Coast.

Terletak jauh di dalam Lembah Currumbin, Eden Health Retreat ialah tempat percutian kesihatan yang paling lama beroperasi di Australia.

Ia menawarkan penginapan lima bintang dan pengalaman kesihatan tidak terhingga kepada para tetamu.

Tanpa alkohol dan kafein, Eden memberi tumpuan kepada khasiat, kesejahteraan serta pengalaman terapeutik.

Destinasi ini merupakan pilihan pemulihan terbaik buat pengembara solo, pasangan dan ahli keluarga.

Eden Health Retreat menggalakkan pemakanan berkhasiat dan kesejahteraan para tetamu.

Foto: Eden Health Retreat

#7. Chuan Spa at the Langham Gold Coast

Lokasi: Surfers Paradise, Central Gold Coast.

Melibatkan lima elemen iaitu kayu, api, tanah, logam dan air, Chuan Spa terletak di dalam Langham Gold Coast yang menawarkan pengalaman kesihatan tidak terhingga kepada tetamu.

Chuan Spa diinspirasi oleh kaedah perubatan tradisional Cina.

Tempat ini merupakan destinasi spa utama Gold Coast yang menawarkan lapan bilik rawatan, kolam berbentuk berlian, sauna wanita dan lelaki serta rawatan istimewa termasuk Chuan Ritual, Chuan Tao of Detox dan Chuan Awakening.

Foto: Chuan Spa

Menarik bukan? Cepat-cepat pack barang anda!

Kalau anda melancong ke Gold Coast nanti, jangan lepaskan peluang untuk singgah ke tempat-tempat ini. Sambil melawat negara orang, boleh juga healing dan relax!

Baca Artikel Berkaitan: Apa Yang Best Di Gold Coast? Ini 5 Senarai Tempat Menarik Yang Boleh Dikunjungi

Baca Artikel Berkaitan: AirAsia X Kembali Terbang Ke Gold Coast, Australia

Baca Artikel Berkaitan: AirAsia X Jadi Satu-Satunya Penerbangan Tawar Perkhidmatan Terus Dari KL Ke Queensland


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd