Now Reading
Bunuh Kawan Baik 4 Tahun Lepas, Bekas Pelajar Tingkatan 6 Dihukum Penjara 30 Tahun

Bunuh Kawan Baik 4 Tahun Lepas, Bekas Pelajar Tingkatan 6 Dihukum Penjara 30 Tahun

Tertuduh didakwa membunuh rakannya antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi pada 1 November 2020 di sebuah rumah di Kampung Lubuk Batu, Hulu Terengganu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang bekas pelajar tingkatan enam dikenakan hukuman penjara 30 tahun di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini (5 Mac).

Keputusan dibuat Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas tertuduh, Siti Nur Athirah Azmi mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh rakan baiknya, Siti Nur Surya Ismail, empat tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh rakannya antara jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi pada 1 November 2020 di sebuah rumah di Kampung Lubuk Batu, Hulu Terengganu. Mereka ketika itu berumur 19 tahun.


Hukuman Penjara Bermula Pada 2 November 2020

Siti Nur Athirah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika disabit kesalahan.

Namun demikian, tertuduh diberi hukuman pemenjaraan berdasarkan kepada pindaan terkini mengikut Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.

Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan agar hukuman penjara tersebut bermula daripada tarikh tangkapan iaitu pada 2 November 2020, lapor Astro Awani.

Pihak pendakwa merangkumi Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Mohd Khairuddin Idris, manakala tertuduh pula diwakili peguam, Azura Ghazali.


Tertuduh Terlepas Dari Hukuman Mati Mandatori

Terdahulu, tertuduh telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang pada 16 November tahun sama dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seksyen tersebut ketika itu memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Majistret Engku Nurul Ain tidak menawarkan sebarang jaminan bagi tertuduh dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 Januari 2021 di Mahkamah Majistret Kuala Berang.


Adik Bongsu Jumpa Mangsa Maut Di Ruang Tamu Rumah

Menurut laporan Kosmo, mayat mangsa ditemukan oleh adik bongsunya yang baru pulang dari sekolah. Mangsa ditemukan di ruang tamu dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah.

Mayat Siti Nur Surya turut mempunyai kesan tetakan di bahagian muka, leher dan dada. Malah pergelangan tangan kirinya telah putus.

Lebih menyayat hati apabila ibu mangsa menyaksikan sendiri perbuatan kejam itu. Ibunya yang menghadapi kanser otak terlantar sakit di katil berhampiran tempat kejadian berlaku.

Motif kejadian dipercayai kerana tertuduh tidak berpuas hati akibat sindir-menyindir sebelum ini, lapor Sinar Harian.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd