15,000 Restoran Tawar Menu Rahmah RM5 Demi Bantu Golongan B40
Mengikut perancangan KPDN, Menu Rahmah ini akan merangkumi hidangan nasi, lauk ayam atau ikan dan sayuran.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pada hari ini (31 Januari) telah melancarkan Program Menu Rahmah di Mydin Subang Jaya Hypermarket.
Menu Rahmah yang diperkenalkan oleh KPDN merupakan menu makan tengah hari atau makan malam yang hanya berharga RM5 dan diwujudkan bagi membantu golongan B40 untuk membeli makanan di restoran dengan harga berpatutan.
Memetik laporan Harian Metro, lebih 15,000 buah restoran daripada tujuh persatuan pengusaha makanan dan minuman telah sama-sama menyertai program ini bagi menjayakan inisiatif Menu Rahmah.
Saya berharap agar selepas ini dapatlah golongan bersasar B40 ini membeli makanan dan tidak lagi menahan lapar kerana tidak mampu membeli makanan di restoran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Dalam pada itu, beliau juga yakin harga murah yang ditawarkan untuk Menu Rahmah ini tidak akan diambil kesempatan oleh golongan yang berkemampuan kerana mereka mampu membeli sajian lain.
Selain pasar raya MYDIN, antara persatuan yang menyertai inisiatif Menu Rahmah ini adalah:
- Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA)
- Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAS)
- Persatuan Pengusaha Tomyam Malaysia

Cara Untuk Memanfaatkan Inisiatif Menu Rahmah Ini
Salahuddin menjelaskan kaedah pelaksanaan Menu Rahmah ini memerlukan pelanggan untuk memasuki restoran dan memberitahu bahawa anda mahukan Menu Rahmah ketika membuat pesanan makanan.
Pelanggan boleh beritahu bahawa mereka ingin Menu Rahmah. KPDN dengan kerjasama semua premis yang menyertai inisiatif ini akan meletakkan pelekat yang mempunyai simbol Menu Rahmah.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Mengikut perancangan KPDN, Menu Rahmah ini akan merangkumi hidangan nasi, lauk ayam atau ikan dan sayuran.
Namun ada juga pengusaha yang lebih kreatif dengan menghasilkan menu lain dengan harga RM5 ke bawah seperti nasi paprik, rojak, roti John, shawarma dan sebagainya.
Menteri KPDN ini turut menjelaskan bahawa inisiatif ini akan diselesaikan paling lewat pada akhir bulan Mac sebelum pihak mereka melancarkan satu lagi inisiatif bagi membantu golongan miskin tegar iaitu Bakul Rahmah yang mengandungi 12 barangan asas.
MYDIN Tawar Menu Rahmah Dengan Harga RM4.90 Termasuk Nasi Berlauk Dan Air Minuman
Menerusi hantaran dimuat naik di laman Facebook MYDIN Malaysia, pasar raya tersebut yang turut menyertai inisiastif kerajaan bagi menjayakan Menu Rahmah telah memperkenalkan hidangan beserta air minuman dengan harga RM4.90
Set untuk makan tengah hari atau makan malam itu boleh didapati di ruangan Ready-To-Eat di Pasar Raya Besar MYDIN terpilih.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.