Now Reading
Konsert Muzikal RM30, Istana Budaya Tawar Harga Rahmah Buat Orang Ramai

Konsert Muzikal RM30, Istana Budaya Tawar Harga Rahmah Buat Orang Ramai

Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar memaklumkan meskipun menawarkan harga tiket yang murah namun ia bertaraf terbaik.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm atau ikuti berita kami menerusi aplikasi Lumi News untuk updates terkini & relevan!


Bagi mereka yang meminati muzik khususnya orkestra pasti pernah menyimpan niat untuk menyaksikan persembahan tersebut secara langsung.

Mana tidaknya jika lihat di televisyen sahaja sudah membuatkan anda terpesona inikan pula dapat menonton sendiri skil mereka ‘menggoreng’ alat muzik ketika persembahan dilakukan.

Tiket serendah RM30 untuk beri pendedahan pada setiap lapisan

Usah bimbang, ini adalah berita baik buat peminat orkestra kerana anda berpeluang untuk menonton konsert A Celebration of Classical Music Lambang Sari Series 2023 di Istana Budaya, Kuala Lumpur dengan harga tiket bermula RM30.

Memetik laporan Malay Mail, menurut Ketua Pengarah Istana Budaya, Zubaidah Mukhtar tawaran harga serendah RM30 itu diharap dapat menarik lebih ramai penonton daripada setiap lapisan untuk mendengar muzik yang sinonim kepada golongan atasan.

“Kita juga mahu memenuhi hasrat kerajaan yang mahu rakyat menikmati tiket dengan harga berpatutan ataupun harga Rahmah selain sempena meraikan ulang tahun ke-30 Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

“Biasanya harga untuk tiket konsert orkestra ini paling murah pun sekitar RM180, tapi kita mahu memberi pendedahan kepada semua golongan masyarakat,” jelasnya.

Sebanyak empat siri konsert akan diadakan, mengetengahkan pemain solo

Kata Zubaidah, konsert bertemakan western classical music ini mempunyai sebanyak empat siri di mana lagu ciptaan barat yang popular juga akan dimainkan.

Konsert tersebut akan bermula pukul 8.30 malam di Panggung Sari, Istana Budaya dan di bawah ini adalah maklumat bagi jadual tarikh keempat-empat siri:

  • Siri Pertama – 8 Julai 2023
  • Siri Kedua – 9 September 2023
  • Siri Ketiga – 21 Oktober 2023
  • Siri Keempat – 18 November 2023

Setiap siri juga akan memainkan lagu yang berbeza-beza selain mengetengahkan pemain solo (soloist) berlainan dan melibatkan seramai 25 pemuzik OSK dan juga 10 pemuzik jemputan.

Bukan hanya itu, pemuzik-pemuzik ini juga akan memainkan lagu ciptaan Bach, Mozart serta Dittersdorf Harp Concerto.

Menurutnya lagi, meskipun harga yang ditawarkan adalah murah namun persembahan yang akan ditunjukkan adalah bertaraf terbaik.

Selain itu Panggung Sari ini mampu menampung penonton sebanyak 1,300 dalam satu masa dan anda digalakkan untuk membeli pakej promosi dengan harga RM100 meliputi keempat-empat persembahan di laman web Istana Budaya untuk membuat pembelian di atas talian.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd