Now Reading
Perbadanan Stadium Malaysia Mohon Maaf Atas Kerosakan Padang Stadium Nasional Bukit Jalil

Perbadanan Stadium Malaysia Mohon Maaf Atas Kerosakan Padang Stadium Nasional Bukit Jalil

PSM mengakui mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki semula padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas konsert Coldplay pada 22 November lalu.

stadium nasional bukit jalil

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung keadaan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang dipercayai berlaku kerosakan selepas konsert Coldplay pada 22 November lalu.

PSM dalam kenyataan mereka telah membuat permohonan maaf kepada penganjur Piala Malaysia 2023 iaitu Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana keadaan padang SNBJ yang tidak memuaskan.

Permohonan maaf itu juga ditujukan kepada pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dan Terengganu FC (TFC) serta para penyokong mereka.

PSM turut mengakui bahawa mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membaiki dan mengembalikan semula padang SNBJ ke tahap yang terbaik.

“PSM komited melakukan penambahbaikan Standard Operating Procedure (SOP) untuk pengurusan acara-acara di SNBJ pada masa akan datang,” jelas PSM.

Difahamkan permohonan maaf ini dilakukan sehari sebelum Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2023 yang bakal berlangsung pada hari ini (8 Disember).


TMJ Beri Reaksi Kurang Senang Lihat Keadaan SNBJ Ketika Lawatannya

Pada Isnin lalu (4 Disember), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah memuat naik satu ciapan di laman X (Twitter @HRHJohorII) dengan menunjukkan keadaan SNBJ yang mengalami beberapa kecacatan di bahagian padang.

Dalam ciapan tersebut, TMJ turut memerli Pengerusi PSM iaitu Hans Isaac dengan menyebut nama individu tersebut dalam ciapan sama.

“Ini standard yang bagus untuk Perlawanan Akhir Piala Malaysia. Nampaknya formula awak berhasil,” perli TMJ kepada Hans Isaac.

Memetik sumber Astro Awani, TMJ berkenan melawat SNBJ selama 20 minit semalam (7 Disember) ketika sesi latihan rasmi skuad Harimau Selatan menjelang aksi final Piala Malaysia 2023 menentang Terengganu FC (TFC).

Dalam tempoh lawatan yang singkat itu juga baginda telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi selepas isu kualiti padang yang dibangkitkan semula.


TMJ Taja Rumput Berkualiti Di Stadium Nasional Bukit Jalil

Pada Mac lalu, TMJ berangkat ke Majlis Perasmian Penggantian Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil selepas baginda berkenan menaja rumput berkualiti jenis Zeon Zoysia sebagai sumbangan baginda kepada industri bola sepak negara.

Difahamkan penggunaan rumput lembu atau ‘cow grass’ di SNBJ tidak lagi sesuai untuk digunakan bagi bola sepak moden kerana mempunyai akar yang pendek dan berdaun besar serta lembut.

Keadaan tersebut dipercayai boleh menyebabkan bola mudah untuk melantun apabila pemain melakukan hantaran.

Rumput jenis Zeon Zaysia ini juga turut digunakan di beberapa stadium di sekitar negara Asia seperti Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd