Now Reading
“Saya Hormati Keputusan Mahkamah” – Syed Saddiq Umum Bakal Fail Rayuan

“Saya Hormati Keputusan Mahkamah” – Syed Saddiq Umum Bakal Fail Rayuan

Syed Saddiq dalam sidang media berkata bahawa beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menjatuhkan hukuman penjara, sebat dan denda terhadapnya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata bahawa beliau menghormati keputusan hakim dan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara terhadap beliau berhubung empat pertuduhan kes dana ARMADA.

“Sebagai salah seorang penggubal dasar, saya perlu meletakkan kepercayaan ke atas Institusi Kehakiman Negara dari sebelum, hari ini dan masa yang akan datang.

“Institusi kehakiman itu merupakan benteng akhir bagi rakyat Malaysia dan tidak ada beza saya dengan rakyat yang lain,” jelas beliau dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Tambah Syed Saddiq, jika individu lain iaitu rakyat biasa boleh menghormati keputusan mahkamah, maka beliau juga perlu berbuat sedemikian.


Syed Saddiq Bakal Failkan Rayuan Sebagai Penentu Hukuman Terakhir

Selain itu, beliau telah pun berbincang dengan para peguam bahawa pihak mereka akan menfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan yang dikenakan Mahkamah Tinggi pagi tadi.

“Mahkamah lah yang menjadi penentu terakhir ke atas nasib saya dan juga medan terbaik untuk membersihkan nama,” kata beliau.

Syed Saddiq dalam masa sama mengucapkan terima kasih kepada para peguam kerana telah bertungkus lumus dalam kes berkenaan dan juga ibu bapa yang sentiasa bersama.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata bahawa beliau akan memberi kata putus mengenai masa depan kerjaya politiknya bersama parti MUDA pada satu mesyuarat parti petang ini (9 November).


Syed Saddiq Kongsi Pendirian Tentang Dunia Politik

Sementara itu, Syed Saddiq juga telah berkongsi pendirian beliau terhadap dunia politik yang dilaluinya selama ini.

“Saya pegang dengan kata-kata saya berani kerana benar. Berkatalah benar walaupun pahit.

“Tidak kira siapa atau parti mana pun yang mentadbir, Malaysia perlu tetap berada di landasan yang betul,” ujar bekas Menteri Belia dan Sukan berkenaan.

Sebagai salah seorang anak muda, Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau tidak akan berhenti berlawan untuk menegakkan kebenaran dan memastikan negara maju.


Syed Saddiq Didapati Bersalah Atas 4 Pertuduhan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini (9 November) telah mendapati bahawa Syed Saddiq bersalah atas empat pertuduhan yang didakwa ke atas dirinya terdahulu.

Beliau dituduh atas empat pertuduhan melibatkan salah guna harta, bersubahat melakukan pecah amanah dan pengubahan wang haram menggunakan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).

Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membuat keputusan tersebut selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Susulan itu, pihak Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara selama tujuh tahun, dua kali sebatan dan denda berjumlah RM10 juta kepada Syed Saddiq.

Baca Artikel Berkaitan: Syed Saddiq Dihukum 7 Tahun Penjara, 2 Sebatan & Denda RM10 Juta Selepas Bersalah 4 Pertuduhan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd