Now Reading
Hasrat Kerajaan Utamakan Kemasukan Pelajar B40 Ke SBP Kembalikan Matlamat Asal Sekolah Berasrama – Kesatuan Guru

Hasrat Kerajaan Utamakan Kemasukan Pelajar B40 Ke SBP Kembalikan Matlamat Asal Sekolah Berasrama – Kesatuan Guru

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Fouzi Singon berkata matlamat asal penubuhan sekolah berasrama penuh adalah bagi memberi peluang kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan luar bandar.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Ibu bapa pasti mahukan pendidikan yang terbaik buat anak-anak. Sesetengah daripada mereka mempunyai impian untuk menghantar anak-anak ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Kedua-dua sekolah ini dipercayai mempunyai pendidikan berkualiti tinggi di samping yurannya yang tidak terlalu mahal buat keluarga dengan latar belakang ekonomi tertentu.

Bagi SBP, ia diwujudkan untuk menyediakan suasana persekolahan yang terancang, terkawal dan kondusif. Suasana ini bertujuan bagi mengembangkan potensi pelajar demi melahirkan modal insan berkualiti.

Perkembangan SBP mula diberi penekanan sejak Rancangan Malaysia Kedua (1975 – 1980) di bawah Dasar Ekonomi Baru. Dasar ini memberi penekanan kepada keperluan tenaga kerja dalam bidang sains dan teknologi.

Ketika majlis peluncuran Ekonomi MADANI: Memperkasakan Rakyat pada 27 Julai, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat kerajaan bahawa pemberian biasiswa dan pendidikan SBP akan ditumpukan kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.

Menurutnya, perkara itu adalah berasaskan prinsip keadilan sosial iaitu pemikiran mengenai hubungan yang adil dan saksama antara individu dan masyarakat. Di bawah prinsip ini, setiap ahli masyarakat diberi peluang yang saksama dengan bantuan ditumpukan kepada golongan terpinggir.


SBP Ditubuhkan Bagi Golongan Berpendapatan Rendah

Hasrat kerajaan itu disambut baik oleh Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon yang menyifatkan ia dipercayai dapat mengembalikan matlamat asal penubuhan SBP.

Dia berkata, SBP pada asalnya ditubuhkan dengan matlamat untuk membuka peluang kepada pelajar dengan latar belakang keluarga berpendapatan rendah yang duduk di luar bandar untuk mendapatkan pelajaran berkualiti tinggi. Namun begitu, dia mendakwa kebanyakan SBP kini dipenuhi pelajar daripada golongan elit yang kaya.

SBP ini seharusnya menjadi tempat bagi pelajar mendapat pelajaran yang terbaik, makanan yang berkhasiat, mendapat tuisyen yang sempurna serta penginapan yang lengkap supaya mereka tidak perlu berjalan kaki jauh untuk sekolah. Akan tetapi matlamat itu semakin terhakis dan kini SBP menjadi tempat bagi anak-anak daripada keluarga elit atau T20.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Fouzi Singon.

Tambahnya lagi, pemberian biasiswa kepada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dapat mengimbangi peluang dan keadilan bagi mereka mendapatkan pendidikan sewajarnya.

Fouzi berkata, pendidikan yang adil memberi peluang dan akses yang sama kepada pelajar dari keluarga B40. Jika pelajar dari luar bandar mendapat peluang untuk ke SBP, ibu bapa dan anak-anak pasti melakukan yang terbaik.


Hasrat Kerajaan Bantu Murid B40 Fokus Kepada Pembelajaran

Di samping itu, Pengarah Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salleh Amat, berkata SBP yang terletak di bawah kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu menyemak semula kelayakan pelajar untuk memasuki sekolah berkenaan.

Dalam hal ini saya berpendapat syarat kemasukan tidak semestinya mereka yang memperoleh markah sangat tinggi, cukuplah kelayakan minimum untuk mereka (golongan berpendapatan rendah) memasuki asrama.

Pengarah Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Salleh Amat.

Menurut Dr Salleh, hasrat kerajaan itu dapat membantu pelajar dari keluarga B40 di luar bandar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. Malah, mereka juga dapat memberi fokus kepada pembelajaran dan tidak terganggu dengan hal-hal lain.

Kebiasaannya, anak-anak dari keluarga pendapatan rendah tidak dapat fokus belajar kerana terpaksa membantu ibu bapa melakukan kerja. Ini juga merupakan satu kekurangan akses berbanding mereka yang tidak perlu bekerja.

Anak-anak di luar bandar ini bukan hanya belajar di sekolah, tetapi ada di antara mereka yang terpaksa membantu ibu bapa bekerja seperti berkebun dan sebagainya untuk meringankan beban keluarga. Jadi, apabila kerajaan kembalikan semula tujuan asal SBP ini, ia boleh beri peluang kepada pelajar menumpukan pelajaran sepenuhnya.

Pengarah Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Salleh Amat.

Reaksi Netizen Terhadap Hasrat Kerajaan Itu

Menjengah ke ruangan komen, terdapat individu yang berkongsi pengalaman mereka ketika di SBP dahulu dan mendakwa bahawa ia dipenuhi dengan pelajar T20. SBP juga dikatakan mempunyai yuran yang mahal.

Pengguna Twitter @labulaban berkata kerajaan harus menyediakan segala keperluan bagi pelajar B40 yang ingin ke SBP.

Ada juga yang berkata ketika dia belajar di SBP, masih ramai pelajar dari keluarga miskin dan luar bandar, termasuk Orang Asli, yang bersekolah di situ.

Seorang pengguna Twitter (@itsraimisyahmi) turut memberi sebab-sebab golongan B40 tidak mampu untuk masuk ke SBP. Antaranya seperti yuran yang mahal dan tiada pengetahuan tentang pendaftaran ke SBP.

Namun, ada juga yang kurang bersetuju jika SBP hanya menumpukan kepada golongan B40 dan pelajar sepatutnya diterima masuk berdasarkan keputusan peperiksaan.

Seorang lagi pengguna Twitter (@inijalannya) berkata MRSM telah diminta untuk kembali ke matlamat asalnya memberi keutamaan kepada golongan B40 pada tahun 2018, dan kini tumpuan diberikan kepada SBP pula.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd