Now Reading
Malaysia Boleh Jadi Tuan Rumah Sukan Komanwel Sekali Lagi, Kali Ini Dengan Kos Lebih Murah

Malaysia Boleh Jadi Tuan Rumah Sukan Komanwel Sekali Lagi, Kali Ini Dengan Kos Lebih Murah

Setiausaha Agung MOM Mohamad Nazifuddin Najib percaya bahawa Malaysia boleh menganjurkan Sukan Komenwel yang lebih kecil menggunakan kemudahan sedia ada.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, kecoh apabila Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan peluang kepada Malaysia untuk menjadi tuan rumah edisi 2026 bagi menggantikan Australia yang menarik diri sebagai penganjur.

Walaupun CGF akan menyediakan 100 juta pound iaitu kira-kira RM601 juta untuk memberi bantuan dari segi pengurusan kos, namun idea itu kurang mendapat sambutan daripada beberapa pihak.

Ini kerana banyak pihak percaya Malaysia belum bersedia dari segi kewangan untuk menganjurkan acara sukan besar itu atas pelbagai sebab, antaranya faktor ekonomi dan jumlah hutang negara.

Ada yang menyatakan bahawa kerajaan Victoria di Australia menarik diri dari menjadi tuan rumah pada Julai lalu kerana kos yang diperlukan adalah lebih tinggi daripada jangkaan.

Tindakan tersebut menyebabkan Australia terpaksa membayar RM1,171,459,060 (AUD380 juta) kerana melanggar kontrak untuk menganjurkan temasya itu dari 17 hingga 29 Mac 2026.


Malaysia Pernah Jadi Tuan Rumah Bagi Sukan Komanwel

Untuk pengetahuan anda, Malaysia pertama kali menjadi tuan rumah Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Mungkin disebabkan itu jugalah sesetengah pihak agak berat untuk melepaskan peluang menjadi tuan rumah sekali lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Receives Offer To Host 2026 Commonwealth Games, Netizens Say “No!”

Bagi pendapat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), mereka percaya bahawa projek besar itu boleh dilaksanakan dengan perancangan yang teliti.

Setiausaha Agung MOM Datuk Mohamad Nazifuddin Najib menggariskan beberapa penyelesaian yang berpotensi untuk membantu mengurangkan kos bagi membolehkan Malaysia menjadi penganjur. Antaranya:

  • Mengehadkan bilangan jenis sukan yang dipertandingkan kepada 10 dan bukannya 15 sukan. Ini juga bermakna Malaysia hanya perlu mengadakan majlis perasmian dan penutup yang lebih kecil.
  • Menggunakan hotel dan penginapan standard bagi menempatkan atlet dan pegawai yang terlibat tanpa perlu membina ‘perkampungan Games’.
  • Mengatur semula bajet untuk Sukan Asia Tenggara 2027 untuk Sukan Komanwel.
  • Melakukan penganjuran bersama acara dengan Singapura. Walau bagaimanapun, Nazifuddin menegaskan langkah tersebut mungkin akan membuatkan Singapura mahu mengambil alih sebagai penganjur dan Malaysia akan terlepas peluang untuk menganjurkan temasya itu.

Keputusan untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 kini masih dalam perbincangan. Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Kabinet akan membincangkan perkara itu pada minggu ini.

Perkara yang paling penting adalah apabila keputusan dibuat, kami memberi jaminan kepada anda ia akan dilakukan selepas mengambil kira semua sudut.

Menteri Belia Dan Sukan Hannah Yeoh berkata kepada News Straits Times.

Sebagai rekod, CGF tidak hanya menawarkan hak penganjuran Sukan Komanwel kepada Malaysia sahaja, malah kepada beberapa negara lain termasuk Singapura.

Perkara itu sudah disahkan sendiri oleh Nazifuddin kepada Harian Metro.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd