Now Reading
Bomoh Rogol Pelajar 16 Tahun Sebanyak 4 Kali Dengan Alasan Nak Buang ‘Pendamping’

Bomoh Rogol Pelajar 16 Tahun Sebanyak 4 Kali Dengan Alasan Nak Buang ‘Pendamping’

Mangsa dilaporkan telah dirogol sebanyak empat kali oleh suspek bermula Ogos sehingga Oktober 2023.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, kes rogol dalam negara yang melibatkan kanak-kanak perempuan serta remaja dilihat semakin berleluasa.

Walaupun tindakan undang-undang sedia ada telah pun dikuat kuasa, namun manusia bertopengkan syaitan ini seperti tidak gentar untuk melakukan kesalahan tersebut.

Insiden seperti ini juga sering terjadi apabila seseorang individu itu sedang bersendirian atau berada di tempat yang sunyi.


Pelajar Perempuan Dirogol Oleh Bomoh Kerana Didakwa Ada ‘Pendamping’ Pada Badan

Seperti 16 Oktober lalu, seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun membuat laporan telah dirogol sebanyak empat kali oleh seorang bomoh berumur 50 tahun.

Pada mulanya, lelaki itu telah datang ke sebuah kedai makan milik ibu saudara mangsa yang terletak di Batu Berendam dan mendakwa premis berkenaan mempunyai gangguan sihir.

Susulan itu, suspek yang bekerja sebagai jurulatih Muay Thai tersebut telah datang ke rumah mangsa pada 25 Ogos lalu bagi merawat ibu saudaranya dipercayai terlibat dengan gangguan sihir.

Namun ketika berada di rumah tersebut, suspek yang mendakwa dirinya mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan tradisional berkata dia terlihat ‘pendamping’ pada badan si mangsa.

Lapor Astro Awani, lelaki tersebut telah memberitahu kepada ibu mangsa yang berusia 48 tahun untuk memberikannya keizinan bagi mengubati anak perempuan bongsunya itu.


Bomoh Bawa Mangsa Ke Kawasan Semak

Pada September lalu, suspek kemudian dikatakan membawa mangsa ke satu kawasan semak yang terletak di sekitar Pasaraya NSK Malim, Cheng, Melaka.

Difahamkan, mangsa telah datang bersama-sama bapa saudaranya.

Namun lain pula jadinya apabila remaja perempuan itu ditinggalkan bersama si bomoh di kawasan tersebut kerana bapa saudara diarahkan untuk membeli makanan bagi tujuan perubatan.

“Pada pertemuan itu suspek menyuruh bapa saudara mangsa pergi membeli makanan dan meninggalkan mangsa bersama suspek berdua di kawasan semak,” kata Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah.

Disebabkan itu, suspek telah merogol mangsa buat pertama kalinya di kawasan tersebut.

Sejak daripada insiden itu, bomoh itu telah datang beberapa kali ke datang ke rumah dan membawa si mangsa bersama ibu saudaranya pula ke tempat yang sama untuk tujuan merawat remaja perempuan terbabit.

Menggunakan taktik yang sama, ibu saudaranya juga telah diarah untuk membeli makanan dan meninggalkan suspek bersama mangsa.

Jelas Zainol Samah, mangsa mendakwa dirinya dirogol oleh suspek sejak bulan Ogos hingga Oktober sebelum memberanikan diri membuat laporan polis.


Suspek Telah Ditahan Reman Oleh Pihak Polis

Susulan daripada laporan tersebut, suspek ditahan polis jam 4.30 pagi pada Selasa (17 Oktober) di tempat latihan Muay Thai kawasan Batu Berendam manakala mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Selanjutnya, Majistret Mahkamah Melaka Khairunnisak Hasni telah mengeluarkan perintah reman kepada suspek yang berasal dari Tumpat, Kelantan selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Oktober bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Kucing Keluar Muntah Darah, Disyaki Ada Individu Tidak Dikenali Berdendam

Baca Artikel Berkaitan: Guru Mengaji 74 Tahun Didakwa Rogol Dua Beradik Di Pulau Pinang

Baca Artikel Berkaitan: Kes Wanita Dirogol Berkumpulan, Lelaki Sanggup ‘Gadai’ Maruah Adik Ipar Untuk Bayar Hutang Rakan


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd