Now Reading
Budak 3 Tahun Maut Dirempuh Trak Pikap Ketika Main Skuter Dalam Taman Perumahan

Budak 3 Tahun Maut Dirempuh Trak Pikap Ketika Main Skuter Dalam Taman Perumahan

Pemandu kenderaan pacuan empat roda itu disiasat menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut setelah dilanggar kenderaan pacuan empat roda ketika bermain skuter. Menurut Harian Metro, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 4 Ogos (Jumaat) dan terjadi di satu taman perumahan di Johor Bahru.

Tular satu rakaman CCTV yang menunjukkan kanak-kanak tersebut berhenti di kawasan persimpangan sebelum kenderaan itu merempuhnya dengan laju. Akibat perlanggaran itu, mangsa terperosok ke bawah kereta dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata pemandu kenderaan tersebut berusia 32 tahun dan kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Di bawah seksyen ini, pemandu disiasat atas kesalahan memandu dengan melulu atau dengan kelajuan yang merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian.

Jika disabitkan bersalah, suspek boleh dikenakan penjara antara dua hingga 10 tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM20,000.

Kenyataan media bagaimanapun tidak akan dikeluarkan demi menghormati keluarga mangsa.

MStar melaporkan bahawa pemandu trak tersebut merupakan orang luar yang tidak menetap di kawasan perumahan berkenaan. Orang ramai turut mendakwa pemandu sebagai kontraktor yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan dan ubah suai di taman perumahan itu.


Had Laju Di Kawasan Perumahan

Pemandu seharusnya mengikut had laju yang telah ditetapkan bagi sesuatu kawasan. Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) telah mencadangkan had laju 30km/j bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung.

Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof Madya Dr. Law Teik Hua berkata had laju yang diturunkan secara tidak langsung mengurangkan impak pelanggaran lalu lintas. Namun, ia perlu dilaksana­kan pada lokasi tertentu sahaja seperti di kawasan kemalangan, hospital dan sekolah.

Bagi kawasan perumahan dan sekolah, had laju yang ditetapkan adalah 30km/j memandangkan kedua-dua tempat itu sering digunakan oleh kanak-kanak.

Ia ditetapkan berdasarkan kajian yang membuktikan 30km/j sebagai had laju paling selamat. Jika pemandu membawa pada kelajuan 30km/j, kenderaan akan sempat dibrek sekaligus menurunkan kelajuan kepada 25km/j ketika impak kemalangan. Dengan kelajuan ini, kanak-kanak mungkin mengalami kecederaan ringan sahaja.

Namun begitu, jika kelajuan naik hanya 10km/j kepada 40km/j, impak kemalangan boleh menyebabkan kecederaan teruk dengan 50% kebarangkalian kematian. Malah, 90% pejalan kaki maut ditempat kejadian akibat kemalangan yang terjadi pada kelajuan kenderaan 64km/j.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd