Now Reading
Kes Bunuh Ibu Bapa: 3 Tikaman Ditemui Di Kepala, Leher & Muka Kedua-dua Mangsa

Kes Bunuh Ibu Bapa: 3 Tikaman Ditemui Di Kepala, Leher & Muka Kedua-dua Mangsa

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua warga emas yang tinggal di Sungai Penchala, Kuala Lumpur adalah akibat dibunuh dengan tikaman pada bahagian kepala, leher dan muka.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada 9 Disember sekitar jam 7 malam, sepasang suami isteri telah ditemukan maut selepas dibunuh oleh anak kandung di Jalan Penchala Hilir 6, Sungai Penchala, Kuala Lumpur.

Mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemui terbaring berlumuran darah di bahagian ruang tamu rumah.

Mengulas lanjut, kejadian itu didakwa berlaku selepas si anak terlibat dalam satu pergaduhan dengan ibu bapanya.

Pihak polis bagaimanapun telah berjaya menahan suspek yang telah melarikan diri ke dalam hutan berhampiran sejurus membunuh ibu bapanya pada hari sama.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata lelaki tersebut dijumpai semasa sedang bersembunyi di terowong Penchala Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT).


3 Kesan Tikaman Di Kepala, Leher & Muka

Hasil bedah siasat yang dijalankan di Bahagian Forensik Pusat Perubatan Universiti mendapati punca kematian kedua-dua warga emas terbabit adalah akibat tikaman.

“Terdapat tiga kesan tikaman di kepala, leher dan muka. Kesan tikaman itu sama pada kedua-dua mangsa,” ulas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid.

Sumber: X (@redzuanNewsMPB)

Suspek Positif 3 Jenis Dadah

Tambahnya lagi, hasil siasatan mendapati anak lelaki tersebut adalah seorang penagih dadah. Ujian saringan air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan morfin.

“Semakan juga mendapati suspek yang berusia 42 tahun mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan kesalahan dadah sejak Januari 2016 sehingga November lalu.

“Suspek juga dituduh atas kesalahan dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada 1 Disember sebelum diberi jaminan,” jelas Allaudeen dalam satu sidang media.

Susulan itu, lelaki yang ditahan selepas menikam ibu bapanya sehingga mati telah dibebaskan dengan jaminan selepas dituduh di mahkamah baru-baru ini berkaitan kes dadah.

“Suspek direman tujuh hari bermula kelmarin (10 Disember) sehingga 16 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.


Jiran Dengar Jeritan Sebelum Mangsa Dibunuh

Pasangan suami isteri berkenaan merupakan sebuah keluarga yang dikenali ramai jiran tetangga.

Salah seorang jiran pasangan itu berkata, dia tidak menyangka jeritan meminta tolong oleh seorang wanita yang didengarinya adalah suara mangsa.

“Saya dengar jiran dia cakap mula-mula dengar jeritan minta tolong selepas itu terus senyap, kira-kira dalam waktu maghrib (7 malam).

“Kedua-dua mangsa kemudiannya ditemukan dalam keadaan mengerikan, memang terkejut dengar kes bunuh macam ini. Di sini tak pernah ada (pembunuhan),” katanya.

Malah, mangsa juga dikenali kerana mereka merupakan penduduk lama di kawasan tersebut selain sering menunaikan ibadah di masjid.

Sumber: Kosmo

Baca Artikel Berkaitan:
Remaja Lelaki 13 Tahun Berkopiah Cuba Tikam Pak Cik Grab Guna Pisau Sudah Ditahan Polis

Baca Artikel Berkaitan: Perompak Tikam Remaja Dengan Pemutar Skru Hingga Cedera Kini Diburu Polis

Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Suspek Tikam Wanita Guna Gunting Di Dobi Layan Diri Telah Ditahan Polis


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd