Now Reading
TLDR; Bagaimana Kes Azam Baki Undang Kemarahan Rakyat Sehingga Cetusnya Protes

TLDR; Bagaimana Kes Azam Baki Undang Kemarahan Rakyat Sehingga Cetusnya Protes

Perhimpunan #TangkapAzamBaki telah diadakan pada Sabtu (22 Januari 2022) dan disertai lebih 200 peserta di sekitar Kuala Lumpur.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPBM untuk updates terkini yang relevan dan menarik!


Baru-baru ini, kecoh apabila dikatakan hampir seluruh ibu kota ditutup untuk menyekat orang ramai melakukan protes tentang isu melibatkan seorang Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Datuk Sri Azam Baki.

Perhimpunan protes tersebut pada awalnya dirancang di hadapan sebuah kompleks pusat beli-belah Sogo Kuala Lumpur sebelum diubah ke kawasan Bangsar dan Masjid Negara.

Berikutan itu, enam jalan utama yang menghala ke pusat bandar ditutup bermula jam tujuh pagi sehingga tiga petang pada Sabtu (22 Januari 2022).

Kredit: Malay Mail

Pengendali perkhidmatan awam di beberapa laluan juga dihentikan buat sementara waktu untuk menghalang pergerakan mereka menuju ke lokasi perhimpunan.

Pada ketika itu, hampir seluruh ibu negara dikawal oleh pihak polis untuk menghalang perhimpunaan itu berlaku di luar kawalan.

Kredit: Malay Mail

Jalan serta perkhidmatan awam ditutup buat sementara waktu, polis juga sudah bersiap sedia. Semuanya kerana seorang individu dikenali sebagai Azam Baki.

Siapakah Azam Baki?

Kredit: Malay Mail

Azam Baki merupakan individu yang sudah berkhidmat selama 36 tahun di bawah SPRM sejak 1984.

Sepanjang 36 tahun bertugas di SPRM, beliau pernah memegang jawatan sebagai:

  • Pegawai Penyiasat.
  • Pegawai Perisikan.
  • Pegawai Pendakwaan.
  • Pengarah Bahagian Perisikan.
  • Pengarah Bahagian Siasatan.
  • Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi).

Pengalamannya bertugas di SPRM memberi peluang kepada beliau untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan masih berkhidmat sehingga kini.

Semuanya bermula apabila Gomez letak jawatan

Kes melibatkan Azam Baki ini bermula apabila seorang ahli ekonomi iaitu Edmund Terence Gomez meletakkan jawatannya sebagai ahli panel perundingan SPRM pada 28 Disember 2021.

Dalam surat peletakan jawatannya, Gomez mendakwa bahawa panel tersebut gagal membincangkan tentang beberapa laporan yang mendakwa pegawai tinggi SPRM terlibat dalam konflik kepentingan.

Kredit: Sinar Harian

Malah, beliau turut mendakwa pegawai tinggi tersebut terlibat dalam pemilikan saham syarikat.

Saya menekankan bahawa maklumat yang diterima amat membimbangkan kerana ianya berdasarkan kajian menyeluruh. Berdasarkan skala dakwaan rasuah di Malaysia, kita perlu memastikan pegawai-pegawai yang mengetuai SPRM tidak menimbulkan persoalan.

Ahli ekonomi, Edmund Terence Gomez menerusi Astro Awani.

Azam Baki nafi dakwaan miliki saham syarikat

Dalam sidang media pada 5 Januari 2022, Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia iaitu Azam Baki menafikan sekeras-kerasnya tuduhan terhadapnya yang memiliki saham serta kawalan ke atas banyak syarikat termasuklah syarikat konglomerat.

Beliau menganggap dakwaan tersebut dilakukan dengan sengaja untuk menjatuhkan reputasinya serta SPRM.

Kredit: Malay Mail

Susulan dakwaan tersebut, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meminta kesemua pihak yang terlibat termasuklah Azam Baki untuk memberi penjelasan pada 6 Januari.

Selepas mendengar penjelasan daripada Azam Baki, Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang merupakan salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM mendapati mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah melibatkan pegawai berkenaan.

Azam Baki disokong beberapa pihak

Kredit: Astro Awani

Menurut laporan, Azam menjelaskan kepada panel LPPR bahawa akaun saham yang dikatakan miliknya itu sebenarnya diguna pakai oleh adiknya, Nasir Baki untuk membeli pasaran terbuka menggunakan pembiayaan sendiri pada tahun 2015.

Saya ingin menegaskan bahawa dalam isu saham ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan dan tuduhan terdapat percanggahan kepentingan di pihak saya seperti didakwa oleh sesetengah pihak yang tidak berasas.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.

Dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM memiliki saham dengan jumlah yang melampau dilepaskan setelah Pengarah LPPR iaitu Tan Sri Abu Zahar bin Datuk Nika Ujang berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Azam Baki.

Kredit: Malay Mail

Abu Zahar kemudiannya menyerahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekiranya mahu siasatan diteruskan dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Namun pada 8 Januari, Perdana Menteri hanya memberi kenyataan bahawa Azam Baki tidak berkeperluan untuk direhatkan daripada menerajui suruhanjaya berkenaan.

Pada 9 Januari pula, tiga pegawai tertinggi di SPRM mewakili suruhanjaya tersebut menyatakan sokongan mereka terhadap Azam Baki dan menyifatkan tuduhan berkenaan sebagai dendam politik semata-mata.

Azam turut memaklumkan dia tidak akan akur dengan arahan mana-mana pihak yang mendesaknya untuk meletakkan jawatan selain Yang Dipertuan Agong.

Protes mula diadakan

Berikutan isu hangat melibatkan dakwaan pemilikan saham oleh Azam Baki, satu gerakan yang dinamakan Konvoi Protes Selamatkan SPRM anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) diadakan pada 10 Januari lalu di Dataran Putrajaya.

Gerakan tersebut menyentuh sikap kurang tegas oleh agensi SPRM dalam memberi pembelaan terlalu awal terhadap isu yang sedang mengundang kemarahan rakyat.

Baru-baru ini, satu lagi perhimpunan dilakukan pada 22 Januari lalu yang mendesak supaya Ketua Pesuruhjaya itu segera ditangkap atas dakwaan memiliki saham.

Dianggarkan lebih 200 peserta menyertai perhimpunan #TangkapAzamBaki dan melaungkan “Tangkap Azam Baki” secara berterusan.

Kredit: Hari Anggara

Walau bagaimanapun, beberapa individu ditahan selepas didapati menyertai satu ceramah yang mendesak Azam Baki untuk ditangkap.

Serbuan telah dilakukan di sebuah restoran di Bangsar pada jam 11.58 malam.

Kredit: Sinar Harian

Kongsikan cerita menarik dan terkini bersama kami di media sosial TRPBM: FacebookTwitter, dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd