Now Reading
“Anak Diuji Pelbagai Bentuk Penyakit” – Nadir Al-Nuri Kongsi Keadaan Keluarga Di Rafah

“Anak Diuji Pelbagai Bentuk Penyakit” – Nadir Al-Nuri Kongsi Keadaan Keluarga Di Rafah

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Nadir Al-Nuri, isteri dan anak-anaknya masih mendapat bekalan makanan daripada bantuan diterima di Rafah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kini, peperangan dan kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin telahpun mencecah hari ke-135 sejak 7 Oktober tahun lalu.

Namun begitu, kekejaman rejim Zionis dilihat semakin mengganas dan tidak berperikemanusiaan apabila mereka bertindak menyasar tanah Rafah iaitu lokasi di mana penduduk Palestin sedang berteduh.

Baca Artikel Berkaitan: Tempat Perlindungan Rakyat Palestin Di Rafah Diserang, Malaysia Kutuk Kekejaman Israel


Nadir Al-Nuri Tak Tenang Fikir Nasib Keluarga Di Rafah

Antara mangsa yang sedang berdepan dengan keganasan rejim Israel termasuklah isteri dan tujuh anak kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. Mengenangkan nasib keluarga yang berada dalam kesusahan, sudah pasti ketua keluarga tersebut berada dalam keadaan tidak tenang.

Jelasnya, perkara boleh dilakukannya pada ketika ini adalah dengan menitipkan doa agar keluarga tercinta dilindungi daripada serangan di bumi Rafah yang kini menjadi sasaran pencerobohan Angkatan Pertahanan Israel (IDF).

Sumber: Instagram (@nadiralnuri)

Berhubung Dengan Keluarga 2 Hari Sekali

Menurut Nadir, isterinya Reem Al-Minawi, bersama anak-anak kini sedang berlindung di sebuah rumah sekitar Rafah atas ihsan ‘seorang hamba Allah’. Difahamkan, terdapat sekitar 20 hingga 30 individu yang lain turut berada di kediaman sama.

Dari aspek komunikasi pula, Nadir menjelaskan bahawa terdapat sedikit tenaga elektrik dan internet untuk berhubung dengan keluarga setiap dua hari sekali.

Sekarang ini kita boleh sebut alhamdulillah mereka masih hidup. Sebab kalau kita nak kata sihat, susah dalam keadaan sekarang kerana tak cukup makan dan bercampur dengan orang ramai. Memang anak-anak diuji berbagai bentuk penyakit, tetapi alhamdulillah, yang terbaik boleh kita harapkan ialah mereka masih lagi hidup dan itu sudah cukup baik untuk kami.

Nadir Al-Nuri.

Baca Artikel Berkaitan: Konflik Palestin-Israel: Angka Korban Dikhuatiri Meningkat Akibat Wabak Penyakit


Mimpi Keluarga Datang Peluk

Disamping itu, Nadir turut mendedahkan dirinya tidak dapat tidur dengan lena kerana memikirkan keselamatan keluarga yang terancam di bandar Rafah. Tambah Nadir lagi, dia boleh ‘melupakan’ seketika keadaan keluarga di sana pada waktu siang dengan melibatkan diri dalam pelbagai program.

“Waktu malam kita bermimpi jumpa dengan keluarga dan anak-anak datang peluk. Kita akan bangun dalam keadaan yang cemas dan buka berita, adakah kawasan mereka duduk di bumi Rafah telah dibom atau berlaku apa-apa insiden tidak diingini.

“Jadi, setakat ini susah sikit nak tidur malam sebab malam ini tak boleh nak kawal. Siang kita boleh penuhkan masa dengan dengan (pelbagai) aktiviti,” ujarnya.


Isteri & Anak Masih Dapat Akses Bekalan Makanan

Kegusaran si bapa bertambah apabila memikirkan keadaan kesihatan anak bongsunya yang berusia sekitar dua tahun kerana mempunyai masalah komplikasi pernafasan.

Bagaimanapun, dia tetap bersyukur kerana keluarga yang berada di Rafah masih mempunyai bekalan makanan memandangkan bantuan masih boleh dibawa masuk ke kawasan berkenaan.

Serangan oleh Israel masih berlaku melalui jalan udara, maksudnya belum lagi berlaku serangan melalui jalan darat. Kalau berlaku serangan jalan darat, akan berlaku risiko ribuan orang akan mati syahid setiap hari.

Nadir Al-Nuri.
Sumber: X (@aselmousa)

Lebih 28,000 Penduduk Palestin Terkorban

Umum mengetahui pihak IDF bukan sahaja membunuh rakyat Palestin malah mereka juga menghancurkan kediaman para mangsa.

Sejak peperangan tercetus awal Oktober tahun lalu, kira-kira 1.4 juta warga Palestin dan penduduk hilang tempat tinggal dan kini berada di Rafah selepas tentera penceroboh Israel mengusir mereka dari utara Gaza ke selatan wilayah berkenaan.

Sumber: X (@cheguwera)

Dalam pada itu, kapal tentera laut Israel juga melepaskan tembakan ke arah pantai Rafah, serentak dengan tembakan meriam yang menyasarkan bahagian selatan dan timur bandar tersebut.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, serangan berterusan Israel di Semenanjung Gaza sejak awal peperangan mengakibatkan 28,858 penduduk Palestin terbunuh manakala 68,677 lagi cedera.

Baca Artikel Berkaitan: Amerika Syarikat Gesa Gencatan Senjata Selama 6 Minggu Di Bumi Gaza


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd