Now Reading
Halang Laluan Orang Awam, Meja & Kerusi Milik Restoran Mi Tarik Viral Di Petaling Street Antara Yang Disita DBKL

Halang Laluan Orang Awam, Meja & Kerusi Milik Restoran Mi Tarik Viral Di Petaling Street Antara Yang Disita DBKL

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menyita 80 peralatan perniagaan di sekitar Petaling Street dan telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk tujuan rekod serta dokumentasi.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila sebut sahaja hidangan mi tarik di Kuala Lumpur, mesti ramai yang akan terfikir sebuah keda viral iaitu Restoran Mee Tarik yang terletak di Petaling Street.

Walaupun pada tengah malam, premis ini tetap mendapat sambutan hangat sehingga perlu beratur panjang untuk menunggu meja kosong.

Situasi ini menyebabkan pemilik kedai mengambil keputusan untuk meletakkan kerusi dan meja di luar premis mereka sehingga ke ruangan pejalan kaki di seberang jalan.

Sumber: OnlyFoodKL

DBKL Sita Kerusi Dan Meja Kerana Halang Laluan Awam

Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pihak DBKL telah melakukan Tindakan Khas Pindah Halangan Premis Perniagaan sekitar Jalan Sultan (Petaling Street), Kuala Lumpur pada jam 10.00 malam semalam (11 Januari).

Operasi tersebut telah diketuai oleh Pengarah Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Noor Azman bin Mahlin bersama 32 pegawai dan anggota Penguatkuasa DBKL.

Tindakan khas itu dilakukan bertujuan untuk menyasarkan premis perniagaan yang melakukan kesalahan dengan menghalang laluan awam dengan cara meletakkan barangan di atas jalan dan pejalan kaki.

Pada masa yang sama, pihak DBKL juga melakukan tangkapan terhadap perniagaan warga asing yang beroperasi tanpa lesen yang sah.

Hasil pemeriksaan semasa operasi ke atas lapan buah premis dan empat buah premis restoran, mereka telah dikenakan tindakan sita dan pindah peralatan perniagaan kerana meletakkan kerusi, meja, stall beroda, payung, dapur, tong gas, di atas laluan serta jalan di tempat awam tanpa kebenaran.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Susulan itu, DBKL mengeluarkan beberapa kompaun seperti berikut:

  • 4 notis kompaun terhadap pemilik perniagaan di bawah Seksyen 46 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
  • 1 notis kompaun di bawah UUK Iklan (WPKL) 1982.
  • 1 notis kompaun premis tanpa lesen di bawah UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016.
  • 6 notis kompaun halangan kenderaan di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959.

Keseluruhan operasi semalam telah berjaya menyita 80 peralatan perniagaan dan telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk tujuan rekod serta dokumentasi.

Oleh itu, pihak DBKL memberi peringatan kepada mana-mana pemilik premis agar sentiasa mematuhi peraturan serta mengikuti syarat lesen dengan tidak membuat sebarang halangan di laluan orang awam.


Perniagaan Baju Berjenama Tiruan Disita Oleh KPDN

Terdahulu, seorang lelaki berusia 27 tahun telah ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang pada 9 Januari lalu kerana menjual baju jenama tiruan di media sosial.

Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Pulau Pinang A Mogan, serbuan yang dilakukan pada jam tiga petang itu mendapati lelaki berkenaan menjadikan sebuah rumah di flat Projek Perumahan Awam (PPR), Air Itam Pulau Pinang sebagai tempat simpanan produk pakaian jualannya dengan bayaran sewa bulanan hanya RM500.

Hasil pemeriksaan ke atas rumah tersebut juga mendapati stok pakaian yang ditemui menggunakan cap dagangan berdaftar pelbagai jenama ternama antaranya seperti Adidas, Nike dan Puma yang disyaki palsu.

“Lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dengan KPDN mengalu-alukan maklumat dan aduan orang awam berhubung aktiviti penjualan barangan tiruan,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan: KPDN Tahan Lelaki Jual Baju Berjenama Tiruan & Sita 5,050 Helai Pakaian Bernilai RM40,400


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd