Now Reading
5 Produk Kosmetik Dikesan Ada Racun Berjadual – KKM

5 Produk Kosmetik Dikesan Ada Racun Berjadual – KKM

Setiap produk kosmetik yang dikesan mempunyai racun berjadual berisiko memberi kesan buruk terhadap kesihatan pengguna.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pada masa kini, bukan sahaja wanita malah para jejaka juga mengutamakan rutin penjagaan kulit muka.

Terdapat pelbagai jenis produk penjagaan kulit yang tersedia di pasaran. Namun, bukanlah semua produk yang dijual adalah selamat.

Seperti baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesan beberapa produk kulit muka yang mempunyai bahan kimia berbahaya.


KKM Kesan 5 Produk Kosmetik Ada Racun Berjadual

Semalam (24 Oktober), KKM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah mengesan racun berjadual dalam lima produk kosmetik yang berada di pasaran.

Berikut adalah senarai nama produk serta jenis racun yang terkandung dalamnya:

  • Skinsiter Babyskin Treatment Cream = Merkuri
  • Sahaana Fairness Cream = Merkuri
  • Skinmade AZ & Salicylic Acid + Licorice Root Serum = Asid Azelaik
  • Glowing Night Cream = Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-valerate
  • Glowing Herba Night Cream =  Merkuri dan Betamethasone 17-Valerate

Susulan kandungan racun yang berbahaya, Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM telah melarang penjualan produk kosmetik tersebut di Malaysia.


Kesan Sampingan Racun Berjadual Terhadap Kesihatan

Menurut penjelasan KKM, bahan-bahan kimia yang telah disenaraikan berpotensi memberi kesan buruk terhadap kesihatan pengguna. Antaranya:

#1. Merkuri
  • Bahan kimia boleh diserap masuk ke dalam badan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
  • Mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau kandungan dalam ibu mengandung.
  • Boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada permukaan kulit.
#2. Asid Azelaik
  • Individu akan mengalami rasa melecur dan mengelupas pada permukaan kulit.
  • Kegatalan serta kemerahan.
  • Perubahan pada warna kulit.
#3. Hydroquinone
  • Kemerahan dan ketidakselesaan.
  • Perubahan warna kulit.
  • Kulit menjadi hipersensitif.
  • Halang proses pigmentasi iaitu pengurangan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya sehingga meningkatkan risiko kanser kulit.
#4. Tretinoin
  • Kemerahan dan ketidakselesaan.
  • Kulit pedih dan mengelupas.
  • Kulit menjadi hipersensitif terhadap cahaya matahari.
#5. Betamethasone 17-Valerate
  • Bahagian kulit menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi.
  • Perubahan pada pigmentasi kulit sehingga meningkatkan risiko bahan kimia diserap dalam sistem peredaran darah.

Kandungan Racun Berjadual Dalam Produk Perlu Didaftarkan

Produk yang mengandungi Asid Azelaik, Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan sahaja.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata penjual dan pengedar produk kosmetik tersebut perlu menghentikan penjualan dan pengedaran barangan dengan serta merta.

Tambah beliau, penjualan dan pengedaran produk berkenaan telah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.


KKM Seru Orang Ramai Untuk Menghentikan Penggunaan Produk Itu

KKM dalam masa sama turut menggesa orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu untuk segera menghentikan penggunaannya.

Selain itu, pengguna juga diingatkan agar mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.

Beliau turut menggalakkan pengguna untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) www.npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store.

Baca Artikel Berkaitan: “Ada Racun Berjadual” – KKM Beri Amaran Senarai Produk Kosmetik Miliki Bahan Bahaya

Baca Artikel Berkaitan: KKM Haramkan Penjualan Tiga Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

Baca Artikel Berkaitan: “Nak Putihkan Kulit, Akhirnya Menggelupas” KKM Beri Amaran Jangan Guna Produk Kosmetik Ini


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd