Now Reading
MH370: Anwar Ibrahim Dedah Akan Teruskan Misi Mencari Jika Wujud Bukti Baharu

MH370: Anwar Ibrahim Dedah Akan Teruskan Misi Mencari Jika Wujud Bukti Baharu

Ahli keluarga mangsa telah mengadakan majlis memperingati para penumpang MH370 di Nu Empire Subang beberapa hari sebelum tempoh sedekad kehilangan pesawat MH370.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Mac 2024 telah menjadi tahun ke-10 sejak penerbangan Malaysia Airlines MH370 hilang dari radar sehingga mencetuskan pencarian dari pasukan seluruh dunia dan menjadi misteri dalam kalangan masyarakat.

Semuanya bermula pada 8 Mac 2014 apabila 239 orang penumpang termasuk kru MH370 sedang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China sebelum radar kapal terbang tersebut tiba-tiba hilang semasa berada di Laut China Selatan.

Komunikasi terakhir dari MH370 adalah apabila juruterbang Zaharie Ahmad Shah mengucapkan selamat tinggal kepada kawalan trafik udara Malaysia dan berpindah ke ruang udara Vietnam.

Pesawat itu dikatakan telah berpatah balik ke ruang udara utara Malaysia sebelum dipercayai bergerak ke selatan Lautan Hindi.

Sumber: Fail TRP

Meskipun carian telah dilakukan secara meluas, tetapi masih tiada pihak mengetahui perkara sebenar yang berlaku kepada penerbangan itu. Kesemua 239 orang penumpang di dalam pesawat juga dianggap sudah meninggal dunia.

Walau bagaimanapun, beberapa serpihan yang dipercayai milik pesawat itu telah ditemui oleh orang awam dalam tempoh beberapa tahun sepanjang tempoh sedekad ini.

Segelintir serpihan pesawat seperti flaperon 2 meter telah hanyut di sepanjang pantai Afrika dan di pulau-pulau sekitar Lautan Hindi.

Namun, bukti kecil itu masih gagal untuk memberi gambaran penuh tentang kejadian yang berlaku pada hari berkenaan.


Ahli Keluarga Mangsa Mengadakan Majlis Untuk Mengenang 239 Penumpang MH370

Baru-baru ini, grup Facebook MH370 Families yang terdiri daripada ahli keluarga penumpang terlibat telah mengadakan majlis untuk memperingati kejadian yang kini sudah memasuki tahun ke-10.

Majlis yang diadakan di Nu Empire Subang juga telah memaparkan beberapa serpihan yang ditemui serta persembahan sebagai tanda penghormatan kepada para penumpang yang hilang.

Acara tersebut diakhiri dengan tiupan 239 batang lilin bagi mengenang kesemua insan tersayang yang telah hilang sejak 10 tahun lalu.


Misi Pencarian Akan Dibuka Semula Jika Terdapat Bukti Baharu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia bersedia untuk membuka semula siasatan berhubung kehilangan MH370 jika terdapat bukti kukuh baharu.

Kami telah mengambil pendirian jika terdapat bukti bahawa ia perlu dibuka semula, kami bersedia untuk membuka semula. Apa sahaja yang perlu dilakukan, mesti dilakukan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semalam (3 Mac), Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kerajaan bersedia untuk berbincang dengan pihak yang berminat untuk meneruskan pencarian pesawat yang hilang itu.

Loke berkata kementeriannya telah diarahkan untuk menjemput firma penerokaan laut dalam Ocean Infinity untuk mesyuarat berhubung cadangan ‘tiada penawar, tiada bayaran’ terbaharu mereka untuk mencari MH370.

Ocean Infinity telah menyatakan minatnya untuk menyambung semula carian dan telah mengecilkan kawasan carian bagi meningkatkan potensi bagi menjumpai sesuatu.

Pada Januari 2017, Malaysia bersama dengan Australia dan China telah membatalkan misi pencarian pesawat di dalam air selama dua tahun yang tidak memberi apa-apa berita positif.

Pencarian tersebut meliputi AS$130 juta dibayar oleh Australia dan Malaysia melibatkan 120,000 km persegi di selatan Lautan Hindi.

Kemudian pada tahun 2018, Ocean Infinity mengambil alih pencarian tanpa bayaran selama tiga bulan meliputi kira-kira 112,000 km persegi di selatan Lautan Hindi dan masih tidak memberi apa-apa bukti baharu.

Baca Artikel Berkaitan: Mengingati MH370: Hampir 9 Tahun Lenyap, Kepulangan Masih Dinanti-nanti

Baca Artikel Berkaitan: “Kau Setakat Google..” – Berang Sebar Info Tak Tepat, Waris MH370 ‘Sekolahkan’ PrinceMeed [Video]

Baca Artikel Berkaitan: Jurutera Britain Dakwa Temui Lokasi Pesawat MH370 Di Lautan Hindi


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd