Now Reading
Pakej 5G Rahmah: Data 60GB RM60 Sebulan & Telefon Pintar RM240 Buat Rakyat Malaysia

Pakej 5G Rahmah: Data 60GB RM60 Sebulan & Telefon Pintar RM240 Buat Rakyat Malaysia

Telefon pintar yang ditawarkan di bawah Pakej 5G Rahmah adalah Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G, dengan harga hanya RM120 untuk 100,000 golongan B40 terawal.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (7 Ogos), Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, mengumumkan Pakej 5G Rahmah yang diwujudkan hasil kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) serta dua syarikat pengeluar peranti, Samsung Malaysia dan Honor Malaysia.

Menerusi Pakej 5G Rahmah yang terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, KKD menawarkan pelan data 60GB pada harga RM60 sebulan berbanding RM98 harga asal. Selain itu, ia turut memperkenalkan pakej telefon pintar 5G yang merangkumi Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G pada harga RM240.

Di samping itu, 100,000 pelanggan terawal dari latar belakang ekonomi B40 dapat menikmati pakej telefon pintar dengan harga serendah RM120. Ia turut merangkumi waranti dua tahun berbanding hanya setahun sebelum ini.

Pakej 5G Rahmah akan bermula pada 31 Ogos ini bersempena dengan Bulan Kebangsaan dengan kontrak langgangan 24 bulan.

Selain itu, KKD turut memperkenalkan Insentif Postpaid Rahmah Penjawat Awam yang menawarkan pemberian rebat RM10 sebulan bagi semua pegawai kerajaan di Malaysia. Ia boleh diguna pakai untuk sebarang pakej postpaid yang sedia ada. Melalui insentif ini, penjawat awam dapat jimat RM120 dalam tempoh satu tahun.


Pilihan Telefon Pintar Di Bawah Pakej 5G Rahmah

Di bawah Pakej 5G Rahmah, KKD turut menawarkan telefon pintar pada harga RM240 bagi dua jenama iaitu Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G.

Telefon pintar Samsung Galaxy A14 5G telah dilancarkan di Malaysia pada Mac tahun ini dengan harga RM949. Ia mempunyai pemproses CPU MediaTek Dimensity 700 dengan storan 6GB RAM, 128GB ROM.

Skrinnya bersaiz 6.6 inci dengan paparan PLS LCD dengan kadar segar semula 90Hz. Di bahagian belakang terdapat tiga kamera dengan kamera utama 50MP di antara dua kamera 2MP bagi makro dan kedalaman. Kamera depannya pula mempunyai 13MP. Ia menggunakan bateri Li-Po 5,000mAh dengan pengecasan pantas 15W.

Baru dilancarkan di Malaysia pada bulan lepas (Julai 2023), telefon pintar Honor 90 Lite 5G pula berharga RM1,099. Bersaiz sedikit besar berbanding Samsung Galaxy A14 dengan ukuran 6.7 inci, ia mempunyai paparan LTPS LCD juga dengan kadar segar semula 90Hz.

Honor 90 Lite dilihat lebih bagus kerana dikuasai oleh prosesor MediaTek Dimensity 6020 dengan storan 8GB RAM, 256GB ROM. Malah, ia mempunyai kamera belakang 100MP serta kamera ultrawide 5MP dan makro 2MP. Manakala di bahagian depan terletak kamera 16MP. Baterinya mempunyai kapasiti pengecasan 4,500mAh dengan pengecasan pantas 22.5W.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2021 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd