Now Reading
Kes Runtuhan Gudang: 4 Pekerja Disangka Tertimbus Rupanya Lari Kerana Tiada Permit

Kes Runtuhan Gudang: 4 Pekerja Disangka Tertimbus Rupanya Lari Kerana Tiada Permit

Empat pekerja warga Bangladesh disahkan sudah melarikan diri dari runtuhan bangunan gudang logistik DHL kerana ketakutan serta tidak mempunyai permit.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (29 November), sekitar jam 6.30 petang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat pekerja pembinaan gudang logistik yang dikatakan tertimbus dalam runtuhan bangunan di Batu Maung telah ditamatkan.

Menurut Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, keputusan itu dibuat selepas pasukan SAR mendapati keempat-empat mereka tidak dijumpai di bawah runtuhan.

Tambah beliau, empat pekerja warga Bangladesh itu dilaporkan masih hidup dan sudah melarikan diri dari lokasi kejadian kerana ketakutan serta tidak mempunyai permit.

Perkara itu telah disahkan oleh majikan dan mandur yang bertugas di tempat kejadian semasa tragedi berlaku.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) walau bagaimanapun telah mengesan mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dan ditahan pada jam 4 petang semalam (29 November).

“Kita tidak menjumpai mana-mana mangsa di tempat kejadian walaupun sudah buat pencarian rapi.

“Mereka telah melarikan diri di sekitar Bayan Lepas dan berkemungkinan tiada permit. Kita menahan mereka dan akan jalankan siasatan lanjut,” kata beliau.

Sumber: Facebook JBPM Pulau Pinang

Pihak Polis Puas Hati Dengan Operasi Mencari & Menyelamat

Beliau dalam masa sama berpuas hati dengan semua elemen SAR dan memuktamadkan bahawa mangsa yang maut dalam insiden itu adalah seramai tiga orang manakala dua lagi parah.

Untuk info, mangsa yang maut dikenali sebagai Md Ahed Ali, 42, Mohammad Mokaddes Ali, 46, dan Mohd Sayful Islam, 29.

Dua lagi parah dikenali sebagai Md Uzzal Mridha, 30 yang patah kaki kiri manakala Md Razu Ahamad, 33, cedera di kepala serta leher.


Pembinaan Gudang Logistik DHL Runtuh

Terdahulu, satu insiden runtuhan bangunan dilaporkan berlaku iaitu pembinaan gudang logistik DHL di Batu Maung, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Siasatan awal kejadian mendapati runtuhan berlaku semasa mangsa sedang bekerja di tingkat bawah bangunan sebelum dihempap 14 rasuk konkrit dari ketinggian kira-kira 20 meter.

“Satu beam (rasuk) sepanjang 12 meter dengan berat 14 tan jatuh telah melanggar rasuk lain dan menimpa mangsa-mangsa yang sedang bekerja di bawah,” jelas Mohamed Usuf.

Maklumat awal diterima pihak polis adalah seramai 18 orang pekerja sedang bertugas di tapak pembinaan, namun sembilan daripada mereka sempat keluar daripada kawasan itu untuk menunaikan solat.

Sumber: JBPM/Astro Awani

Baca Artikel Berkaitan: Runtuhan Tapak Pembinaan: 3 Maut, 2 Cedera Parah & 4 Lagi Masih Terperangkap

Baca Artikel Berkaitan: Siling Runtuh Di BMC Mall Cheras, Tiada Kemalangan Jiwa Direkodkan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd