Polis Cari Penunggang Motosikal Baling Batu Pada Cermin Kereta Pemandu Di Ipoh
Pemandu kereta tersebut membunyikan hon kepada penunggang motosikal kerana menunggang secara berbahaya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk updates terkini, relevan dan menarik!
Bila berada di jalan raya, macam-macam perangai kita boleh tengok. Ada yang jenis bawa kereta tak suka bagi signal, pandu melebihi had laju dan sebagainya. Memang kena banyak bersabar terutamanya memandu di kawasan bandar.
Sebelum ini, pernah tular di mana seorang pemandu kereta dengan selambanya memasuki lorong yang dikhaskan untuk penunggang motosikal.
BACA JUGA: Polis Siasat Pemandu Kereta Selamba Masuk Lorong Motosikal
Penunggang motor tak puas hati dengan pemandu kereta
Baru-baru ini, satu pergaduhan kecil berlaku di Jalan Kuala Kangsar arah Chemor di Ipoh, Perak melibatkan seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta.
Menurut laporan, kejadian berlaku apabila pemandu kereta berkenaan membunyikan hon kepada penunggang motosikal yang dilihat menunggang secara berbahaya di jalan raya.
Disebabkan tidak puas hati dengan tindakan pemandu itu, penunggang motosikal tersebut membaling batu ke arah kereta.
Terkejut dengan apa yang berlaku, pemandu berkenaan memberhentikan kenderaannya dan menyebabkan berlaku sedikit kemalangan.
Penunggang motor sedang dicari oleh pihak polis
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan, tiada pergaduhan yang berlaku antara kedua-dua pihak kerana penunggang motosikal sempat meminta maaf sebelum beredar dari tempat kejadian.
Namun pemandu kereta tersebut mengaku bahawa dia ada menolak badan penunggang motosikal berkenaan.
Setelah berlaku pertengkaran di atas jalan raya, penunggang motosikal meminta maaf kepada pemandu kereta itu lalu beredar dari tempat kejadian tanpa membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Yahaya Hassan.
Namun hasil semakan pihak polis mendapati pemandu yang terlibat dalam kejadian membuat laporan pada hari yang sama di Balai Polis Kampung Tawas.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat. Penunggang motosikal brekenaan juga sedang dikesan oleh pihak polis.
Terdahulu, video berdurasi 29 saat memaparkan kejadian yang berlaku melibatkan penunggang motosikal dan seorang pemandu telah tular di media sosial.
Kongsi cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, dan Instagram.