Now Reading
[Video] Tular Wanita ‘Bising’ Ketika Kereta Melalui Kawasan Angin Lintang, PHM Jelas Boleh Sebabkan Kemalangan

[Video] Tular Wanita ‘Bising’ Ketika Kereta Melalui Kawasan Angin Lintang, PHM Jelas Boleh Sebabkan Kemalangan

Public Health Malaysia (PHM) mengingatkan orang ramai agar kekal bertenang dan jangan menjerit apabila berdepan dengan situasi mencemaskan ketika menaiki kenderaan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila dalam keadaan yang mencemaskan sama ada ketika memandu kenderaan atau sebagai penumpang, mungkin ada masanya kita akan terjerit atau meninggikan suara sedikit kerana berasa takut.

Perkara ini adalah biasa kerana jeritan merupakan tindak balas semula jadi apabila badan menghasilkan hormon adrenalin dalam keadaan menakutkan.

Namun begitu, ada juga yang merasakan jeritan hanya akan memburukkan keadaan kerana akan menyebabkan pemandu berasa panik.


Tular Video Kereta Melalui Kawasan Angin Lintang

Baru-baru ini, tular di TikTok video dimuat naik seorang wanita menunjukkan kereta dinaikinya sedang melalui kawasan angin lintang.

Kejadian itu dikatakan berlaku di Pagoh, Johor sekitar 3.35 petang pada Sabtu lalu (20 April).

Menerusi video dimuat naik, kedengaran wanita itu mengeluarkan suara yang tinggi kerana berasa cemas dengan situasi tersebut.

Video sama menunjukkan terdapat puting beliung kecil yang dilalui oleh mereka, dengan keadaan hujan dan kilat.

Dia menulis pada videonya, “Maafkan suara kita yang over. First time tengok puting beliung kecil”.

@anna0001114

Angin lintang kecil tapi memang takut kalau lalu depan2. Seram juga. Allah baru jentik sikit tu. 📍Pagoh, Johor. 20.4.2024 sabtu jam 3.35pm.

♬ original sound – Annaaaaa.

PHM Nasihat Agar Kekal Tenang Dalam Situasi Mencemaskan Ketika Menaiki Kenderaan

Tidak lama kemudian, Public Health Malaysia (PHM) telah memuat naik satu hantaran dipercayai berhubung dengan video tular tersebut.

Pihaknya menerangkan bahawa dalam apabila berdepan dengan situasi kecemasan seperti angin kuat, kemalangan atau banjir ketika sedang memandu, pemandu perlu kekal bertenang dan memberi fokus kepada jalan raya.

Katanya lagi, selain daripada pemandu, penumpang terutamanya ‘co-driver’ penting untuk sama-sama kekal bertenang bagi mengelakkan keadaan panik.

Ini kerana keadaan sedemikian akan menyebabkan pemandu terganggu dalam pemanduannya seterusnya meningkatkan risiko kemalangan.

Sumber gambar: Pexels

Apa Boleh Dilakukan Dalam Situasi Mencemaskan Di Atas Jalan Raya?

Menerusi gambar yang dikongsi PHM, ia juga menyatakan agar mereka yang berada di dalam kenderaan melakukan ‘deep breathing’ untuk kekal bertenang.

Jangan menjerit walaupun anda merasa takut kerana ini boleh mengganggu fokus pemandu.

Jika keadaan terlalu merisaukan sehingga mengganggu pemanduan, berhenti di tempat yang selamat.

Penumpang di sebelah pemandu juga diingatkan agar TIDAK MEMEGANG STERENG sama sekali.


Tips Memandu Di Kawasan Angin Lintang

Memandu di kawasan angin lintang sememangnya situasi yang mencemaskan terutamanya dalam keadaan angin kuat.

Di sini kami berkongsi beberapa tips oleh PanduLaju yang dapat membantu anda sekiranya harus melalui kawasan angin lintang. Kawasan tersebut boleh dikenal pasti menerusi papan tanda yang diletakkan di bahu jalan.

1. Fokus pada keadaan persekitaran

Dalam keadaan berangin, fokus memandu dan memerhatikan objek asing di sekeliling seperti dahan pokok, sisa asing, kon pembinaan serta kenderaan lain.

Jika terdapat lori yang membawa muatan di sebelah atau dari arah bertentangan, ketepikan kenderaan anda untuk utamakan laluan bagi mereka. Ini kerana kenderaan tinggi mempunyai risiko tinggi terbabas atau terbalik apabila ditiup angin lintang yang kuat.

2. Pandu perlahan

Jangan memandu dengan laju atau memecut apabila merasakan kenderaan ditolak angin kerana ia akan meningkatkan risiko hilang kawalan. Cuma kawal kelajuan kenderaan dan pastikan stereng dipegang menggunakan kedua-dua tangan.

Jika tiupan angin terlalu kuat, hentikan kenderaan di bahu jalan dan nyalakan nyampu kecemasan.

Sumber gambar: Unsplash

3. Cuba lawan tolakan angin

Jika anda rasa seperti kenderaan ditolak ke tepi, kawal dan belokkan stereng perlahan-lahan untuk memastikan kestabilan kenderaan.

Namun begitu, jangan belok secara mengejut sehingga masuk ke laluan bertentangan atau terbabas di bahu jalan.

4. Pastikan kenderaan dalam keadaan baik

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan kenderaan dalam keadaan yang bersedia sekiranya terpaksa melalui kawasan angin lintang.

Paling penting sekali, pastikan angin tayar mencukupi dan bunga padanya masih elok agar dapat menguatkan cengkaman ketika memandu.

Selenggara sistem suspensi dan sistem brek kenderaan agar dapat berfungsi dalam baik, terutamanya dalam waktu kecemasan.

Sumber gambar: Unsplash

5. Jangan panik

Paling penting sekali, pemandu serta penumpang perlu kekal tenang dan jangan panik!

Bagi pemandu, apabila merasa kenderaan mula hilang kawalan, cuba kekal tenang agar dapat fokus untuk memandu dengan lebih baik.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd