Now Reading
Abai Anak Perempuan 3 Tahun Hingga Maut, Ibu & Teman Lelaki Mengaku Salah

Abai Anak Perempuan 3 Tahun Hingga Maut, Ibu & Teman Lelaki Mengaku Salah

Kanak-kanak tersebut telah bertarung nyawa selama lebih 10 hari di hospital sebelum dilaporkan meninggal dunia pada 26 Mac di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang ibu mengaku bersalah mengabaikan anak kandung perempuan berusia tiga tahun sehingga menyebabkan kematiannya pada bulan lalu.

Pengakuan dibuat tertuduh, Noraini Haron bersama teman lelakinya, Mohd Khairul Shamsua Israk di Mahkamah Sesyen Seremban di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Berdasarkan pertuduhan, kesalahan mengabaikan mangsa Nuraireen Afeeya Muhammad Padzli sehingga meninggal dunia dilakukan antara 12 tengah hari hingga 6.45 petang dari 18 Mac hingga 24 Mac di sebuah rumah di Taman Mayung, Port Dickson.

Kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001:

Mana-mana orang, yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak — (a) yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian.

Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001

Mereka boleh dihukum di bawah seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, lapor Astro Awani.

Jika disabit kesalahan, tertuduh berhadapan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya sekali.


Tertuduh Ditawar Jaminan Setelah Rayuan Dibuat

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam pada mulanya tidak ditawarkan sebarang jaminan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd Radzuan yang menyifatkan kesalahan dilakukan mereka serius.

Apabila ditanya Hakim, beliau memaklumkan kematian mangsa adalah disebabkan kerana mukanya tersembam di atas jalan raya setelah jatuh dari kenderaan.

Tertuduh pertama, Mohd Khairul walau bagaimanapun merayu jaminan rendah dan memaklumkan bahawa dia hanya bekerja sebagai pembantu bengkel, di samping mempunyai enam orang anak dan perlu menanggung kedua-dua ibu bapanya.

Manakala tertuduh kedua, Noraini mengemukakan alasan bahawa dia tidak bekerja dan mempunyai dua anak lain selain mangsa.

Setiap tertuduh kemudiannya ditetapkan jaminan berjumlah RM20,000 dengan seorang penjamin. Kedua-dua tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Dalam pada itu, mahkamah menetapkan 2 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes bagi laporan forensik.


Mangsa Dirawat Di Hospital Lebih 10 Hari Sebelum Meninggal Dunia

Terdahulu, pada 24 Mac, pihak polis telah menerima laporan dari Hospital Port Dickson yang memaklumkan mangsa dalam keadaan kritikal kerana terjatuh daripada kenderaan, lapor Kosmo.

Mangsa yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik dilaporkan meninggal dunia pada 26 Mac di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, setelah lebih 10 hari bertarung nyawa sejak insiden tersebut.


Mangsa Terjatuh Dari Van

Menurut Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed, siasatan awal mendapati insiden itu berlaku sekitar 8.30 malam pada 15 Mac lalu ketika teman lelaki kepada ibu mangsa ingin membuka pintu van semasa berhenti di sebuah kedai.

Ketika itu lelaki itu dalam perjalanan dari Taman Anggerik ke Taman Mayung, Telok Kemang. Ekoran kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan lebam di beberapa bahagian anggota badan.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed.

Sehubungan itu, suspek tersebut telah ditangkap pada malam sama kematian Nuraireen, di kediamannya di Bandar Sunggala.

Hasil semakan rekod terhadap suspek mendapati terdapat tiga rekod jenayah lampau, namun begitu ujian saringan air kencing adalah negatif.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd