Now Reading
Hukum Solat Sunat Secara Duduk Tanpa Keuzuran

Hukum Solat Sunat Secara Duduk Tanpa Keuzuran

Berdiri tegak ketika solat merupakan rukun solat yang pertama dan wajib dilakukan bagi solat fardu jika tiada sebarang keuzuran.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Ketika bulan Ramadan ini, rata-rata umat Islam pasti akan menunaikan solat sunat tarawih sama ada di masjid mahupun di rumah.

Dalam menjalankan ibadah solat, terdapat 13 rukun yang harus diikuti agar solat tersebut sah, bermula dengan berdiri secara tegak sekiranya mampu. Jika tidak mampu, seseorang boleh menunaikan solat dalam keadaan duduk ataupun baring.

Namun begitu, tahukah anda bahawa rukun yang pertama itu khas bagi solat fardu sahaja dan tidak termasuk solat sunat?

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Boleh Lakukan Solat Fardu Secara Duduk Jika Tak Mampu Berdiri

Solat fardu wajib dilakukan dalam keadaan berdiri melainkan jika terdapat sebarang keuzuran.

Ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain RA yang menghidap masalah buasir dan bertanya kepada Rasullah SAW tentang solat. Baginda bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya: “Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring”.

Riwayat al-Bukhari (1066)

Maksud berdiri ketika solat adalah dilakukan secara tegak dan tidak membongkok sehingga tapak tangan menyentuh lutut jika tiada sebarang keuzuran.

Sumber: Unsplash

Rukun Berdiri Tegak Hanya Bagi Solat Fardu

Dalam masa sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan bahawa rukun berdiri hanya wajib bagi solat fardu dan tidak termasuk solat sunat, tidak kira sama ada seseorang itu uzur ataupun tidak. Akan tetapi hukum berdiri ketika solat sunat adalah sunat.

Satu hadis menceritakan bahawa Imran bin Husain RA bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai solat sunat secara duduk sedangkan seseorang mampu berdiri. Baginda bersabda:

من صَلَّى قَائِمًا فهو أَفْضَل ومَنْ صَلَّى قَاعِدًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَائِمِ، وَمَنْ صَلَّى نَائِمًا فَلَهُ نِصْفُ أَجْرِ الْقَاعِدِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersolat secara berdiri itulah yang afdhal, dan sesiapa yang bersolat secara duduk dia mendapat separuh pahala solat berdiri dan sesiapa yang bersolat secara mengiring dia mendapat separuh pahala solat duduk”.

Riwayat al-Bukhari (1065)

Sumber: Pejabat Daerah dan Tanah Petaling

Rasulullah SAW Juga Tunaikan Solat Sunat Secara Duduk

Menurut Ahli Majlis Fatwa Negeri Perlis, Dr Rozaimi Ramle, dalil solat sunat secara duduk turut bersandar kepada satu hadis riwayat daripada Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW mengerjakan solat malam dalam keadaan duduk:

“Baginda mengerjakan solat malam sebanyak sembilan rakaat, termasuk di dalamnya solat witir. Pada suatu malam Baginda mengerjakannya lama sekali sambil berdiri dan pada malam yang lain Baginda pernah mengerjakannya begitu lama dalam keadaan duduk.

“Jika Baginda membaca al-Fatihah dan surahnya sambil berdiri, Baginda rukuk dan sujud sambil berdiri pula; dan jika Baginda membaca al-Fatihah dan surahnya sambil duduk, Baginda rukuk dan sujud sambil duduk pula”.

Riwayat Imam Muslim

Imam Al-Nawawi menyatakan bahawa solat sunat tidak wajib dilakukan secara berdiri kerana Rasulullah SAW turut menunaikannya secara duduk ketika dalam kenderaan.

Malah, terdapat pelbagai solat sunat yang boleh dijalankan oleh seorang muslim. Oleh itu, jika diwajibkan untuk berdiri ia boleh menjadi satu kesulitan dan menyebabkan umat Islam berhenti melakukannya.


Cara Solat Secara Duduk

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerangkan bahawa cara solat duduk yang paling utama adalah di atas lantai secara iftirasy berbanding tawarruk dan tarrabu’.

Sumber: The Takirah Iman/ Facebook.

Namun begitu, bagi mereka yang tidak mampu boleh melakukan solat secara duduk di atas kerusi. Berikut merupakan penerangan solat duduk di atas kerusi yang dikongsikan oleh pihak JAKIM.

Sumber: JAKIM

Bagi solat fardhu, mereka yang mampu berdiri wajib solat secara berdiri tetapi boleh duduk di kerusi sekiranya tidak mampu sujud atau rukuk.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd