Now Reading
“Masih Minda Kelas Ketiga”- DBKL Kecewa Banyak Sampah Di Jalan Lepas Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024

“Masih Minda Kelas Ketiga”- DBKL Kecewa Banyak Sampah Di Jalan Lepas Sambutan Ambang Tahun Baharu 2024

Operasi pembersihan telah mencatatkan kutipan sampah sebanyak 1.98 tan di Bukit Bintang, 0.19 tan di Dataran Merdeka dan 0.29 tan di perkarangan KLCC pada malam ambang sambutan tahun baharu 2024.

DBKL sampah minda kelas ketiga

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap kali menjelang tahun baharu, beberapa lokasi di sekitar bandar Kuala Lumpur akan menjadi tumpuan ramai bagi meraikan sambutan tersebut yang kebiasaanya disajikan dengan pertunjukan bunga api.

Antara lokasi yang menjadi tarikan ramai pada tahun ini adalah Bukit Bintang, Dataran Merdeka, The Exchange TRX, KLCC dan banyak lagi.

Boleh dikatakan hampir semua tempat di ibu kota Malaysia dipenuhi dengan pelancong dan penduduk tempatan bersama rakan-rakan serta ahli keluarga pada malam 1 Januari 2024 yang lalu.


DBKL Kecewa Pengunjung Tinggalkan Longgokan Sampah Tepi Jalan

Walau bagaimanapun, sambutan ambang tahun baharu itu telah mengundang kekecewaan bagi pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Ini kerana terdapat banyak longgokan sampah yang ditinggalkan oleh pengunjung di sekitar tepi jalan raya apabila selesai menyambut tahun baharu di sekitar Kuala Lumpur.

DBKL menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook mereka berkata, antara sampah yang banyak bertaburan adalah bekas makanan, tin minuman, plastik, botol dan sebagainya.

Sumber: Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Kesal dengan tindakan sesetengah individu yang tidak bertanggungjawab ini, pihak DBKL berpendapat golongan seperti ini masih dalam kategori minda kelas ketiga.

Malah, mereka juga berpendapat tindakan tersebut menunjukkan bahawa segelintir masyarakat masih berfikir di takuk lama kerana beranggapan segala sampah akan dibersihkan oleh pekerja pembersihan.

Permulaan bagi Kuala Lumpur pada tahun ini seperti biasa dicemari dengan sikap sesetengah warga kota yang masih mempunyai sikap dan cara berfikir di takuk lama. Membuang sampah sesuka hati dengan anggapan ‘pandai-pandai la DBKL bersihkan nanti’.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jelas pihak berkuasa tempatan itu lagi, mereka hanya berharap orang ramai untuk menguruskan sampah sendiri dengan tidak membuangnya di merata-rata tempat bagi menjaga kebersihan.

Bukannya minta anda tolong bersihkan kawasan. Cukup sebagai permulaan, masing-masing urus sampah sendiri, jangan buang merata dan kalau perlu, bawa plastik sampah sendiri.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

DBKL turut menegaskan adalah tidak wajar untuk rakyat Malaysia membandingkan keindahan Kuala Lumpur dengan bandar di negara lain jika rakyat di negara ini masih tidak prihatin dari segi menjaga kebersihan.


Netizen Beri Pelbagai Reaksi Lepas Lihat Longgokan Sampah Bertaburan

Sesetengah netizen menganggap isu kebersihan ini sepatutnya tidak berlaku jika semua pihak bersama-sama menjaganya dan tidak hanya bergantung pada PBT sahaja.

“Come on la. Kebersihan tanggungjawab bersama. Bukan pihak berwajib sahaja,” ujar netizen.

Pada masa yang sama, netizen juga menganggap perkara ini adalah aksi berulang setiap kali berlangsungnya acara besar yang disambut oleh warga kota di Kuala Lumpur.

Namun, ada juga netizen yang bersetuju dengan kenyataan DBKL kerana mentaliti masyarakat yang tidak prihatin dengan penjagaan kebersihan di kawasan persekitaran.

“Tahun baru tapi otak masih takuk lama,” kata netizen.

Dalam pada itu, ada juga yang berpendapat budaya menjaga kebersihan ini perlu diamalkan dari rumah seperti yang diterapkan dalam masyarakat di negara Jepun.

“Kalau budaya kebersihan tidak dipraktikkan dari rumah seperti negara Jepun, memang susah nak lentur generasi ke generasi,” jelas netizen.

Sumber: Facebook

Jumlah Kutipan Sampah Di Sekitar Kuala Lumpur Pada Sambutan Ambang Tahun Baharu

Memetik sumber Kosmo, petugas Alam Flora Sdn. Bhd. (Alam Flora) telah mengutip lebih 3.06 tan sampah pada sambutan Tahun Baharu 2024.

Kawasan tumpuan yang menjadi operasi pembersihan mereka adalah di Bukit Bintang, Dataran Merdeka dan perkarangan Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Sumber: Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

Pengurus Kawasan Perkhidmatan Kuala Lumpur (Selatan) Alam Flora, Saiful Azim Saad berkata seramai 128 pekerja telah dikerahkan ke tiga lokasi ‘hotspot’ ini bagi tujuan pembersihan.

Operasi tersebut yang dilakukan pada jam 10 malam pada 31 Disember 2023 sehingga 8 pagi pada 1 Januari 2024 telah mencatatkan kutipan sampah sebanyak 1.98 tan di Bukit Bintang, 0.19 tan di Dataran Merdeka dan 0.29 tan di perkarangan KLCC.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd