Now Reading
Kanak-kanak 8 Tahun Maut Dihempap Dinding Konkrit Dibina Bapa

Kanak-kanak 8 Tahun Maut Dihempap Dinding Konkrit Dibina Bapa

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku semalam (12 Februari) di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, Kuala Ketil, Baling, Kedah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kemalangan yang terjadi terhadap anak-anak tercinta adalah sesuatu yang amat meruntun jiwa, apatah lagi jika ia sehingga menyebabkan kecederaan serius, malah kematian.

Semalam (12 Februari 2024), seorang kanak-kanak lelaki yang hanya berusia lapan tahun, maut dipercayai kerana ditimpa satu dinding konkrit.

Kerjadian dilaporkan berlaku di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, Kuala Ketil, Baling.

Dinding bata yang menghempap mangsa terbabit sedang dibina oleh bapa kanak-kanak terbabit di bahagian dapur rumah, lapor Astro Awani.


2 Beradik Bermain Di Kawasan Pembinaan

Menurut Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat, kejadian yang berlaku pada jam 10.30 pagi itu disedari ibu mangsa yang sedang memasak di dapur apabila terdengar bunyi dentuman kuat. Bapa mangsa pula ketika itu sedang bekerja di sebuah kilang di daerah sama.

Sebelum kejadian, ibu kanak-kanak lelaki itu sudah beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan dua anaknya supaya tidak bermain di sekitar kawasan ruang dapur yang sedang dibina oleh bapa mereka.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat.

Dalam masa sama, ibu mangsa dikatakan telah meminta mangsa bersama-sama adiknya yang berumur empat tahun agar masuk ke dalam rumah. Namun begitu, mereka tidak diendahkan dan terus bermain di kawasan terbabit.

Tambah Shamsudin, ibu mangsa kemudiannya mendengar bunyi yang sangat kuat dan segera ke tempat kejadian. Seluruh badan mangsa didapati telah ditimpa satu dinding konkrit yang telah runtuh.


Mangsa Disahkan Meninggal Oleh Doktor Klinik Kesihatan

Menurutnya, adik mangsa yang turut ditimpa dinding bata di belakang badannya hanya mengalami kecederaan ringan.

Ibu mangsa kemudiannya meminta bantuan dari jiran rumah sebelah untuk menghantar kedua-dua anaknya ke Klinik Kesihatan Tawar. Akan tetapi, kanak-kanak berusia lapan tahun terbabit disahkan sudah meninggal dunia oleh doktor di sana.

Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat, maklum Shamsudin.


Kes Disiasat Di Bawah Akta Kanak-Kanak 2001

Pihak polis juga telah merakam percakapan ibu bapa mangsa bagi tujuan membantu dalam siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin atau menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM20,000, penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pesuruhjaya Kanak-kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) Dr Farah Nini Dusuki sebelum ini menyatakan peningkatan hukuman tersebut dilakukan pada tahun 2016 sebagai salah satu langkah pencegahan terhadap kes kecuaian melibatkan kanak-kanak.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd