Tidak Hanya Rekreasi, Pengunjung Boleh Bermain Sambil Belajar Di Gamuda Cove
Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah bermain Go-kart, Paintball dan juga ATV.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap kali hujung minggu dan hari cuti, mungkin ada yang runsing apakah aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga atau rakan-rakan apabila berada di luar.
Malah ada yang sudah bosan untuk melakukan aktiviti yang sama seperti menonton wayang dan makan.
Namun usah bimbang, baru-baru ini TRP telah dijemput oleh Gamuda Land bagi menyertai sesi Wetlands Discovery Day & Team Building di Gamuda Cove jadi kami tahu apa aktiviti baharu yang boleh anda lakukan.
Tujuan program ini dianjurkan adalah untuk memperkenal beberapa tarikan yang baharu antaranya adalah:
- Discovery Park – Electric Go-karting, Paintball, dan ATV
- Beach Pool Club
- South East Asia’s First Cove Aerobar
- Carousel
- Trampoline
- Bungee Fly
- Purpose-built rope course serta banyak lagi.
Sehubungan itu, kami ingin berkongsi dengan anda sedikit sebanyak mengenai pengalaman dan aktiviti yang dilakukan sepanjang berada di sana.
Tanpa berlengah lagi jom kami kongsikan.
#1 South East Asia’s First Cove Aerobar & Beach Pool Club
Apa yang menarik mengenai Cove Aerobar ini adalah anda dapat menikmati pemandangan yang lebih luas pada ketinggian 35 meter. Ya Cove Aerobar ini 35 meter!
Bukan itu sahaja, bagi yang mungkin mempunyai rasa takut kepada ketinggian, ini adalah antara cara untuk anda mengatasinya kerana sepanjang menaiki Aerobar ia adalah satu pengalaman yang sangat menarik.
Malah kelajuannya untuk naik melihat pemandangan di atas juga tidak terlalu laju di mana anda boleh menikmati pemandangan secara perlahan-lahan.
Aerobar ini boleh dinaiki seramai 16 penumpang dengan berharga RM20 seorang.
Di sini juga terdapat Beach Pool Club seperti yang dapat anda lihat pada gambar di atas. Anda juga boleh membawa anak-anak kecil untuk meluangkan masa bermandi-manda di kolam ini dengan hanya membayar RM15 sahaja seorang.
#2 Goosebumps Rope Course
Jika anda seorang yang sukakan cabaran, ini adalah antara tarikan permainan yang paling sesuai buat anda.
Malah apa yang lebih mengujakan permainan ini boleh dimain bersama keluarga, rakan atau mungkin bersama rakan sekerja anda!
Ini kerana, setiap permainan yang disediakan di Goosebumps Rope Course adalah sesuai untuk:
- Dewasa: Dengan ketinggian minimum 141cm dan ke atas dan berat yang tidak melebihi 120 kg.
- Kanak-kanak: Dari minimum 100cm hingga 140cm
Namun bagi kanak-kanak berusia bawah 10 tahun mereka perlu ditemani oleh penjaga atau ibu bapa.
Bukan hanya itu, ketika bermain permainan ini anda akan dimaklumkan mengenai peraturan keselamatan selain turut dibekalkan tali pinggang keselamatan sepanjang bermain.
Permainan ini tidak hanya sekadar memerlukan anda bergerak lebih lasak tetapi pemain perlu bertindak bijak dalam setiap langkah untuk sampai ke setiap ‘check point’ yang disediakan.
Seperti yang kita tahu kanak-kanak kebiasaannya sukakan aktiviti memanjat, meneroka dan lasak maka ia permainan ini antara yang boleh menjadi pilihan ibu bapa jika berkunjung di Gamuda Cove.
Selain itu, ia juga turut mempunyai pelbagai level yang boleh dipilih oleh pemain.
Harga untuk menaiki permainan ini adalah RM35 bagi kanak-kanak dan warga emas manakala dewasa RM75 sahaja.
#3 Paintball Target Shooting, Electric Go-Karting, ATV adventure dan Memanah
Sekiranya anda meminati sukan dan aktiviti lasak yang mesra keluarga Gamuda Cove turut menawarkan beberapa acara lain contohnya adalah Paintball Target Shooting.
Permainan ini memerlukan bilangan ahli yang ramai antara tiga hingga lima orang bagi satu kumpulan.
Selain dapat merasai pengalaman yang menyeronokkan pemain juga turut akan belajar bagaimana ingin menyusun strategi untuk menang dalam peperangan tersebut.
Dari segi keselamatan pula anda akan diberikan taklimat merangkumi peraturan, cara memakai alatan seperti topeng muka, vest dan banyak lagi.
Topeng muka ini diberi bertujuan untuk menghalang peluru cat terkena pada bahagian muka seperti mata.
Permainan ini terbuka kepada kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke atas, mana-mana pemain yang berusia bawah 18 tahun perlu ditemani penjaga.
Harga bagi permainan ini serendah RM10 untuk 15 peluru.
Electric Go-karting by RUD Karting
Selain itu, anda juga boleh bermain Go-kart dan berlumba bersama rakan atau ahli keluarga.
Permainan Go-kart ini sesuai untuk dimain oleh kanak-kanak yang berusia sekitar lapan tahun ke atas atau mengikut ketinggian. Yelah jika rendah macam mana pula nak tekan pedal minyak kan? Selain itu anda memerlukan kemahiran untuk mengawal ‘steering’ dengan baik.
Namun apa yang lebih menarik Electric Go-karting dari RUD Karting ini merupakan salah satu litar perlumbaan yang paling maju di Asia.
Harga bagi permainan Go-kart ini adalah serendah RM75 seorang.
ATV
Gamuda Cove turut menyediakan permainan ATV di mana anda boleh mengembara bersama rakan-rakan dengan meredah trek jalan yang mencabar seperti bukit, lumpur dan juga pasir.
Permainan ini terbuka bagi individu yang berusia 16 tahun ke atas manakala bagi harganya pula adalah RM80 untuk tempoh 20 minit dan RM120 untuk 40 minit.
Sepanjang permainan berlangsung anda akan diberikan topi keledar serta penjelasan bagaimana ingin mengendalikan ATV.
Selain itu ada juga aktiviti memanah yang boleh anda sertai.
#4 Pusat Wetlands Arboretum
Pusat Wetlands Arboretum merupakan pusat penyelidikan di mana pengunjung boleh mengenali alam semula jadi yang berada di kawasan Paya Indah Discovery Wetlands.
Bukan hanya itu, di sini mereka turut menjalankan aktiviti pemuliharaan benih dengan menanam benih bagi tumbuhan-tumbuhan yang terancam. Ia juga turut memaparkan spesimen tumbuhan yang hidup di tanah lembap.
Malah apa yang lebih menarik beberapa bahan yang digunakan untuk membina Pusat Wetlands Arboretum ini adalah mesra alam sebagai contoh mereka menggunakan lumpur untuk membuat dinding.
Apa yang lebih menarik anda juga boleh mengetahui pelbagai informasi mengenai tumbuhan dan haiwan yang berada di paya gambut ini dengan berkunjung ke galeri yang disediakan di Pusat Wetlands Arboretum.
Siap boleh tengok sarang burung yang real dan replika haiwan!
Selain daripada itu, anda juga akan dihiburkan dengan tarian Sewang daripada etnik Orang Asli Temuan serta dapat mempelajari mengenai budaya mereka.
Kami juga berkesempatan untuk merasai makanan tradisi mereka iaitu ayam buluh semomok yang dimakan bersama ubi kayu dan buat origami ikan dengan menggunakan daun.
Apa yang boleh dikatakan, kesemua aktiviti yang diperkenalkan Gamuda Cove adalah menarik dan bersesuaian untuk dilakukan seisi keluarga.
Pusat ini beroperasi pada 9 pagi hingga 5 petang dan hanya ditutup pada hari Rabu kecuali ketika cuti umum atau cuti sekolah.
Bagi yang berminat untuk berkunjung ke Pusat Wetlands Arboretum terdapat dua pakej yang boleh dipilih antaranya:
- Pakej A: Hippo – Dimana selain melawat ke pusat anda juga boleh melihat pertunjukan memberi makanan kepada hippo dan buaya.
- Pakej B: Boat Cruise – Meneroka ke Paya Indah Discovery Wetlands dengan menaiki cruise menyusuri tasik. Malah anda berpeluang melihat haiwan liar di sekitar tasik.
Jika anda sedang merancang untuk meluangkan masa bersama anak-anak, rakan atau keluarga bolehlah berkunjung ke Gamuda Cove dan lawati Discovery Park, Paya Indah Discovery Wetlands dan Pusat Wetlands Arboretum.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.