Now Reading
“2 Kali Saya Tengok Harga” – Pelanggan Beri Maklum Balas Tentang Menu Rahmah

“2 Kali Saya Tengok Harga” – Pelanggan Beri Maklum Balas Tentang Menu Rahmah

Antara maklum balas pembeli tentang Menu Rahmah ini adalah ia menjimatkan dan memudahkan golongan warga emas yang sudah jarang memasak.

maklum balas menu rahmah

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!


Pada 31 Januari lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub telah melancarkan Program Menu Rahmah yang melibatkan lebih 15,000 restoran seluruh Malaysia.

Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh KPDN merupakan menu makan tengah hari atau makan malam yang hanya berharga RM5 dan diwujudkan bagi membantu golongan B40 untuk membeli makanan di restoran dengan harga berpatutan.

Mengikut perancangan KPDN, Menu Rahmah ini akan merangkumi hidangan nasi, lauk ayam atau ikan dan sayuran.

Menu Rahmah ini boleh dimanfaatkan oleh masyarakat dengan memberitahu kepada peniaga bahawa anda ingin memesan Menu Rahmah.

Dalam pada itu, pihak KPDN dengan kerjasama semua premis yang menyertai inisiatif ini akan meletakkan pelekat yang mempunyai simbol Menu Rahmah.

BACA JUGA: 15,000 Restoran Tawar Menu Rahmah RM5 Demi Bantu Golongan B40

Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

Pelanggan Beri Maklum Balas Tentang Inisiatif Menu Rahmah Oleh KPDN

Memetik laporan Berita Harian, ramai pembeli khususnya golongan B40 sudah mula membeli Menu Rahmah yang ditawarkan dengan harga maksimum RM5 ini sejak semalam (1 Februari).

Tinjauan di Mydin Wholesale Hypermarket, Bukit Jambul, Pulau Pinang mendapati rata-rata pengunjung yang mendapatkan Menu Rahmah itu berpuas hati dengan harga serta jenis makanan yang ditawarkan.

Antara menu yang disediakan adalah seperti:

  • Menu Sarapan Pagi (RM2.50)
    • Nasi Lemak
    • Mi Goreng
    • Kuetiaw Goreng
    • Bihun Goreng
    • Nasi Goreng
  • Menu Makan Tengah Hari (RM4.90)
    • Nasi dan pelbagai jenis lauk
Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)
Sumber: Harian Metro

Antara maklum balas yang diberikan oleh beberapa orang pembeli Menu Rahmah adalah inisiatif ini sangat murah dan menjimatkan.

Pasangan adik beradik yang sudah berusia 75 dan 82 tahun dikenali sebagai Rosma Awang serta Khatijah memberi pendapat bahawa inisiatif Menu Rahmah ini memudahkan orang ramai terutamanya warga emas seperti mereka.

Bagi mereka, usia yang sudah lanjut membuatkan mereka tidak makan banyak dan sudah jarang memasak. Disebabkan itu, mereka lebih memilih untuk membeli di kedai berhampiran.

Dua kali saya tengok senarai harga yang ditulis kerana tak percaya masih ada yang menjual nasi lemak dengan harga serendah RM2.50 pada zaman ini.

Rosma Awang.

Tambahnya lagi, Menu Rahmah ini dilihat dapat membantu golongan individu berpendapatan rendah untuk membli makanan harian mereka.

Pengurus Cawangan Mydin Wholesale Hypermarket berkenaan, Mohd Sobri Tajudin juga memaklumkan bahawa Menu Rahmah yang baru diperkenalkan itu mendapat sambutan yang baik oleh para pengunjung.

Difahamkan, menu tersebut dimasak sendiri oleh kakitangan mereka menggunakan bahan masakan yang dijual di pasar raya tersebut.


Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd